Imbauan kemilau 25 tahun Rossa - Utusan Malaysia

Imbauan kemilau 25 tahun Rossa

ROSSA mengabadikan perjalanan 25 tahun sebagai anak seni menerusi siri konsert yang turut berlabuh di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERINDUAN penyanyi kecil molek dari negara seberang, Datuk Seri Rossa, terhadap peminat di Malaysia terubat menerusi Konsert Rossa 25 Shining Years di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Empunya nama sebenar, Rossa Roslaina Sri Handayani menghiburkan kira-kira 3,000 pencintanya di negara ini sempena 25 tahun mengabdikan diri sebagai penghibur.

Kedatangan penyanyi berusia 44 tahun itu sememangnya dinantikan. Buktinya, sebaik sahaja konsert itu diumumkan bulan lalu, penggemarnya sudah sedia ‘berperang’ untuk tidak terlepas peluang menyaksikan ‘ratu konsert’ itu beraksi.

Di pentas Dewan Plenary, Rossa membalas sokongan dan kasih sayang peminat dengan hadiah paling bermakna pada malam penuh nostalgia itu.

Sorakan peminat bergema seluruh dewan sebaik Rossa muncul membawakan lagu As One, ditemani sekumpulan penari yang menghidupkan kemeriahan di atas pentas.

Bermula penuh bertenaga, penyanyi kelahiran Sumedang, Jawa Barat itu mempersembahkan lagu kedua, Takkan Berpaling Darimu yang diterbitkan pada 2009.

Persembahan direhatkan seketika bagi memberi ruang kepada penyanyi bersuara lantang itu mengalu-alukan kedatangan penonton yang teruja menyaksikan kemunculannya buat kesekian kali. Ternyata, Rossa merindukan Malaysia.

Tidak mengambil masa lama, Rossa membawa peminat mengimbau perjalanan kerjaya seninya yang kini mencecah 25 tahun.

Dia memberikan sepenuh jiwa raga menerusi rangkaian lagu balada yang menyentuh emosi seperti Wanita, Masih, Tak Sanggup Lagi, Tega dan Jangan Hilangkan Dia. Semua lagu itu dipersembahkan dengan susunan muzik baharu yang menjentik keterujaan peminat.

Konsert malam itu bagaikan tidak sempurna tanpa mendendangkan tiga lagu wajib yang menjadi hits di negara ini. Tidak mahu menghampakan, Rossa mempersembahkan kemantapan vokal gemersiknya menerusi rangkaian lagu Takdir Cinta, Atas Nama Cinta dan Ayat-Ayat Cinta.

Perhatian peminat terus tertumpu kepada penyanyi tersebut saat dia mendendangkan dua lagi lagu popular, Terlalu Cinta dan Tegar.

Terus menghiburkan dengan segmen istimewa bersama komposer Andi Rianto, Rossa tampil anggun di atas pentas mengenakan persalinan pereka terkenal Indonesia, Didi Budiardjo.

Menerusi segmen tersebut, ibu seorang cahaya mata itu menyentuh perasaan audiens dengan rangkaian lagu ‘galau’ seperti Hati Yang Terpilih, Perawan Cinta, Aku Bukan Untukmu, Terlalu Berharap dan Sekali Ini Sahaja sebelum berborak santai bersama penonton.

Cakra Khan hadir beri sokongan

Konsert Rossa 25 Shining Years membawa pelbagai kejutan untuk dikenang. Malam itu, penyanyi terkenal, Cakra Khan turut hadir memberikan sokongan kepada sahabat seperjuangannya itu.

Tidak sekadar hadir sebagai penonton, Cakra sempat menghadiahkan lagu seperti Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah yang dinyanyikan secara santai.

Rossa yang tidak menjangkakan kehadiran sahabatnya itu nyata teruja saat dimaklumkan tentang keberadaan Cakra yang duduk dalam kalangan audiens.

“Dia bayar tiket penerbangan, hotel dan makanan sendiri. Malah, nyanyi di atas pentas juga tidak dibayar… Saya sayang kamu,” kata Rossa.

Judika gamat suasana

Suasana Dewan Plenary bertukar gamat dengan kemunculan seorang lagi penyanyi, Judika.

Melihatkan kepada reaksi penonton, ramai yang ternanti-nanti momen kedua-dua penyanyi itu berpadu suara.

Tiga lagu dipersembahkan, dua daripadanya iaitu Hati Yang Kau Sakiti dan Aku Yang Tersakiti dinyanyikan secara mash up.

Gabungan suara kedua penyanyi berbakat besar itu menghangatkan lagi suasana dewan. Rata-rata peminat berpuas hati dengan persembahan mereka.

Apresiasi untuk sahabat seni Malaysia

Sebagai penghargaan kepada industri muzik dan penyanyi legenda tanah air, Rossa mendedikasikan sebuah segmen khas, menyanyikan rangkaian lagu yang pernah mendapat sambutan di Indonesia.

Antara lagu yang dibawakan adalah Janji Manismu, Suci Dalam Debu, Cinta Kita, Isabella, Bukan Cinta Biasa dan Antara Anyer dan Jakarta.

Malah, ketika mendendangkan lagu Isabella dan Fantasia Bulan Madu, Rossa sempat mengajak legenda rock, Datuk Amy Search yang turut hadir malam tersebut untuk menyanyi bersamanya.

“Saya amat gemuruh menyanyi di depan seorang legenda. Malam ini cukup luar biasa kerana banyak sekali rakan saya yang hadir,” kata Rossa.

Dalam pada itu, Hael Hussaini turut membuat penampilan khas apabila berduet bersama Rossa menerusi lagu Jampi dan Kamu Yang Ku Tunggu.

Penyanyi itu juga diberi kesempatan beraksi solo menerusi lagu popular Rossa, Ku Menunggu.

Tirai Konsert Rossa 25 Shining Years dilabuhkan dengan suasana penuh bertenaga menerusi persembahan lagu Pudar, Sakura dan Hey Ladies dengan gubahan susunan muzik EDM.

Titik pengakhiran malam itu menyaksikan penonton berdiri dari tempat duduk masing-masing, meraikan penutup yang menjadi rangkuman terindah buat peminat penyanyi tersebut.

Ternyata, peminat pulang dengan kepuasan. Akhirnya, kerinduan mereka kepada penyanyi itu terubat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×