Tentang festival, muzik, kugiran dan sampah - Utusan Malaysia

Tentang festival, muzik, kugiran dan sampah

ATAS Angin Independent Festival menghimpunkan 33 band beraksi dalam persembahan berdurasi 15 jam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIMANA perasaannya menghadiri festival muzik berdurasi lebih 15 jam? Soalan saya ini boleh dijawab ramai kerana hampir 4,000 manusia ada di Gamuda Cove untuk meraikan Atas Angin Independent Festival, 6 Ogos lalu.

Festival besar-besaran yang menampilkan 100 peratus bakat tempatan itu berlangsung dengan jaya dan meriah. Tiada masalah besar yang ada, kecuali tapak pesta ditinggalkan dengan penuh sampah selepas acara berakhir.

Walaupun tidak dapat menikmati sepenuhnya persembahan kerana bertugas di kaunter tiket, suasana festival itu meriah, bertenaga dan mengujakan.

Bayangkan, pada pukul 10 pagi circle pit telah dibuka. Persembahan Hacktick! melalui Berhenti Melayu dengan penampilan vokalis Glistening Redchair, Gheff buat pengunjung tak senang duduk seawal matahari sendeng di timur.

Kitaran tenaga

Sebanyak 33 kugiran beraksi hari itu. Kesemua dipilih dalam kalangan kugiran yang mendapat permintaan tinggi. Itu antara faktor festival ini berjaya.

Rata-rata kugiran sudah tahu bagaimana mengendali ribuan peminat. Mereka berbual dengan bersahaja, bermain dengan baik dan menyalur tenaga secukupnya kepada peminat.

Tenaga daripada kugiran dikutip peminat, mereka menari dan bergembira sepenuh hati dan tenaga mereka dikembalikan kepada kugiran. Kitaran tenaga ini yang menjadikan satu-satu persembahan langsung itu berjaya.

Antara kugiran yang cemerlang bab ini ialah Gerhana Skacinta. Pengalaman lebih 20 tahun digunakan sepenuhnya untuk menangkap perhatian ribuan peminat di hadapan mereka. Vokalisnya, Widy tidak pernah membiarkan peminat terpinga-pinga. Setiap kali ada ruang antara lagu, Widy akan berinteraksi dan meminta sorakan peminat.

Apabila tiba giliran Edy bercakap, peminat semakin tak keruan. Kemuncaknya, apabila lagu Ali Baba Ska dimainkan, hampir semua peminat yang ada menari. Detik ajaib yang hanya ada di sana dapat merasai.

Dua pentas

Atas Angin Independent Festival berlangsung dengan dua pentas. Dalam festival sebegini, cabarannya adalah untuk memastikan kedua-dua pentas ada kugiran yang seimbang. Ini penting bagi memastikan tidak ada pentas yang kosong atau terlalu sedikit peminat.

Cabaran ini berjaya dihadapi Atas Angin apabila semua giliran persembahan, kedua-dua pentas boleh dikatakan seimbang jumlah penontonnya. Malah, walaupun berlaku masalah teknikal sebelum Couple memulakan aksi menyebabkan persembahan tertangguh lama, peminat masih setia di hadapan pentas.

Pada sebelah malam pula tiada masalah kerana persembahan diadakan berselang-seli antara kedua-dua pentas. Peminat gigih bergerak dari pentas pertama ke pentas kedua untuk menikmati semua persembahan.

Susun masa

Bukan mudah untuk bertahan dalam satu acara muzik selama lebih 15 jam. Acara sebegini memerlukan stamina dan perancangan yang baik. Ramai mengeluh kerana giliran persembahan tidak dikeluarkan lebih awal, menyebabkan mereka tidak dapat merancang perjalanan dengan lebih baik.

Ini perbahasan yang menarik kerana jika pengunjung dimaklumkan lebih awal tentang giliran, mungkin ada yang sengaja datang lambat menyebabkan kugiran beraksi pagi tidak dapat ramai penonton. Penerokaan muzik juga antara matlamat festival seperti ini, kan?

Sampah!

Kegembiraan menikmati festival diakhiri dengan pemandangan yang buruk. Permukaan Gamuda Cove dipenuhi sampah yang perlu dikutip kru festival sehingga pukul 3 pagi.
Mungkin kita boleh salahkan penganjur kerana tidak menyediakan tong sampah yang mencukupi, tetapi jika ada rasa bertanggungjawab, tidak sanggup kita meninggalkan tapak festival dengan sampah sebanyak itu.

Ini penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh semua pihak. Penganjur boleh bersedia dengan pengurusan sampah yang lebih baik; penonton sendiri bertanggungjawab memastikan sampah dibuang di tempat yang sepatutnya dan kugiran boleh selalu mengingatkan pengunjung sepanjang persembahan.

Tahap antarabangsa

Walaupun tidak dapat menikmati semua persembahan, saya bertanyakan pandangan rakan-rakan yang saya yakini cita rasa mereka. Hasil pertanyaan dan pemerhatian sendiri, saya boleh katakan yang cemerlang dalam festival ini ialah Hacktick!, Naratu, Gerhana Skacinta, No Good, Salammusik dan Plague Of Happiness.

Mungkin tidak menyeluruh tetapi rata-rata yang saya tanya, persembahan mereka ini yang meninggalkan kesan. Sehingga tularlah video peminat menikmati persembahan Naratu.

Seperti yang ditulis, persembahan Ali Baba Ska oleh Gerhana Skacinta antara detik ajaib dalam festival ini. Naratu pula memerah tenaga peminat yang moshing tanpa henti.

Hacktick! membuatkan pagi terasa seperti malam. No Good menggembirakan peminat dengan colour mosh. Plague Of Happiness tidak kenal tua, mereka menghulur tenaga pada sebelah malam dan Salammusik – antarabangsa. Persembahan Salammusik buat saya yakin, mereka kugiran tempatan yang terbaik.

Ini bukan bermakna kugiran lain tidak memberikan persembahan yang baik. Saya tidak dengar kritikan keras tentang persembahan kugiran lain tetapi enam kugiran yang disebutkan itu, mereka istimewa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN