Hadiah terindah Zamani sebelum masuk hospital - Utusan Malaysia

Hadiah terindah Zamani sebelum masuk hospital

ZAMANI bakal menjalani pembedahan tulang belakang November ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENTAH mengapa, tidak semena-mena hati menjadi sebak tatkala penyanyi ini membutirkan ucapan yang tidak terjangka.

Ketika itu, dia duduk di barisan hadapan, berucap dan menjawab pertanyaan teman media yang melayangkan pelbagai persoalan santai. Menjadi orang penting yang diraikan sempena penganjuran Konsert Doa Buat Zamani Unplug­ged pada akhir bulan depan, vokalis kum­pulan Slam ini sebalik­nya me­mak­lumkan, konsert itu bukan semata-mata untuk dirinya.

Beru­lang kali Zamani men­gung­kapkan, pengan­juran konsert itu adalah lebih kepada hasratnya untuk mengha­diahkan peminat dengan kenangan terindah.

Dalam nada suara bersungguh-sungguh, Zamani jelas begitu menginginkan konsert itu dapat dibuat sebelum dia berdepan situasi getir iaitu menjalani pembedahan tulang belakangnya yang dijadualkan pada November ini.

“Saya tidak tahu apa akan terjadi selepas pembedahan itu nanti. Jadi, sebelum saya jalani pembedahan itu, saya ingin sangat jumpa peminat.

“Saya mahu berkumpul dan bersama-sama mereka menerusi konsert ini. Saya rasa puas hati dapat menghadiahkan sesuatu buat mereka.

“Ini bukan soal mengejar keuntungan kerana hasrat saya adalah berjumpa peminat. Sekurang-kurangnya kalau berlaku apa-apa, saya sempat hadiahkan peminat dengan sebuah persembahan istimewa,” katanya.

Selain itu, Zamani berkata, dia sudah membuat perancangan awal untuk konsert unpluggged itu dan menolak dakwaan, ia diadakan dalam keadaan terburu-buru.

Malah, katanya, konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu telah dirancang sebelum Datuk Aznil Nawawi melancarkan dana bagi menampung kos pembedahannya, Jun lalu.

Jelas penyanyi ini, secara peribadi, dia sebenarnya lebih selesa mencari dana menampung kos pembedahan dan sara hidup melalui konsert, berbanding membuka tabung bantuan.

Pun begitu, itu tidak bermakna usaha yang telah dilakukan Aznil yang mengumpulkan dana lebih RM100,000 dipandang sepi.

“Dari awal lagi, saya kurang selesa mewujudkan tabung bagi menampung kos pembedahan. Saya tidak mahu dilihat seperti meminta-minta atau mahu orang ramai bersimpati.

“Saya lebih suka menganjurkan konsert agar peminat boleh bersama-sama membeli tiket. Itu membuktikan peminat sayang, menerima dan menyokong saya. Tetapi, jika mereka tidak dapat datang memberikan sokongan, tidak mengapa.

“Dapat mendoakan saya dari jauh sudah cukup dan saya amat hargai,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai konsert tersebut, kata Zamani, dia bakal mendendangkan enam lagu solo antaranya Syair Si Pari Pari, Nur Kasih dan Rindiani, khas buat peminat yang hadir.

Pun begitu, Zamani berkata, kumpulan Slam tidak akan mengiringi persembahannya pada malam itu. Ini kerana dia enggan mengganggu persiapan kumpulan itu yang bakal mementaskan konsert unplugged, tahun hadapan.

“Pada asalnya, kita bercadang untuk bawa kumpulan Slam. Namun, disebabkan mereka akan terbabit dengan konsert tahun depan, saya tidak mahu ganggu.

“Buat masa ini, kami ada dua band yang akan mengiringi persembahan saya dan rakan-rakan. Namun, kami masih dalam proses membuat pilihan.

“Penonton bakal dihidangkan dengan 15 lagu yang turut dipersembahkan beberapa penyanyi undangan lain. Insya-Allah, dewan mampu memuatkan kira-kira 1,400 penonton dan saya amat berharap tiket konsert habis dijual,” katanya.

Pembedahan? Serah pada Allah SWT

Sementara itu, ditanya mengenai perasaannya untuk menjalani pembedahan yang dijadualkan dua bulan lagi, Zamani berkata, bohong andai dia tidak dihambat ketakutan.

Katanya, kebimbangan tetap ada walaupun doktor memberi jaminan prosedur tersebut akan berjaya. Sebelum ini, gara-gara bimbang, Zamani menangguhkan pembedahan, biarpun sudah menghidap penyakit tulang belakang bengkok sejak 2015.

“Ketika itu, saya diberitahu risiko yang bakal ditanggung selepas pembedahan. Doktor meramalkan berkemungkinan 70 peratus saya terpaksa duduk atas kerusi roda.

“Disebabkan itu, saya akui asyik tangguhkan pembedahan dan mencari rawatan alternatif. Saya tidak boleh buang perasaan bimbang itu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zamani, doktor memaklumkan kepadanya mengenai kaedah pembedahan terkini yang lebih berkesan.

“Pakar tidak akan bedah, sebaliknya menebuk lubang pada bahagian terjejas. Insya-Allah, peluang untuk pulih adalah 100 peratus.

“Selain itu, kaedah digunakan dapat mengurangkan pendarahan dan risiko kepada saraf. Proses untuk sembuh juga tidak lama iaitu dalam masa dua minggu. Namun, semuanya bergantung kepada kekuatan antibodi tubuh,” katanya.

Dedah Zamani, kos pembedahan itu agak mahal iaitu antara RM80,000 hingga RM100,000.

Zamani berkata, jika boleh, selepas pembedahan, dia tidak mahu berehat lama kerana enggan mengganggu kerja dan periuk nasinya.

“Jika antibodi lemah, proses untuk sembuh boleh mengambil masa hingga enam bulan,” katanya.

Zamani berkata, dia akan bekerja mengikut kemampuan kesihatan dan tidak mahu lasak kerana khuatir memudaratkan dirinya.

“Pembedahan harus dilakukan kerana tulang sudah mencucuk ke rusuk, jantung dan paru-paru. Ini menyebabkan saya sakit sepanjang masa hingga perlu menelan ubat tahan sakit.

“Sebelum ini, skoliosis yang saya alami tidak sakit. Tetapi, sejak tulang mula mencucuk rusuk, jantung dan paru-paru, saya tidak mampu lagi menahan sakit.

“Jadi, pembedahan harus disegerakan, biarpun ini pilihan terakhir saya,” katanya.

Selain Zamani, konsert yang dijangka berlangsung dua jam pada 30 September depan turut dijayakan Datuk Ramli Sarip, Fauziah Latiff dan Rahim Maarof.

Tiket Konsert Doa Buat Zamani Unplugged dijual pada harga RM238 bagi kategori Nur Kasih; RM288 (Rindiani); RM388 (Maria Mariana) dan RM499 (Kurnia). Tiket boleh dibeli melalui www.mytickets.asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN