lumrah jantung berdegup laju sekiranya kita berhadapan sesuatu insiden mencemaskan, namun dalam konteks perubatan, degup jantung laju mungkin menunjukkan gejala anda mengalami penguncupan ventrikel pramatang (PVC).
Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. How Ann Kee berkata, walaupun PVC agak lazim berlaku, iaitu hampir 50 peratus individu pernah mengalami PVC sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka, namun itu tidak bermakna PVC harus diabaikan, terutamanya jika ia mengganggu fungsi jantung atau menyebabkan gejala lain yang ketara.
“Anda mungkin berasa seperti jantung anda berdebar-debar kerana degupan jantung yang dilangkau atau degupan kuat yang luar biasa.
“Bagi sesetengah orang, keadaan PVC dikesan pada elektrokardiogram (ECG) semasa pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Penguncupan ventrikel pramatang (PVC, atau kompleks ventrikel pramatang) ialah impuls elektrik tambahan yang timbul daripada ruang bawah jantung (ventrikel) yang menyebabkan degupan jantung terganggu.
Adakah pvc perlu dirisaukan?
PVC biasanya tidak menimbulkan masalah kepada individu ataupun daripada segi kesihatan.
Dr. Ann Kee berkata, kebanyakan PVC adalah terpencil, bermakna ia berlaku sekali dalam satu masa, tetapi, perasaan degupan jantung dilangkau boleh membuatkan pesakit tidak selesa.
“PVC harus dibimbangi sekiranya ia kerap berlaku. Jika beban PVC melebihi 15 peratus, ia dianggap berlebihan dan boleh mengakibatkan disfungsi ventrikel kiri,” katanya.
Bagi memberi gambaran lebih jelas dalam konteks nombor, purata jantung manusia berdegup kira-kira 100,000 kali sehari, dan jika mengalami 15,000 PVC sehari bersamaan kira-kira 15 peratus beban PVC.
Punca Jantung Kencang Berdegup
PVC adalah perkara biasa, dan puncanya adalah idiopatik atau tidak diketahui.
Dr. Ann Kee, menjelaskan PVC boleh berlaku kepada individu yang sihat dengan struktur jantung normal tanpa mengira peringkat umur.
“Ia juga boleh berlaku kepada pesakit yang mempunyai masalah jantung atau pernah menjalani pembedahan jantung,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat juga faktor kesihatan lain yang boleh memburukkan lagi keadaan PVC. Ini termasuklah:
Terlebih kafein
Ketidakseimbangan elektrolit
Kurang tidur
Pengambilan alkohol, tembakau atau dadah berlebihan
Rawatan PVC
Langkah pertama untuk mendiagnosis PVC ialah dengan melakukan elektrokardiogram (ECG). Doktor juga mungkin mengesyorkan monitor Holter yang akan merekod degupan jantung seseorang selama tempoh 24 jam.
Yang mana ia akan menilai beban PVC, sekali gus menentukan pelan rawatan PVC yang sesuai.
Dalam sesetengah kes, doktor mungkin meminta pesakit melakukan ujian senaman stress yang dipantau sekiranya simptom didapati berkait dengan tenaga, atau ekokardiografi untuk penilaian struktur dan fungsi jantung.
“Keputusannya adalah lebih baik jika pesakit tiada penyakit jantung berstruktur kerana beban PVC yang tinggi boleh mengakibatkan disfungsi ventrikel kiri,” katanya.
Rawatan untuk PVC bergantung kepada beban PVC, gejala dan kehadiran disfungsi jantung.
Bagi PVC yang jarang berlaku, pengurusan biasanya konservatif.
Walau bagaimanapun, jika PVC kerap berlaku dan pesakit mempunyai simptom, pegawai perubatan akan mengesyorkan ubat-ubatan yang bertujuan untuk mengurangkan beban PVC.
Dr. Ann Kee berkata, tindak balas terhadap ubat adalah berbeza bagi setiap individu.
Katanya pada pesakit yang tidak bertindak balas terhadap ubat, kaedah ablasi kateter adalah disyorkan.
“Kajian elektrofisiologi (EPS) dan ablasi kateter ialah prosedur yang dilakukan oleh pakar elektrofisiologi jantung, iaitu pakar kardiologi dengan subkepakaran dalam penyakit ritma jantung,” katanya.
PVC biasanya tidak mengancam nyawa.
Walau bagaimanapun, PVC yang kerap boleh mengakibatkan kegagalan jantung di mana ablasi kateter boleh menghilangkan PVC dan meningkatkan fungsi jantung.
“Bagaimanapun pengesanan PVC sekurang-kurangnya akan mendorong penilaian terperinci pada jantung anda kerana pesakit dengan PVC didapati mempunyai keputusan perubatan yang lebih baik dan berpotensi disembuhkan jika dirawat lebih awal dan sewajarnya,” katanya.










