Santai Anak Utara ada misi istimewa - Utusan Malaysia

Santai Anak Utara ada misi istimewa

SEBAHAGIAN peserta berkumpul pada SAU edisi sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebut sahaja mengenai acara perhimpunan motosikal, terbayang dalam minda kita kehadiran mat rempit dalam kumpulan besar, acara melawan bunyi siapa paling kuat, cabutan bertuah dan beberapa khemah pameran.

Bersesuaian dengan nama, Santai Anak Utara (SAU), selama sembilan tahun kebelakangan ini (kecuali dua tahun terakhir akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19), acara ini dinikmati bikers di Zon Utara sahaja dan lokasi paling ke selatan, hanya pernah diadakan di Ipoh, Perak.

Utusan Malaysia berbicara dengan Saifuddin Elias, 32, atau lebih dikenali dengan nama Acai, selaku orang kuat di sebalik SAU.

Anak muda kelahiran Baling, Kedah ini, berbicara mengenai harapan acara yang julung kali diadakan di luar zon Utara, iaitu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Bagaimana SAU tercetus?
Saya dapat ilham daripada satu acara hampir serupa iaitu Santai Anak Perak yang dianjurkan di Teluk Batik, Perak. Acara itu disertai lebih 2,000 peserta. Sehubungan dengan itu, saya pun mencuba untuk menganjurkan satu perkumpulan kelab-kelab motor dari Utara dan tanpa saya duga, ia mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya mengumpulkan 18,000 peserta di Pantai Merdeka (tempat penganjuran SAU 1.0). Ketika itu, selain dapat berkumpul, peserta hanya dapat baju T dan peluang membeli barangan permotoran.

Apa dipelajari daripada SAU sebelum ini?
Daripada kehadiran peminat permotoran dari Utara ini, saya nampak potensi dan manfaat yang dapat dihasilkan daripada pengumpulan ini, maka saya berusaha menjadikannya sebagai acara sah dari segi perundangan, kewangan dan pengurusannya. Ini tahun kedua saya berjaya melaksanakannya. Saya dan sahabat, Mohd. Syauqi Ismail sedaya upaya akan memuatkan program yang lebih bermanfaat.

Mengapa MAEPS jadi pilihan lokasi?
Setelah hampir 10 tahun kami menganjurkan SAU, kami mendapat ribuan permintaan daripada peminat permotoran dari Zon Pantai Timur, Zon Tengah dan juga Zon Selatan, untuk menganjurkan acara seumpama ini di kawasan mereka. Kami memilih Zon Tengah kerana lebih praktikal untuk peserta dan peminat datang dari segenap sudut tanah air.

Keistimewaan pengajuran kali ini?
Pertama sekali, penganjuran SAU kini mencapai tahun ke-10 kewujudannya. Pemilihan MAEPS bagi membolehkan pengunjung dari pelosok tanah air datang, lagipun lokasi tapak acara berupaya menampung ‘kebanjiran’ pengunjung berdasarkan program berskala besar yang pernah dianjurkan di situ. Atur cara program juga lebih besar. Selain berpeluang membeli baju T khas edisi 10 tahun SAU, pameran dan gerai jualan, penampilan selebriti dan tokoh permotoran yang bukan sahaja mempromosi diri, tetapi juga berkongsi ilmu penjagaan motor turut diadakan. Perkongsian ilmu keagamaan seperti solat berjemaah, solat dan wuduk dalam keadaan bermusafir dan sebagainya akan turut diselitkan.

SAU versi mana paling hangat sambutannya?
SAU5.0 pada tahun 2017 di Amanjaya Mall, Kedah, adalah yang paling ramai pengunjungnya iaitu mencecah 80,0000 pengunjung.

Bagaimana sambutan dan kerjasama diperoleh daripada badan kerajaan dan penguasa tempatan?
Kami rasa amat bertuah kerana mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan yang akan turut sama melibatkan diri dalam acara ini. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan membuka kaunter promosi dan penerangan di situ. Kami turut membuka peluang kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan kami tampil untuk menjayakan SAU, khususnya yang akan berlangsung, Sabtu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN