Trump ancam jadikan Iran 'neraka', dedah rundingan baharu

Trump ancam jadikan Iran ‘neraka’, dedah rundingan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Presiden, Donald Trump mendedahkan pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Iran mengadakan rundingan pada Selasa buat kali pertama dalam tempoh beberapa bulan, ketika memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beliau masih mempertimbangkan untuk memusnahkan Iran.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyertai pertemuan dengan utusan khas Trump, Steve Witkoff dan menantunya, Jared Kushner di luar persidangan Perhimpunan Agung PBB di New York.

Pendekatan Trump yang menggabungkan tawaran dan ancaman itu bermula dengan ucapan berapi-api di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York, yang banyak menyentuh mengenai perang beliau dengan Republik Islam Iran yang semakin berlarutan dan tidak popular.

“Saya mempunyai keputusan besar untuk dibuat, adakah perjanjian akan dicapai dengan Iran yang membolehkan mereka membina semula dan mewujudkan sebuah negara yang jauh lebih hebat?

“Atau adakah saya akan memusnahkan Republik Islam itu dan melakukannya dengan pantas, tanpa memberi mereka peluang untuk membunuh dan memusnahkan rakyat serta negara lain lagi?

“Adakah saya akan menghumban mereka ke neraka tanpa peluang untuk terus hidup?” kata pemimpin berusia 80 tahun itu dalam ucapannya, yang menyaksikan semua kecuali seorang anggota delegasi Iran meninggalkan dewan.

Trump berkata, beliau percaya Iran akan segera mencapai perjanjian selepas pilihan raya pertengahan penggal pada November, yang menyaksikan Parti Republikan berdepan risiko kehilangan kawalan ke atas Kongres, sebahagian besarnya disebabkan kesan konflik itu terhadap ekonomi AS.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, dijadual menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung PBB pada Rabu.

Sejurus selepas ucapannya, Trump mendedahkan wakil Iran dan AS telah mengadakan pertemuan selama tiga jam di luar persidangan Perhimpunan Agung PBB.

“Mereka mengadakan pertemuan yang sangat baik dan produktif. Mereka akan mengadakan satu lagi pertemuan dalam masa terdekat,” kata Trump kepada pemberita ketika bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

Trump kemudian berkata, ketika bertemu pemimpin negara-negara Teluk di PBB, beliau fikir terdapat banyak momentum untuk mereka mencapai perjanjian dan itulah yang didengari daripada semua pihak.

Media Iran melaporkan, Araghchi menyampaikan syarat kepada Witkoff bagi membuka semula laluan perairan penting di Selat Hormuz.

Menurut agensi berita kerajaan IRIB, Araghchi berkata, tuntutan Teheran termasuk penghapusan segera sekatan tentera laut AS, pembayaran segera semua aset Iran yang dibekukan, serta penamatan perang di semua medan penentangan.

“Para pengantara bergerak ulang-alik antara kedua-dua pihak sepanjang hari.

“Mereka berjaya menyelesaikan satu pusingan perbincangan yang kami harap akan membuahkan hasil yang membina dan positif. Para pengantara akan meneruskan usaha mereka,” kata Witkoff dalam hantaran di X.

Rundingan pada Selasa dipercayai merupakan pertemuan secara bersemuka pertama antara pegawai Iran dan AS sejak Naib Presiden AS, JD Vance, bertemu pegawai kanan Teheran di Switzerland pada Jun.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×