Guna akal bila melawak – Douglas Lim

Guna akal bila melawak – Douglas Lim

Douglas Lim
DOUGLAS Lim tidak lokek berkongsi pengalaman dan teknik berlawak dengan bakat baharu yang berminat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MULA mewarnai skrin menerusi sitkom komedi popular, Kopitiam yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu, tahun ini genap 25 tahun Douglas Lim menuai nama dalam industri hiburan.

Sudah cukup asam garam dirasainya, namun Douglas tidak pernah mendongak ke langit. Lelaki yang membina tapak sebagai pelakon dan komediri ini masih berpijak di bumi nyata, malah tidak pernah menolak apabila bakat baharu datang meminta pandangannya.

“Ada juga pelawak lain yang minta pandangan dan nasihat saya. Sebenarnya, saya segan untuk memberi nasihat kerana mereka kena faham, permulaan saya dalam industri hiburan sangat bernasib baik.

“Biasanya untuk memasuki industri bermula dengan uji bakat, seterusnya menjadi pelakon ekstra mungkin untuk setahun dua sebelum mendapat kepercayaan memegang watak besar. Namun, saya pula berbeza.

“Saya bermula sahaja terus dapat lead menerusi Kopitiam. Itu adalah projek pertama saya dan sudah dapat peluang sebesar itu. Malah, ia turut menjadi rancangan yang mendapat perhatian,” katanya.

Sentiasa merendah diri, Douglas bagaimanapun, tidak lokek berkongsi pengalaman dan teknik berlawak dengan bakat baharu yang berminat.

“Saya tidak sesuai untuk memberikan nasihat buat junior yang ingin memasuki industri ini. Tetapi, jika untuk komediri, saya boleh memberikan pandangan tentang cara menyampaikan atau mencari idea.

“Saya sedia berkongsi teknik, tetapi lebih gemar mereka datang menonton ‘show’. Pada masa sama, jika ada soalan boleh terus bertanya. Saya tiada ijazah dan silibus dalam bidang komedi, jadi saya cuba menjawab mana yang boleh bila ditanya,” kongsinya.

KRITIKAN? TIADA MASALAH BAGI SAYA

Siapa yang mengenali dan sentiasa mengikuti perkembangan pelakon ini di media sosial, pasti tidak kering gusi dibuatnya jika melayan kesemua kandungan video jenaka satira bersahaja yang dikongsikan.

Kata Douglas, niatnya membuat video berunsur komedi tersebut adalah untuk menghiburkan pengikutnya. Namun, dia mengakui, tidak terlepas daripada kecaman dan tohmahan mulut ‘pedas’ warganet.

“Tujuan saya membuat video dan berkongsi di media sosial adalah untuk menghiburkan orang. Saya gembira apabila ramai yang menerima dan terhibur.

“Bagaimanapun, ada juga segelintir penonton yang membuat provokasi, troll atau tidak setuju dengan apa yang saya sampaikan. Malah, ada yang menganggap lawak saya itu tidak kelakar,” tuturnya.

Pun begitu, pelakon filem sejarah 1957: Hati Malaya ini menerima dengan hati terbuka terhadap kritikan yang kurang enak warganet mengenai kandungan lawak yang dipersembahkannya.

“Itu pandangan mereka dan berhak menyatakannya dalam ruangan media sosial saya. Tiada masalah bagi saya.

“Jika saya boleh terima pujian, kenapa saya tidak boleh terima kritikan? Apabila orang bercakap baik, okey sahaja, saya terima. Tetapi, apabila ada yang tidak suka, sentap pula. Tidak bolehlah seperti itu,” tambahnya.

Demi menjaga sensitiviti dan nama baik sebagai penghibur, Douglas sentiasa menapis setiap isi kandungan sebelum dimuat naik.

“Saya menapis kandungan untuk dikongsikan di media sosial kerana ia menjadi tontonan umum. Memang saya boleh sahaja buat lawak semua perkara. Tetapi, janganlah bodoh.

“Sudah tahu khalayak siapa, pandai-pandailah gunakan akal. Jika sudah mempunyai pengalaman, kita akan tahu mana kandungan yang sensitif atau tidak,” ujarnya.

TERBUKA SEBAGAI PENASIHAT KOMEDI

Sepanjang lebih dua dekad dalam industri seni tempatan, dia sama sekali tidak pernah meletakkan sasaran untuk direalisasikan sebagai anak seni.

Komedi bagaikan makanan dan dia hanya ‘pakar’ dalam genre tersebut serta mahir menyusun struktur kandungan jenaka yang ingin dipersembahkan.

“Kemahiran saya terlalu spesifik iaitu berlawak dan berlakon sahaja. Saya mahir dalam genre komedi dan tahu bagaimana hendak struktur sesebuah persembahan jenaka,” katanya.

Selain itu, pelawak ini turut membuka tangan yang luas jika dirinya diperlukan sebagai penasihat bagi naskhah atau program komedi.

“Jika kemahiran saya diperlukan produksi sama ada di depan atau di belakang kamera, saya okey sahaja untuk menjadi penasihat.

“Saya tidak mempunyai perancangan besar lain, tetapi jika ada peluang saya akan pergi semula ke Melbourne, Australia untuk festival komedi yang sudah tiga tahun saya tidak hadiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya