Biarlah orang nak cakap projek keluarga – Fauziah Nawi - Utusan Malaysia

Biarlah orang nak cakap projek keluarga – Fauziah Nawi

TEATER Tun Fatimah arahan Fauziah Nawi menampilkan cucunya, Mhia Farhana Firdaus membawakan watak utama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASKHAH popular Tun Fatimah sudah beberapa kali dipentaskan, namun pelakon veteran, Fauziah Nawi terpanggil untuk menggarap semula kisah tersebut dalam sebuah pementasan yang berlangsung tiga hari, mulai hari ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Fauziah berkata, naskhah itu memiliki keistimewaan yang menggerakkan hatinya untuk mementaskan semula kisah tersebut dengan sentuhan dan garapan tersendiri.

“Saya berminat dengan cerita sejarah yang menampilkan tradisi kita seperti ilmu persilatan, seni Mak Yong dan sebagainya.

“Selama ini, kebanyakan teater yang saya arahkan menampilkan lelaki sebagai watak utama. Untuk kali ini, saya putuskan sebuah pementasan yang berbeza.

“Saya pilih naskhah Tun Fatimah kerana saya lihat, banyak percanggahan fakta berlaku dalam pementasan pernah dibuat sebelum ini,” katanya.

Mengenai pemilihan skrip, Fauziah memberitahu, dia lega kerana mendapat naskhah yang bersesuaian dengan tuntutan pementasan yang diarahkannya.

“Saya dimaklumkan, Ladin Nuawi pernah menghasilkan skrip Tun Fatimah. Tanpa berlengah, saya terus menghubunginya untuk bertanyakan perkara itu.

“Saya berterima kasih kepada Ladin kerana banyak memberikan saya pendedahan tentang Tun Fatimah. Skrip teater ini berat, malah barisan pelakon juga mengakuinya. Saya anggap itu cabaran untuk kami menjayakan pementasan ini,” kata Fauziah.

Disoal berkenaan pemilihan cucunya, Mhia Farhana Firdaus memegang peranan Tun Fatimah, Fauziah berkata, keputusan itu dibuat atas cadangan yang diutarakan penulis skrip berdasarkan kesesuaian karakter.

“Bukan mudah untuk mendapatkan pelakon yang sesuai. Uji bakat telah dijalankan, tetapi Ladin memaklumkan, dia melihat karakter Tun Fatimah ada dalam diri Mhia.

“Pada awalnya, saya kurang bersetuju kerana dia masih budak. Lagi satu, dia cucu saya, tetapi disebabkan kekangan peruntukan, saya terima cadangan itu,” jelasnya.

Fauziah memaklumkan, dia bagaimanapun enggan ambil pusing sekiranya ada pihak menyifatkan pementasan tersebut sebagai ‘projek keluarga’.

“Ya, memang ini projek keluarga. Dalam industri, ini bukan kali pertama, bahkan ramai yang ambil ahli keluarga untuk bekerjasama dalam naskhah yang mereka usahakan.

“Orang tidak faham apa yang kami hadapi, tambahan pula kekangan peruntukan yang menyukarkan pementasan ini dijayakan.

“Kalau ada yang berkata, ini projek kroni, saya tidak nafikan perkara itu. Semua yang bekerja untuk teater ini rapat antara satu sama lain. Kami bagai satu keluarga, jadi kerja lebih mudah.

“Saya tidak kisah orang nak kata apa, kroni atau tidak kerana yang penting pementasan ini diteruskan,” tambahnya.

UTAMA PENGALAMAN, BUKAN BAYARAN – AQASHA

Antara nama besar yang terbabit dalam pementasan itu adalah Aqasha yang membawakan watak Sultan Mahmud Shah.

Aqasha mengakui, dia bersetuju untuk terlibat dalam teater tersebut kerana ingin sekali lagi bekerjasama dengan pengarah hebat seperti Fauziah.

“Ini adalah pementasan pertama saya setelah beberapa tahun tidak berlakon teater. Terus terang saya katakan, Fauziah merupakan antara sebab kenapa saya bersetuju berlakon teater ini.

“Sebelum ini, saya pernah berlakon dalam teater Matinya Seorang Pahlawan arahannya. Cuma kali ini, durasi pementasan lebih panjang dan saya dituntut untuk bermonolog.

“Saya menyifatkan beliau sebagai pengarah yang mementingkan kehalusan dan dinamik kerja. Fauziah sentiasa mahukan yang terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut, Aqasha memaklumkan, bukan mudah untuk dia membawakan watak yang memerlukan kajian dan kefahaman mendalam mengenai karakter.

“Saya banyak merujuk penulisan sejarah untuk menghidupkan watak Sultan Mahmud Shah.

“Saya perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan imaginasi untuk mendapatkan sifat karakter tersebut,” jelasnya.

Ditebak persoalan tentang bayaran, Aqasha berkata, perkara itu jatuh soal kedua kerana dia meletakkan pengalaman berlakon teater pada kedudukan lebih utama.

“Jujur, sepanjang berlakon teater, tiada istilah bermewah-mewahan. Pelakon teater ramai yang dibayar rendah dan ia bukan keutamaan apabila saya bersetuju menjayakan pementasan ini.

“Saya terima kerana teruja, selain keinginan untuk kembali menjalani proses lakonan teater,” katanya lagi.

Bercerita tentang persediaan, empunya nama sebenar, Firdee Akassya Rosli ini memaklumkan, latihan intensif perlu dilakukan untuk memastikan pementasan lancar

“Latihan sudah bermula sejak seminggu lalu. Bukan mudah sebenarnya kerana banyak perkara perlu dihafal dan diperkemaskan.“Watak Sultan Mahmud mencabar dan menuntut lebih perhatian. Teater berbeza dengan drama dan filem kerana semuanya ditentukan ketika di atas pentas.

“Potensi untuk gagal tinggi jika tidak cukup latihan dan persediaan. Perkara itu mencetuskan kerisauan kepada semua pemain pentas Jadi, komitmen sangat penting kerana teater memerlukan kerjasama semua pihak.,” jelasnya.

Cucu pengarah bukan tiket dapat watak utama

Bergelar cucu kepada Fauziah bukan tiket mudah untuk pelakon muda, Mhia Farhana dipilih memainkan peranan utama.

Mhia, yang merupakan anak kepada pelakon berbakat besar, Farah Ahmad menganggap pemilihannya itu menjadi titik tolak untuk dia berusaha lebih keras memberikan persembahan yang terbaik.

“Ini adalah pementasan besar dan apabila mendapat tawaran, saya teruja. Saya tahu karakter ini berat, tetapi apabila sudah diberikan tanggungjawab, saya akan buat sehabis baik.

“Teater ini mencabar kemampuan dan saya tidak mahu orang mempertikai lakonan saya. Untuk mendapatkan watak ini, saya perlu menghadiri uji bakat dan tidak ditawarkan begitu sahaja hanya kerana saya cucu pengarah,” ujarnya.

Disoal sama ada dia tertekan apabila beri peranan sebegitu besar, jawabnya tidak. Sebaliknya, Mhia menganggap itu sebagai cabaran seorang pelakon.

“Saya tidak tertekan, tetapi saya akui, karakter ini berat. Formula saya adalah melihat dari sudut pandang Tun Fatimah itu sendiri.

“Banyak teladan yang saya dapat menerusi watak ini. Tun Fatimah adalah isteri yang taat walaupun keluarganya dibunuh kejam. Perkara itu benar-benar mengagumkan saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN