PENYANYI bersuara lantang, Ara Johari membuktikan ketiadaan album tidak menghalang seseorang penyanyi untuk mengadakan showcase atau konsert.
Ara atau nama sebenarnya, Nurfarrah Izzatie Johari berkata, dia kurang bersetuju dengan pandangan yang menyatakan penyanyi perlu mempunyai album untuk melayakkan mereka beraksi pada konsert.
Baginya, perspektif tersebut sudah tidak relevan memandangkan penyanyi seangkatannya, termasuk Aina Abdul boleh beraksi pada persembahan berskala besar dan mendapat sambutan hebat.
“Ada yang tidak menyangka saya mampu menjayakan showcase kerana belum memiliki album penuh. Bagi saya, sama ada mempunyai album penuh atau tidak bukan isu besar.
“Perkara itu sebenarnya sudah tidak relevan kerana apa yang penting, kemampuan seseorang untuk memberikan persembahan terbaik. Jika yakin mampu beraksi, ia tidak menjadi masalah.
“Saya sahut cabaran ini kerana ia menguji kemampuan saya mewarnakan sesebuah lagu dengan cara sendiri. Itu yang penonton ingin lihat. Mereka mahu tengok kreativiti saya sebagai penyanyi,” jelasnya.
Ara bersyukur, selepas tujuh tahun berkecimpung dalam dunia seni suara, dia mendapat kepercayaan untuk menjayakan showcase sulung di Petaling Jaya Performing Art Centre (PJPAC), Selangor, baru-baru ini.
Persembahan istimewa itu dihadiri kira-kira 200 peminat. Pada malam itu, Ara membawakan lapan lagu, termasuk lagu hits seperti Bunga, Keliru (dinyanyikan bersama Lil J), Warkah Untukku dan Sumpahan Salju.
Impian terlaksana
Katanya, showcase tersebut adalah impian yang dipendamnya sekian lama.
“Saya gembira kerana ini adalah impian saya dan tidak sangka ia menjadi kenyataan. Sudah lama saya idamkan dan akhirnya, impian itu tercapai juga.
“Saya terharu apabila ramai sanggup beli tiket dan hadir menyaksikan persembahan saya. Jadi, saya kena berikan persembahan yang terbaik.
“Sorakan dan jeritan penonton membuatkan saya bersemangat untuk beraksi. Saya tidak fikirkan perkara lain, selain mahu menghiburkan peminat,” katanya ketika ditemui selepas showcase tersebut berakhir.
Ara pada masa sama, meluahkan perasaan terharu dengan kehadiran rakan artis yang memberikan sokongan. Katanya, dia tidak menyangka mereka sanggup meluangkan masa untuk menonton persembahannya.
“Saya terharu sebenarnya, malah tidak menyangka rakan artis seperti Rozita Che Wan, Wany Hasrita, Ernie Zakri dan Syamel sanggup hadir memberi sokongan.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang sanggup meluangkan masa menonton persembahan saya. Sebagai rakan industri, ini yang saya harapkan. Kami saling menyokong antara satu sama lain,” ujarnya.
Sisi berbeza
Selain menyanyikan lagu sendiri, Ara turut menampilkan sisi berbeza dengan menyanyikan lagu penyanyi lain seperti Baby yang dipopularkan Justin Bieber dan I’ll Never Love Again nyanyian Lady Gaga.
“Saya bawakan lagu Bieber kerana tidak berpeluang melihat dia membuat persembahan di negara ini. Saya kecewa sebenarnya apabila siri konsert jelajahnya ditangguhkan.
“Lagu saya banyak yang berentak perlahan. Jadi, untuk menggamatkan lagi suasana, saya bawakan lagu Baby. Peminat pun senang untuk menyanyikannya bersama-sama.
“Lagu I’ll Never Love Again itu pula sangat bermakna buat diri saya. Siapa yang mengikuti kisah percintaan saya akan tahu kenapa saya pilih untuk menyanyikan lagu itu dalam showcase ini,” ujarnya.
Sakit tekak, turun key
Dalam keterujaan membuat persembahan, Ara sebenarnya menyimpan sedikit kekecewaan gara-gara keadaan kesihatannya yang menghalang dia untuk menyanyi seperti biasa.
Kata Ara, dia sebenarnya bergelut dengan sakit tekak yang dialami sejak beberapa bulan lalu.
“Batuk yang saya alami ini berlarutan sejak saya demam ketika sambutan hari raya Aidilfitri lalu. Sampai sekarang, ia tidak pulih sepenuhnya.
“Saya sebenarnya menahan gatal pada bahagian tekak ketika menyanyi, lebih-lebih lagi apabila menyanyikan nada tinggi. Disebabkan itu, saya lebih berhati-hati dan cuba menggunakan teknik yang betul bagi mengelakkan nyanyian sumbang.
“Saya terpaksa turunkan separuh key bagi membolehkan saya selesa ketika menyanyi. Saya kecewa sebenarnya kerana perkara ini berlaku ketika showcase pertama,” ujarnya.
Kata Ara lagi, dia telah merujuk keadaannya kepada pakar dan dinasihatkan menjaga kesihatan, di samping mengamalkan beberapa pantang larang bagi mengelakkan kesihatan suaranya merosot.
“Doktor berkata, saya tidak perlu melakukan pembedahan kerana keadaan tidak teruk. Dia cuma nasihatkan saya jaga pemakanan, elak makanan pedas dan minuman berais.
“Dia juga memaklumkan, mungkin keadaan ini berlaku disebabkan cuaca yang tidak menentu,” jelasnya.
Kata Ara, dia sedikit terkilan kerana mengecewakan peminat yang sanggup berhabis untuk menyaksikan persembahannya.
“Saya sedih kerana gagal menjaga kesihatan sehingga mengakibatkan saya tidak dapat memberikan 100 peratus pada showcase ini.
“Saya sudah memberikan apa yang termampu dan berharap penonton berpuas hati dengan nyanyian saya,” katanya.










