Denu kotakan impian Ahmad Tarmimi - Utusan Malaysia

Denu kotakan impian Ahmad Tarmimi

MEMULAKAN penggambaran hari ini di sekitar Perak, Denu menggandingkan nama berpengalaman dalam naskhah yang mengangkat kisah mengenai kesenian mak yong ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELUNASKAN naskhah berbentuk kenegaraan bukan perkara mudah, terutama apabila skrip asal terpaksa dirombak beberapa kali untuk menemukan kesempurnaan baik dari segi jalan cerita dan susur-galur sejarah.

Meskipun menempuh laluan berliku, pelakon dan pengarah, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang berkecimpung dalam bidang perfileman sejak 1970, tetap memberanikan diri untuk menerbitkan filem pertama arahannya, Denu.

Jelas pengarah yang sudah mencecah usia 72 tahun itu, idea asal menghasilkan filem mengenai primadona mak yong tercetus sejak belasan tahun lalu.

“Teks asal ini dirombak sebanyak lapan kali sebelum kami bersetuju dengan jalan ceritanya. Naskhah primadona mak yong ini hanya inspirasi. Idea dan kisah sisi gelap mak yong bagaimanapun, dipindahkan ke watak lain serta menjadi struktur baharu dalam penceritaan.

“Menerusi filem ini juga, saya cuba gambarkan bagaimana orang politik menggunakan mak yong sebagai medium berkempen ketika memperjuangkan kemerdekaan sekitar 1955 iaitu dua tahun sebelum merdeka.

“Watak yang ada dalam filem ini memain peranan sebagai lidah penyampai kepada masyarakat tentang makna kemerdekaan, rancangan kerajaan dan hasrat pemimpin ketika itu. Disebabkan itu,

Denu yang bermaksud ‘di sana’ berkait rapat dengan mak yong sendiri,” katanya.

Denu berkisarkan tentang mak yong pada era sebelum merdeka sebagai latar cerita menerusi watak seperti Pok Yeh lakonan Sabri Yunus dan Asmah (Nad Zainal) yang memperjuangkan cinta dan cita-cita antara satu sama lain.

Naskhah ini turut dibintangi pelakon handalan lain seperti Hairi Safwan, Che Kem dan Azman Hassan.

Filem yang memaparkan kisah suka dan duka, tawa dan dendam serta nilai kejujuran dalam kehidupan akan menggunakan sepenuhnya dialek Kelantan dan disertakan sari kata dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Mengulas mengenai pemilihan lokasi penggambaran yang dijalankan sepenuhnya di Perak, Ahmad Tarmimi menjelaskan, tidak timbul sebarang konflik walaupun demografi mak yong asalnya di Kelantan.

“Kita fikirkan tentang logistik dan lokasi yang bersesuaian, jadi tidak timbul isu menjalankan penggambaran filem mengenai mak yong di luar Kelantan.

“Kita tahu sejarah mak yong bertapak di Kota Bharu dan Pasir Puteh yang merupakan pusat perkembangan kesenian kerana berhampiran bandar serta sungai,” jelasnya.

Ahmad Tarmimi juga menjelaskan filem yang akan menjalani penggambaran bermula hari ini bakal disiarkan menerusi platform digital seperti Amazon dan Netflix.

Filem yang mendapat Dana Kandungan Digital (DKD) dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu menelan kos perbelanjaan RM1.8 juta.

IMPIAN NAD ZAINAL TERLAKSANA

Pelakon, Nad Zainal sudah lama mengimpikan naskhah berat dan kesenian tradisional seperti primadona mak yong yang belum pernah digalasnya.

Katanya, dia lebih teruja apabila dapat digandingkan dengan nama besar seperti Sabri menerusi filem yang berinspirasikan daripada kisah benar.

“Saya pernah bergandingan dengan Sabri, tetapi kebanyakan produksi hanya berlakon di bawah arahannya. Sebelum ini, kami pernah berlakon sekali dalam filem Hanyut, tetapi tidak banyak adegan kami bersama.

“Kali ini, saya dan Sabri akan jadi teraju utama sebagai pasangan suami dan isteri. Risau juga hendak digandingkan sekali sebab filem seperti ini sudah menjadi ‘makanan’ dia (filem loghat Kelantan),” katanya.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin juga melahirkan kebimbangan terhadap penerimaan masyarakat, khususnya di Kelantan kerana dia perlu sentiasa bertutur dalam dialek negeri itu.

Apatah lagi, katanya, membawa budaya mengenai mak yong yang begitu mencabar.

“Saya bukan asal Kelantan tetapi dalam filem ini saya perlu sentiasa bertutur dalam dialek negeri itu. Malah, hendak membawa budaya dari sana juga cabaran besar.

“Saya yakin, filem ini akan menarik minat ramai penonton kalau dilihat dari segi jalan ceritanya,” katanya.

Dialog perlu dijaga – Sabri Yunus

Pelakon berpengalaman, Sabri Yunus turut menyumbang kepakaran dalam penghasilan filem ini, terutama melibatkan skrip dan dialog.

Katanya, pemilihan penulis skrip juga perlu diteliti supaya watak mak yong yang sebenar dapat diterjemahkan dengan baik.

“Kalau penulis dari Kedah atau Terengganu, dia tidak dapat melihat atau merasai suasana mak yong sebenar. Jadi, penyampaian tidak sampai. Disebabkan itu, skrip terakhir ditulis oleh orang Kelantan sendiri iaitu Wan Saiful Shahrizan Wan Nawi.

“Walaupun filem fiksyen, ada beberapa fakta perlu dikekalkan seperti mak yong yang menggunakan bahasa tersendiri. Kalau penulis bukan dari Kelantan, susah untuk dia menterjemahkan aspek itu ke dalam dialog,” katanya.

Mengulas lanjut, Sabri berkata, penyampaian dialog dalam filem ini perlu dititikberatkan kerana terdapat perbezaan dialek yang perlu dijaga.

“Dialog Kelantan dan dialog mak yong terdapat kelainan seperti bahasa Melayu serta bahasa golongan bangsawan adalah berbeza.

“Kalau pengarah tidak sedar, dia akan kata sama sahaja. Walaupun pelakon kelahiran Kelantan sendiri, kesilapan boleh berlaku. Saya sangat menjaga pengarahan filem ini sebab di sana sudah mempunyai ‘tradisi pengucapan lakonan Kelantan’,” jelasnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×