Magis tiga beranak dalam satu konsert - Utusan Malaysia

Magis tiga beranak dalam satu konsert

JAMAL yakin dengan kemampuan dua anaknya di pentas nyanyian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHAMPAAN Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah terhadap penundaan dua konsert meganya tahun ini terubat dengan penganjuran Konsert Gemilang yang bakal berlangsung pada 9 Disember depan di Grand Banquet Hall, Residensi UTMKL, Kuala Lumpur.

Konsert tersebut baginya, sedikit istimewa kerana turut menampilkan dua anaknya, Zaki dan Osama Yamani yang akan membuat persembahan di pentas yang sama.

Pernah beberapa kali berkongsi pentas, Jamal berkata, mereka bagaimanapun akan menampilkan perbezaan pada acara itu nanti.

“Zaki dan Osama memang minat menyanyi sejak kecil. Jadi, kami tidak ada masalah dari segi persembahan. Mereka juga ada lagu sendiri, jadi kami akan fokus kepada persembahan masing-masing.

“Untuk persembahan bersama, kami akan nyanyikan lagu baru, Tangan Yang Melambai ciptaan sepenuhnya Ezra Kong yang buat kali pertama diperdengarkan pada konsert itu nanti,” katanya.
Konsert Gemilang Bersama Datuk Jamal Abdillah menerima sentuhan pengarah muzik, Raja Mohd. Sham diiringi tujuh pemuzik.

JAGA KESIHATAN

Kali kedua digabungkan dengan abang dan ayahnya dalam satu persembahan, Zaki memaklumkan, dia teruja untuk menjayakan acara istimewa itu.

Kata Zaki, persiapan telah mula dilakukan, terutama membabitkan penjagaan stamina dan kecergasan agar dapat memberikan persembahan vokal yang tidak mengecewakan.

“Seperti ayah yang sangat teliti menjaga kesihatan, saya juga begitu. Saya lebihkan bersenam, jogging dan banyakkan minum air suam untuk mantapkan stamina.

“Saya bukan seperti ayah dan abang yang mempunyai kehebatan vokal tersendiri. Saya perlu bekerja lebih keras agar persembahan saya setanding dengan persembahan mereka nanti,” katanya.

Bercakap tentang lagu Tangan Yang Melambai, Zaki berkata, lagu tersebut tidak mudah untuk dinyanyikan dan mencabar kemampuan vokalnya.

“Lagu itu sudah siap dirakam dan kami sedang menyempurnakan video muziknya. Lagu itu memang tinggi, tambahan pula suara saya belum cukup matang.

“Ayah dan abang mungkin tiada masalah untuk ‘tarik’ bahagian tinggi, cuma saya sedikit tercabar. Tetapi, Alhamdulillah hasil tunjuk ajar mereka, saya mampu lunaskan tanggungjawab tersebut,” kongsinya.

TAK KISAH DIBANDINGKAN

Gementar menantikan konsert yang berbaki kurang dua bulan, Osama Yamani memaklumkan masih menunggu senarai lagu sebelum memulakan latihan.

“Kami kena bersedia dengan apa juga kemungkinan. Ayah banyak melakukan kejutan. Risau juga kalau tiba-tiba dia mahu kami bermain gitar atau membuat kejutan lain pada konsert itu nanti,” katanya.

Bercakap tentang penjagaan kesihatan, seperti Zaki, Osama juga amat menitikberatkan kecergasan, lebih-lebih lagi menjelang persembahan besar.

“Saya akan bersenam dan pastikan mendapat tidur yang cukup. Paling penting, pemakanan juga harus dijaga.

“Saya telah berjaya menurunkan berat badan daripada 98 kilogram (kg) kepada 78 kg hasil mengawal pemakanan. Sejak berat badan berkurangan, kawalan pernafasan saya menjadi semakin baik,” jelasnya.

Apabila berkongsi pentas, Osama tidak menolak kemungkinan akan timbul perbandingan, terutama dengan kemampuan adiknya.

Kata Osama, perkara itu tidak mengganggu persiapannya menjelang konsert, malah dia tidak ambil serius mengenainya.

“Walaupun kami ada pertalian darah, masing-masing ada identiti sendiri. Sebagai abang, saya akan bantu dan bimbing Zaki. Saya akan kongsi pengalaman dan ilmu dengan adik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×