Inkubator Campus Brew latih 20 pelajar jadi usahawan kopi - Utusan Malaysia

Inkubator Campus Brew latih 20 pelajar jadi usahawan kopi

SERAMAI 20 pelajar yang akan dilatih sebagai usahawan kopi menerusi program Inkubator Campus Brew.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Program Inkubator Campus Brew menjadi platform terbaik bagi melatih pelajar menjalankan perniagaan dalam bidang makanan dan minuman (F&B) berasaskan kopi.

Objektif itu selaras untuk melahirkan usahawan kopi yang berilmu dan kompetitif pada masa depan.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Ong Soon Lee, 21, berkata, penyertaan dalam program itu sekali gus membolehkannya merealisasikan impian bergelar usahawan selepas tamat pengajian, tahun depan.

Katanya, minat untuk membuka perniagaan tercetus ketika bekerja di pasar raya pada cuti semester di samping jurujual sambilan produk kopi kesihatan.

“Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk memajukan diri kerana ayah sudah pencen, manakala emak tidak lagi bekerja sejak diserang strok dan abang pula merupakan orang kurang upaya (OKU).

“Dalam situasi ekonomi yang serba mencabar termasuk pekerjaan tidak menentu, saya nekad menceburi dunia perniagaan bagi menjana pendapatan dan mengubah nasib keluarga,” katanya pada majlis perasmian program itu yang disempurnakan Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, baru-baru ini.

Menurut Soon Lee, sebagai antara 20 peserta, mereka bakal menjalani latihan daripada krew syarikat kopi, He & She selama dua bulan.

Katanya, selepas itu, kesemua mereka akan berganding bahu menguruskan kafe di Anjung Tamu UUM mengikut modul perniagaan yang dirangka.

“Saya berharap dapat menjadi antara 10 peserta yang terpilih untuk ke peringkat seterusnya bagi membolehkan saya mempelajari lebih banyak skil keusahawanan sebagai persediaan rapi untuk membuka perniagaan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Nor Asyilah Iryani Yahaya, 22, berkata, pendedahan yang diberikan dalam program berkenaan secara tidak langsung dapat memperkasakan dirinya sebagai usahawan kelak.

Katanya, setiap peserta akan menerima sijil akreditasi selepas menamatkan tempoh inkubator selama setahun.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Keusahawanan Pelajar dan Akademia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Alias Mat Nor berkata, projek inkubator yang dirintis bersama Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) serta Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) itu bertujuan mendekatkan pelajar dengan dunia perniagaan.

Katanya, langkah itu bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memastikan sebanyak 19 peratus pelajar menyertai aktiviti perniagaan di samping enam peratus graduan menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan pada 2022.

“Usahawan kopi bukan sekadar menjual kopi, sebaliknya golongan itu perlu dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran dan diasah kebolehan.

“Walaupun ada beribu jenama kopi di pasaran, kita mahu UUM menjadi sebutan kerana bukan sahaja dapat menghasilkan usahawan kopi yang berjaya dalam kalangan pelajar, malah mampu memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada semua pelanggan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×