Isu mahasiswa bekerja sambilan sememangnya sering menjadi perdebatan dalam kalangan umum.
Isunya kerana pekerjaan dikatakan akan menganggu prestasi pembelajaran mereka selain membuatkan fokus pelajar terganggu.
Tidak dinafikan ada benarnya, namun menurut Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, persoalan sama ada mahasiswa sesuai bekerja atau tidak terletak pada keperibadian mahasiswa itu sendiri.
Katanya, sikap yang bijak membahagikan masa antara soal peribadi dan pelajaran sangat membantu seseorang mahasiswa untuk bekerja sambil belajar.
“Kalau ikutkan tiada masalah sekiranya mahasiswa hendak bekerja cuma mereka perlu bijak membahagikan masa agar urusan hakiki (pelajaran) dan peribadi (bekerja sambilan) dapat diurus dengan baik.
“Yang menjadi masalah adalah apabila mereka terlalu hanyut dengan pekerjaan berkenaan sehingga mengabaikan soal pelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebaiknya, tegasnya, mahasiswa yang ingin bekerja perlu muhasabah diri terlebih dahulu supaya mereka tahu kemampuan diri masing-masing.
“Kebanyakan yang bekerja ini bukan semuanya disebabkan oleh kekangan kewangan atau mahu menampung kos pembelajaran.
“Ada juga yang hanya bekerja untuk menampung gaya hidup mereka, membeli telefon yang disukai atau makan-makan mengikut trend terkini,” ujarnya lagi.
Pengalaman berharga
Tambah Siti, daripada sudut peribadi sebagai kaunselor dia tidak pernah mempunyai pandangan negatif terhadap mahasiswa yang memilih untuk bekerja sambil belajar.
Katanya, bekerja sambil belajar merupakan nilai tambah kepada pelajar itu sendiri memandangkan mereka sudah terdedah lebih awal kepada alam pekerjaan.
“Ia sangat bagus sebenarnya kerana mereka sudah merasai sendiri pengalaman dan persekitaran kerja itu bagaimana.
“Selain itu, ia juga membantu meningkatkan interaksi sosial dalam diri pelajar, mengajar mereka untuk berdikari serta bersedia untuk memasuki alam pekerjaan usai pengajian nanti,” jelasnya lagi.
Tambahnya, pengalaman menguruskan permasalahan dalam kalangan mahasiswa yang bekerja sambilan adalah mereka hanya tidak tahu menguruskan masa dengan sebaik mungkin.
Kebanyakan yang menjadi masalah adalah apabila mereka tidak cakna dalam membahagikan masa dengan betul.
Selain itu, permasalahan juga timbul apabila pelajar memilih pekerjaan yang tidak sesuai sehingga membebankan diri mereka sendiri.
Kerja yang sesuai?
Kerjaya sambilan yang sesuai dengan status sebagai orang pelajar, Siti berkata, kemajuan teknologi ketika ini turut memberi banyak pilihan kerjaya. Salah satunya adalah kerjaya secara dalam talian.
Cara kerja seperti itu dilihat lebih sesuai kerana bersifat mobiliti dan membolehkan pelajar untuk bekerja dari mana-mana sahaja.
“Ia lebih mudah berbanding bekerja sambilan secara bersemuka seperti bekerja di kedai, pasar raya dan sebagainya. Sangat fleksibel dan menjimatkan masa.
“Sekarang ini banyak kerja secara dalam talian yang boleh diceburi dan saya lihat ia patut jadi pilihan mahasiswa sekiranya mereka mahu bekerja sambilan,” jelasnya.
Sebaliknya, Siti menegaskan seboleh-bolehnya pelajar perlu mengelak untuk melakukan pekerjaan yang terlalu mengerah tenaga atau pekerjaan yang memerlukan komitmen sehingga larut malam.
Keadaan itu akan mendorong remaja untuk mengalami keletihan sekaligus memberi risiko untuk tidak fokus dalam pembelajar atau tertidur di dalam kelas.










