PENGANJURAN Konsert Nasyid Legenda di Dewan Sivik MBPJ, baru-baru ini mengembalikan nostalgia yang terlakar menerusi konsert Bila Nur Melimpah Di Hati yang berlangsung di ruang sama, kira-kira 30 tahun lalu.
Jualan tiket yang memberangsangkan menunjukkan irama nasyid kekal relevan, meskipun berdepan persaingan daripada genre komersial lain.
Pengarah Urusan Inteam Records, Muhammad Hazamin Harun berkata, kejayaan Konsert Nasyid Legenda membuktikan irama nasyid belum suram, malah akan terus menyinar sekiranya mendapat sokongan padu semua pihak.
“Muzik nasyid terus ke depan dengan adanya sokongan daripada kelompok peminat tersendiri. Perkara itu terbukti apabila jualan tiket konsert ini habis.
“Kami terharu dengan maklum balas yang diterima daripada peminat. Mungkin irama nasyid kurang menonjol sejak 12 tahun lalu, namun sokongan peminat tidak pernah hilang,” katanya.
Semua 900 tiket Konsert Nasyid Legenda habis terjual. Malah, pihak penganjur terpaksa menambah tempat duduk bagi memenuhi permintaan peminat yang mencuba nasib hadir pada saat akhir.
Rata-rata tidak mahu terlepas peluang menonton persembahan bekas anggota Raihan, Nazrey Johani, kumpulan Rabbani, Hijjaz, Inteam, Akhil Hayy dan ramai lagi yang menyampaikan 25 lagu keseluruhannya.
Mengulas lanjut, Hazamin berkata, berdasarkan sambutan memberangsangkan, dia berharap dapat meneruskan hasrat menganjurkan konsert yang mengumpul kumpulan nasyid yang menyusul selepas kumpulan Nada Murni dan The Zikr.
“Penerimaan peminat tidak pernah perlahan. Ini berdasarkan sambutan memberangsangkan terhadap konsert nasyid lain antaranya Konsert Inteam 20 Tahun pada 14 Disember 2020 dan REUNIC Live In Concert The Finale See You Di IPT The Musical, bulan lalu.
“Saya berharap selepas ini akan ada sebuah konsert yang menyatukan Brothers, NowSeeHeart, Saujana, Nirwana dan ramai lagi atas satu pentas,” ujarnya.
Berkongsi perancangan seterusnya, kata Hazamin, sudah tiba masa untuk penggiat nasyid sedia ada mengalihkan tumpuan kepada usaha melahirkan pelapis nasyid yang menjadi penggerak genre muzik tersebut pada masa akan datang.
“Inteam Records bercadang untuk menjelajah ke seluruh negara, anjurkan program cungkil bakat untuk mencari pelapis nasyid dan melatih kumpulan baharu.
“Perkara ini masih diperingkat perbincangan. Ia akan menjadi inisiatif untuk kami usahakan selepas ini,” jelasnya.
Dapatkan momentum, perbaiki kekurangan – Munif Hijjaz
Mengimbau kegemilangan kumpulan Nada Murni sekitar 1993, vokalis Hijjaz, Munif Ahmad teruja apabila dihimpunkan bersama rakan-rakan penggiat nasyid dalam konsert tersebut.
Katanya, semua lagu yang dibawakan dalam Konsert Nasyid Legenda bersifat malar segar dan dekat di hati peminat.
“Kalau diikutkan, sudah lama kami tinggalkan kumpulan Nada Murni. Jarang sekali kami dihimpunkan secara beramai-ramai di atas satu pentas. Ini adalah peluang yang diberikan dengan konsep persembahan berskala besar.
“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami ada buat pertemuan semula, tetapi tidak dalam skala besar. Ini peluang terbaik untuk kami dapatkan semula momentum dan perbaiki kekurangan persembahan dahulu.
“Ketika zaman Nada Murni dahulu, satu dewan akan mengalirkan air mata selepas konsert tamat. Walaupun kini konsepnya berbeza, lagu yang kami dibawakan tetap mengimbau kenangan,” katanya.
Kumpulan Hijjaz, Rabbani, Nazrey Johani serta Ustaz Amal menyerikan persembahan pada segmen kedua yang bertemakan kenangan Nada Murni & The Zikr menerusi lagu Sunnah Berjuang, Rindu, Buta Mata, Sifatullah dan Bila Nur Melimpah di Hati.
Ambil sudut positif – Nazrey Johani
Menjadi antara kemunculan paling dinantikan, Nazrey terharu dengan sokongan peminat terhadap Konsert Nasyid Legenda.
Nazrey yang ditemui selepas konsert tersebut berkata, meskipun terdapat kekurangan dalam persembahannya, dia tidak kecewa, malah bersyukur kerana diberi peluang untuk menyampaikan lagu yang mengingatkan audiens kepada Allah SWT.
“Persembahan saya dalam konsert ini kurang mantap kerana agak letih selepas setiap hari memenuhi undangan menyertai program dan acara. Tambahan pula, saya terpaksa berulang alik dari Sabah ke Kuala Lumpur.
“Ketika membuat persembahan, tumpuan saya sedikit lari. Mungkin kerana setiap hari bekerja, otak saya penat.
“Tetapi, saya tetap bersyukur kerana kekurangan dalam persembahan menandakan kesempurnaan itu hanya milik Allah SWT. Saya ambil dari sudut positif, sentiasa berasa diri banyak kekurangan,” katanya.
Disoal tentang lagu paling menyentuh perasaan, Nazrey berkata, Harapanmu Subur Kembali antara yang memberi kesan kepadanya pada malam itu.
“Sebenarnya, saya tidak pernah bawa lagu itu sebelum ini, tetapi ramai yang minta saya menyanyikannya secara live.
“Lagu itu menyentuh keinginan setiap manusia yang mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia mengingatkan tentang diri kita yang serba-serbi kekurangan dan berdosa,” ujarnya.
Nazrey juga mengakui, dia sedikit gemuruh saat mendengar tepukan dan sorakan penonton. Katanya, perkara paling dikhuatiri adalah melakukan kesilapan ketika membuat persembahan.
“Saya takut melakukan kesilapan ketika menyanyi. Saya pernah sampaikan lagu Puji-Pujian di hadapan 70 peratus penonton bukan Islam di Edinburgh, Scotland.
“Masa itu, saya terfikir adakah mereka benar-benar faham akan maksud lafaz syahadah yang terkandung dalam lagu tersebut,” kongsinya.
Tribute untuk Asri Rabbani
Kerinduan terhadap vokalis kumpulan Rabbani, Mohd. Asri Ibrahim yang pergi menemui Ilahi, 13 tahun lalu dirasakan menerusi segmen tribute yang menjadi antara pengisian Konsert Nasyid Legenda.
Hasnul Jamal, bekas vokalis kumpulan Diwani diberi kepercayaan untuk mendedikasikan lagu Mana Milik Kita yang pernah dipopularkan arwah.
Hasnul menafikan wujud persamaan suara antara mereka kerana baginya, vokal Allahyarham berada dalam kelas tersendiri.
“Arwah kalau bercakap suaranya sedap didengar, apatah lagi kalau menyanyi.Saya sangat teruja dapat membuat persembahan tribute untuknya.
“Saya bukan antara penyanyi nasyid paling awal yang muncul dalam industri seni. Justeru, saya sangat berterima kasih kerana diberi peluang menyertai konsert ini,” ujarnya.
Selain Hasnul, segmen istimewa itu turut menampilkan anak Allahyarham, Ilham Fikri dan Aeydan yang menyampaikan lagu Munajat serta Handzalah yang dinyanyikan Maliq Suhaimi.











