Cabaran dunia hari ini berbeza daripada sebelumnya. Ramai manusia yang hilang pedoman hingga sanggup menggadai maruah dan perasaan malu dengan melakukan gimik serta aksi tidak bermoral untuk kepentingan diri .
Bagi pelakon dan usahawan, Tya Arifin, dia tidak akan sesekali menggadai maruah dengan gimik murahan semata-mata untuk melariskan produk jamunya.
Menantu penyanyi nombor satu, Datuk Seri Siti Nurhaliza ini menyedari ada batas yang perlu dijaga sebagai seorang wanita Islam dan isteri orang.
“Setiap pengasas produk ada teknik pemasaran masing-masing. Saya hormati cara dan pendekatan yang mereka gunakan.
“Tetapi, saya bukan mahu jual produk untuk sementara atau suka-suka. Dapat sales, cukup. Tidak, bukan begitu.
“Perniagaan adalah untuk jangka masa yang panjang. Saya kena jaga jenama saya, bukan ambil jalan mudah untuk tularkan produk yang dijual.
“Saya mahu bawa produk ini ke peringkat global. Jadi, saya kena fikir sebelum berbuat sesuatu,” katanya.
Kata Tya, sejak mula berlakon di Indonesia, dia tidak suka mencipta kontroversi murahan untuk popular.
“Saya tidak pernah terkait dengan kontroversi, bahkan dahulu, cerita berteman lelaki juga tidak pernah ada.
“Dari awal lagi, saya sudah tetapkan, berlakon sebab mahu bekerja dan memperbaiki kehidupan keluarga. Prinsip itu saya pegang sehingga ke hari ini,” ujarnya.
Tambah anak kelahiran Palembang ini, dia perlu menjaga nama baik keluarga dan sentiasa berhati-hati sebelum melakukan sesuatu.
“Orang kenal mentua dan keluarga suami. Sebagai isteri dan menantu, saya kena ambil berat tentang itu dan jaga nama baik kami semua,” jelasnya.
Rindu pada lakonan
Apabila dilayangkan soalan tentang kerjaya lakonan, jelas Tya, dia rindu. Dalam jawapannya, jelas menggambarkan dia tidak pernah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lako nan, meskipun kini selesa bergelar usahawan.
“Saya okey. Tengoklah pada tawaran yang datang. Mungkin susah untuk saya terima kalau tawaran lakonan itu melibatkan penggambaran yang lama. Tetapi, kalau seperti telemovie, mungkin tidak ada masalah.
“Sudah lama juga saya tinggalkan dunia lakonan. Yang terakhir adalah tujuh tahun lalu menerusi telemovie Bidadari arahan Osman Ali,” ceritanya.
Orang nampak yang indah belaka
Sebagai pengasas produk jamu Mutyara, Tya kini boleh tersenyum panjang setelah berjaya membantu kira-kira 40,000 usahawan menjalankan perniagaan di bawah produknya.
Itu adalah pencapaian yang cukup membanggakannya. Namun, kata Tya apa yang dikecapi hari ini adalah pulangan dari kegigihan dan kerja keras dia, suami dan orang di belakangnya yang selama ini memberi sokongan.
“Orang tengok yang indah belaka. Sebenarnya, di sebalik semua yang saya miliki hari ini, hadir kesukaran dan kepayahan yang hampir mematahkan semangat.
“Banyak yang saya hadapi, termasuk ditinggalkan rakan perniagaan begitu sahaja, selain dipandang rendah keluarga sendiri yang tidak yakin dengan keputusan yang saya ambil.
“Tentunya apa yang berlaku menguatkan sema-ngat saya. Ia terpulang pada kita, sama ada mahu putus asa atau terus bangkit dan bangkit. Saya pilih untuk berjuang,” kongsinya.











