Mizz Nina, Noh: Tarikh luput sebuah kesempurnaan

Mizz Nina, Noh: Tarikh luput sebuah kesempurnaan

MIZZ Nina dan Noh mengumumkan perpisahan mereka malam Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN ketika ini, masih ramai yang menggeleng tidak percaya bagaimana sebuah kisah pelayaran kasih yang sempurna, melabuhkan sauhnya. Berhenti demi mencari ketenangan hati, biarpun sendiri.

Mizz Nina dan Noh Salleh, dua nama yang menggegarkan dunia hiburan kala ini. Segala-galanya bermula apabila mereka mengumumkan perceraian malam Khamis lalu. Lantas ramai yang bertanya, apa sudah jadi?

Adakah benar sebuah kesempurnaan cinta punya tarikh luput? Siapa sangka siapa menduga, angin kencang akhirnya membadai tiang perkahwinan. Salah siapa? Bukan tugas kita untuk mengorek rahsia.

Menjejak semula pelayaran rumah tangga mereka, segala-galanya kelihatan baik-baik sahaja. Mungkin kerana kedua-duanya bukan jenis mencanang cerita. Maka, tiada kisah duka yang dibawa khabar angin.

Cinta mereka bersatu pada 1 Julai 2011. Ketika itu juga, ramai yang memuji pasangan ini. Mereka cukup bersahaja. Berkongsi apa yang perlu. Hal peribadi, kekal privasi. Itu rahsia mereka.

Memetik kata-kata Nina dalam sebuah temu bual eksklusif dengan sebuah agensi media, dia satu ketika dahulu hampir berputus asa dengan perkahwinan. Pada tangga usia 31 tahun, dia bertemu Noh.

Ketika itu, Noh adalah lelaki sempurna untuknya, Baik budi dan hati. Malah, Noh juga adalah tonggak utama penghijrahan pemilik nama sebenar Shazrina Azman yang dikagumi ramai.

“Suami saya antara yang membawa pengaruh besar. Dia tanya, ‘sayang bila nak pakai hijab?’. Tapi saya belum bersedia. Alhamdulillah, selepas kahwin dengan Noh, saya mula solat lima waktu,” kata wanita berusia 42 tahun ini.

Hakikatnya, bukan sahaja Noh yang menjadikan kehidupan Nina semakin sempurna. Noh juga dalam satu temu bual bersama seorang penyampai radio pernah berkata, dia menyifatkan Nina dihantar oleh Tuhan untuk menjaganya.

“Dia (Nina) antara orang yang aku kenal bila tegur bab agama, tak melawan. Dia sudah tunjuk minat untuk solat dan umrah, walhal setiap tahun dia pergi. Aku rasa, dari syurga, Allah campak dia untuk jaga aku,” kongsi Noh.

MUSA MELENGKAP CINTA

Sedekad melayari bahtera rumah tangga, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata. Soalan demi soalan dihadap saban tahun, kedua-duanya tenang sahaja. Sehingga ada satu ketika, mereka meletak noktah.

Mungkin ketika itu, reda sudah ada dalam hati kedua-duanya. Menyerahkan soal rezeki tulus kepada Tuhan. Bukan tugas kita lagi untuk bertanya soal usaha, rezeki dan pengharapan mereka.

Namun, awal tahun ini, Musa hadir memberi nyawa. Bayi lelaki itu melengkapkan sebuah kisah cinta. Selepas pelbagai usaha dilakukan, Tuhan menghantar cahaya mata dengan cara berbeza.

“Saya boleh mengatakan dia adalah mahram saya sekarang. Perjalanan yang panjang untuk sampai pada kedudukan kami hari ini, melalui pelbagai proses untuk hamil selama bertahun-tahun, Allah menganugerahkan kami bayi yang manis ini melalui cara lain,” katanya.

Noh juga ketika ditemui media, baru-baru ini mengakui, kehadiran Musa menguatkan lagi rasa cinta antara mereka.

“Bila sudah ada cahaya mata, kasih sayang itu lagi kuat. Saya baru sedar perkara itu. Bila cakap soal anak adalah perkataan cinta dan kasih sayang.

“Jika sudah mempunyai anak, rasa sayang itu berbeza tahap. Tahap di langit,” katanya.

KEKAL BERSAHABAT

Awal Julai tahun ini, Noh pernah diasak dengan soalan tentang keretakan rumah tangga. Ketika itu, Noh dengan yakin berkata, “Anda semua kena tipu! Good luck. Fake news.”

Hakikatnya, mungkin ketika itu, hatinya sedang bergejolak cemas. Mungkin juga ketika itu, dia dan Nina sedang bertarung sehabis baik untuk menyelamatkan sebuah perkahwinan.

Tetapi, siapa kita untuk melawan takdir yang sudah tertulis. Khabar angin perceraian mereka mula membanjiri garis masa media sosial. Masing-masing punya cerita sendiri, entah dari mana dapat, tidak tahu.

Tepat pukul 9.15 malam Khamis, kedua-duanya mengumumkan mereka tidak lagi bersama. Berakhirnya perjalanan bahtera rumah tangga selama 11 tahun.

Begitupun, kata-kata mereka yang diungkapkan menerusi kapsyen di hantaran media sosial cukup menangkap sesiapa yang membaca.

“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan 11 tahun terindah untuk hidup bersama mengharungi segala suka dan duka. Kami juga berterima kasih kepada semua penyokong yang telah memberikan kasih sayang buat kami sepanjang bersama.

“Jangan risau, kami masih berkawan dan tetap mendoakan yang terbaik buat diri masing-masing,” katanya.

Bahtera hidup baharu harus memulakan pelayaran. Hanya yang tinggal, kenangan. Cukup itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya