Mahu tapi ada syaratnya – Diana Rafar - Utusan Malaysia

Mahu tapi ada syaratnya – Diana Rafar

DIANA meletakkan syarat untuk kembali ke lokasi penggambaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RINDU, itu yang acap kali diluahkan pelakon, Diana Rafar tatkala ditanya soal kerjaya. Sudah lama sebenarnya kita tidak melihat kelibat ibu kepada tiga orang anak ini di layar kaca. Sudah bersarakah dia?

Itu antara persoalan yang kerap diulang tanya. Apakah dia sebenarnya lebih selesa menjalani kehidupan berkeluarga, apatah lagi, dia dilihat sering berkongsi perihal perniagaan dan kelas agama diikuti.

“Tipulah kalau tidak rindu. Mesti perasaan rindu untuk kembali aktif berlakon itu ada. Saya bermula ketika usia lima tahun, sudah sebati dengan industri seni. Orang kata, sampai satu tahap mahu cuba bidang lain.

“Bukan mahu terus tinggalkan dunia seni, tetapi perlahan-lahan kita memperbaiki kehidupan dan diri sendiri. Percaturan itu Allah sudah ditetapkan. Kita ikut sahaja laluannya. Mungkin saya lebih selesa begini.

“Saya ada perniagaan dan anak-anak yang perlu diuruskan. Lebih-lebih lagi, sekarang saya banyak menerima undangan untuk berkongsi ilmu dan memberi inspirasi kepada anak-anak muda. Itu memberikan kepuasan berbeza,” katanya.

Kongsi pelakon yang juga penyanyi ini, dia sebenarnya banyak menerima tawaran, namun terpaksa menolak kerana terikat dengan komitmen keluarga dan perniagaan, terutama yang baru diceburi.

“Sebenarnya, susah hendak tolak tawaran berlakon, apatah lagi cerita seram atau hantu. Memanggil-manggil orang kata. Tetapi, bila baca skrip, ada adegan suami isteri dan bercinta. Jadi, saya susah hendak terima.

“Kalau ada watak yang menarik dan mengikut kehendak, saya tidak fikir ada sebab untuk tolak. Tetapi, tidak mahulah berlakon sampai pukul 2-3 pagi. Saya sudah ada keluarga dan anak-anak. Komitmen itu berbeza,” jelas pelakon Susuk ini.

ELAK UNDANG KECAMAN

Bergelar selebriti, pastinya Diana juga tidak dapat lari daripada kecaman dan kritikan segelintir warganet yang seperti mengharapkan kesempurnaan. Tidak boleh berbuat silap, walaupun sekali.

Justeru, tidak hairan, Diana juga seperti anak seni lain mengamalkan sikap berhati-hati dalam memuat naik gambar atau video di media sosial bagi mengelakkan kecaman datang tanpa diundang.

“Kita manusia, kadang-kadang terlepas. Mana ada manusia yang sempurna? Saya kadang kala terfikir-fikir, ke mana arah tuju kita? Semestinya ke arah kebaikan tetapi dalam kehidupan seharian, pasti ada cabarannya.

“Ada yang anggap bila berhijrah atau mula mendekati agama, kita terus jadi ustazah. Tahu serba-serbi, sedangkan saya. saya juga masih belajar untuk menambah ilmu agama.

“Disebabkan itu, saya begitu berhati-hati untuk berkongsi sesuatu perkara. Takut melanggar sensitiviti atau menjentik ‘ustaz dan ustazah maya’ ini. Tidak salah menegur, cuma ada adabnya,” ujarnya.

Tidak menyalahkan warganet 100 peratus, Diana sedar, kedudukannya sebagai penggiat industri hiburan sememangnya membuka gelanggang untuk menjadi tatapan dan perhatian umum.

“Kita milik masyarakat, tetapi tidak bermaksud kita harus menjadi orang lain semata-mata mahu terus mendapatkan sokongan. Itu berpura-pura. Lebih baik jadi diri sendiri. Sentiasa perbaiki diri.

“Bukan sebab orang lain, tetapi untuk kehidupan kita dunia akhirat. Itu lebih penting,” kata pelakon yang telah membintangi lebih 11 telefilem dan drama itu.

TEMPIAS ABANG ADAM

Walaupun Diana bukan pelakon drama yang cukup hangat di TV3, Aku Tanpa Cintamu, dia turut terkena tempiasnya. Semua gara-gara suaminya yang juga pelakon hebat, Zamarul Hisham menerima kecaman gara-gara watak Abang Adam.

“Memang kuat impak watak Abang Adam, lebih-lebih lagi daripada peminat wanita. Memang mereka ‘pangkah’ watak itu. Iyalah, siapa suka bersuamikan lelaki dayus dan curang? Memang watak itu dibenci masyarakat.

“Tambahan pula, mereka berlakon di rumah saya. Jadi, peminat yang tahu, terus hantar mesej peribadi di Instagram. Sedikit sebanyak tempias itu terkena kepada saya.

“Ada yang marah sangat dengan watak itu dan meluahkan ketidakpuasan hati mereka kepada saya. Pelik juga, tetapi perkara itu bagi saya kelakar. Sebagai isteri, mestilah saya bangga dengan lakonan abang Zamarul,” katanya.

BANTU TAMBAH PENDAPATAN

Berkongsi berita gembira, Diana yang baru sahaja dilantik sebagai duta kepada 020 Smart Store mahu membuka peluang perniagaan, sekali gus membantu mereka yang memerlukan pendapatan tambahan,

Jelas wanita berusia 40 tahun ini, dia sudah menjalankan perniagaan susu kambing selama enam tahun sendirian. Dengan bantuan rakan strategik, produknya kini mula berkembang luas di cawangan 020 Smart Store seluruh negara.

“Di samping itu, saya juga mempromosikan PanPay di mana setiap pembelian, anda akan menerima rebat dengan kadar yang tinggi. Malah, kita juga membuka peluang perniagaan kepada semua.

“Ini masanya saya memulangkan semula penghargaan dan sokongan mereka dengan memberi peluang perniagaan untuk mereka supaya dapat menambah pendapatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN