Malbatt Misi Bakara tangkis pembohongan AS - Utusan Malaysia

Malbatt Misi Bakara tangkis pembohongan AS

ADRIAN (tengah) bersama barisan pelakon Malbatt Misi Bakara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR tahun 2001, industri perfileman Hollywood tampil membawakan filem bercorak ketenteraan, Black Hawk Down yang mendapat perhatian dunia kerana naskhah itu dihasilkan berdasarkan kisah benar.

Ia melibatkan tentera Amerika Syarikat (AS) dalam misi menyelamatkan pasukan tentera negara asing ketika bertempur dengan kumpulan militia di kawasan Pasar Bakara di Mogadishu, Somalia sekitar tahun 1993.

Namun, elemen heroic lebih cenderung ditonjolkan kepada pasukan tentera AS untuk memaparkan kekuasaan mereka sebagai sebuah negara besar.

Kenyataannya, di sebalik filem itu, tercatat kisah benar membabitkan pengorbanan dan perjuangan batalion Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi menyelamatkan tentera AS daripada menjadi mangsa serangan pengikut setia puak penentang Jeneral Farrah Aidid.

Operasi menyelamat dan pertempuran sengit itu mengambil masa lebih tujuh jam bermula pada sebelah malam dan hanya awal pagi keesokan harinya semua anggota ATM berjaya membawa keluar puluhan tentera AS dengan selamat.

Atas dasar tanggungjawab, Adrian Teh, menyahut cabaran untuk menggarap sebuah naskhah mengenai konflik pertempuran itu menerusi filem Malbatt Misi Bakara.

Melihat kepada profil dan kejayaannya menerusi Paskal The Movie serta Wira, Adrian dianggap antara pengarah yang layak menghasilkan filem ini, apatah lagi, dia telah membina hubungan baik dengan ATM menerusi kerjasama terdahulu.

Dihasilkan dengan kos keseluruhan berjumlah RM20 juta, Malbatt Misi Bakara juga melakar sejarah sebagai filem termahal pernah dihasilkan anak tempatan setakat ini.

Menurut Adrian, dia amat berbesar hati apabila diberi peluang mengarah naskhah ini, apatah lagi misi ATM di Mogadishu, Somalia itu merupakan antara misi antarabangsa paling berjaya dan diingati dalam sejarah negara.

“Saya bangga kerana berpeluang mengarah dan mengangkat cerita ini. Banyak inisiatif diambil untuk hasilkan karya ini, termasuk menemu bual individu yang menyertai misi itu dan mendalami perjuangan mereka.

“Banyak kali saya olah semula skrip untuk dapatkan naskhah yang terbaik, selain memaparkan kebenaran. Jangan tanya berapa kali olahan dibuat kerana memang terlalu banyak sampai saya sendiri tidak ingat,” katanya.

Kongsi Adrian lagi, dari segi kos, ia menelan belanja yang tinggi dengan peruntukan utama difokuskan kepada bahagian produksi filem.

“Penggambaran dilakukan di Turkiye, selain beberapa lokasi dalam negara. Kami juga perlukan pasukan yang menyediakan set lengkap uniform tentera lama dan untuk tujuan itu sahaja, kosnya sahaja sudah mencecah ratusan ribu ringgit.

“Kos yang tinggi juga dikeluarkan untuk membina semula kelengkapan ketenteraan, selain membayar khidmat barisan pelakon,” katanya.

Tambah Adrian, pasukannya juga komited mewujudkan suasana yang menggambarkan era 1990-an untuk disesuaikan dengan latar filem itu. Baginya, bukan mudah untuk menghasilkan suasana dan gambaran itu jika tidak disuntik kos perbelanjaan yang tinggi.

“Ia pasti menyentuh aspek penggunaan imej janaan komputer atau CGI. Tetapi, apa yang boleh kami yakinkan, tidak banyak sentuhan CGI diaplikasikan untuk filem ini. Kami banyak bermain dengan elemen kreatif ketika penggambaran,” katanya.

SELIT ELEMEN KOMERSIAL

Kata anak kelahiran Pulau Pinang ini, Malbatt Misi Bakara menampilkan sisi berbeza berbanding Paskal The Movie yang lebih cenderung memfokuskan pada karakter hero.

Untuk Malbatt Misi Bakara, Adrian tidak memusatkan kepada watak hero, sebaliknya terarah kepada keseluruhan batalion.

“Ketika menjalankan kajian mengenai misi ini, banyak yang saya dapati kurang tepat dalam filem Black Hawk Down. Disebabkan itu, saya menemu bual askar yang terlibat kerana mereka adalah hero sebenar.

“Saya tidak memberikan fokus kepada mana-mana watak utama kerana ini bukan dokumentari. Saya juga perlu selitkan elemen hiburan dan komersial supaya senang difahami penonton.

“Menerusi paparan yang diketengahkan, saya yakin filem ini dapat membuka mata terhadap jasa ATM sebagai wira sebenar dalam misi itu,” katanya.

Ditanya apakah dia menyasarkan sebarang anugerah untuk penghasilan filem ini, Adrian berkata, perkara itu bukan keutamaan.

“Sebagai seorang pembikin filem, saya tidak pernah meletakkan anugerah sebagai sasaran utama. Bagi saya, anugerah hanya akan diberikan kepada pengkarya yang bagus. Kalau dapat anugerah, itu bermakna kita telah menghasilkan produk yang bagus.

“Saya melihat diri sebagai pengarah komersial. Ketika Paskal The Movie memenangi Anugerah Khas Juri, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-30, saya bangga kerana filem itu menjadi contoh kepada pengkarya lain.

“Saya buat filem untuk hasilkan produk yang bagus, bukan kerana anugerah,” katanya.

Adrian juga memaklumkan, kemungkinan Malbatt Misi Bakara akan menjadi naskhah ketenteraan yang terakhir garapannya.

“Bukan sebab serik, tetapi cukuplah setakat ini. Hakikatnya, naskhah sebegini memang tidak mudah untuk dihasilkan kerana banyak memakan masa dan tenaga. Tetapi keputusan itu belum muktamad. Siapa tahu nanti saya terbuka hati lagi untuk hasilkan naskah ketenteraan? Kita tengok macam mana,” katanya.

BANGKIT SEMANGAT PENONTON

Sementara itu, penerbit, Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Pictures, melihat usaha mengangkat naskhah ini ke layar perak sebagai peluang kepada orang ramai untuk mengetahui naratif sebenar kehebatan pasukan tentera kita.

“Ia antara sebab mengapa kami mahu menerbitkan filem ini walaupun sedar kosnya agak tinggi. Kami mahu penonton lihat dan berbangga dengan hasil usaha anak seni tempatan.

“Filem ini tidak seharusnya hanya dilihat dari konteks pengisiannya yang bermanfaat dan pengorbanan tentera kita, sebaliknya menjadi khazanah kandungan dan warisan negara.

“Atas dasar tanggungjawab sosial, kami sentiasa membantu dan menyokong perkembangan sektor perfileman tempatan. Saya harap filem ini dapat membangkitkan semangat penonton dan mengangkat wira kita di mata dunia,” katanya.

Malbatt Misi Bakara membariskan pelakon seperti Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi dan Dafi Ismail Sabri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN