Noraniza Idris lakar rekod penari paling ramai - Utusan Malaysia

Noraniza Idris lakar rekod penari paling ramai

NORANIZA Idris melakar rekod baharu dalam Malaysia Book Of Records.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Noraniza Idris melakar satu lagi sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi bilangan penari paling ramai dalam persembahan Irama Malaysia di Dataran Merdeka, semalam.

Persembahan khas tarian asas tradisional itu ditarikan lebih 565 pelajar dari sekolah menengah sekitar Lembah Klang dan pelajar antarabangsa dari Universiti Putra Malaysia. Mereka mengiringi Noraniza membawakan lagu Ala Ewa-Ewa, duet bersama Hazama serta dua lagu popularnya, Intan Payung dan Dikir Puteri.

Pengiktirafan itu kata Noraniza, membakar semangatnya untuk terus berusaha memartabatkan genre irama Malaysia dan etnik kreatif, meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Sebagai penganjur, saya teruja apabila usaha ini mendapat pengiktirafan kerana tidak mudah mengendalikan acara dalam skala besar, apatah lagi untuk mendapat pengiktirafan MBOR.

“Ia tidak sama seperti kita menang anugerah kerana pengiktirafan MBOR ini membuktikan kita telah melahirkan sesuatu yang baharu buat generasi pelapis.

“Apabila mereka hadir untuk mengikuti program ini, ia memberikan saya kepuasan kerana itu bermakna, matlamat kita tercapai,”  katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Noraniza juga mengharapkan usaha itu dapat menjadi panduan buat generasi pelapis dalam tarian tradisional.

Penyanyi lagu Dikir Puteri itu berkata, biarpun hampir berputus asa berdepan pelbagai cabaran menjelang acara, dia bersyukur mendapat sokongan daripada pelbagai pihak pada saat akhir.

“Ia menjadi hari bersejarah buat saya, terutama apabila dapat mengetengahkan lagu Irama Malaysia dalam sebuah persembahan tradisional daripada peserta yang tidak mempunyai asas dalam seni dan budaya.

“Mereka diajar dalam tempoh lapan hari. Kalau diikutkan, memang tidak jadi, tetapi saat akhir, kami mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) dan sekolah antarabangsa untuk menjayakan program ini.

“Pelbagai cabaran dan dugaan, namun Alhamdulillah berkat doa serta kesabaran semua, kita berjaya selesaikan usaha ini,” katanya.

Acara persembahan ini diiktiraf dan disahkan oleh Datuk Mohammed Abdullah, Undang Luak Johor, Penaung Program CSR Pelancongan Seni dan Budaya ‘Malay World Cultural Paradise’.

Ia dianjurkan bersama Malaysia International Tourism Development Associasion (MiTDA) dan Persatuan Tatihseni Malaysia.

Acara itu bertujuan mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan Malaysia ke tahap lebih membanggakan, selain berperanan sebagai aktiviti tarikan pelancong menerusi aktiviti seni dan kebudayaan Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya