Tangkas si kecil beraksi melecek bola. Riuh sorakan penonton bila kaki comel itu menerobos bola masuk galang. Gelagat riang kanak-kanak usia sembilan hingga 11 tahun itu dipamerkan pada Bolakid 2022 berlangsung tiga hari di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis baru-baru ini.
Bertambah semangat beraksi apabila menerima suntikan padu hampir 1,000 penyokong khususnya dalam kalangan ibu bapa serta guru-guru yang hadir menyaksikan perlawanan akhir kejohanan anjuran Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (Abata) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri itu.
Pada usia semuda itu, mereka tidak kekok mengawal bola malah bersemangat berjuang pada kejohanan tersebut.
Sebanyak 56 pasukan sekolah rendah sembilan hingga 11 tahun menyertai kejohanan berkenaan.
Pasukan layak ke perlawanan akhir, berpeluang menikmati suasana bermain dalam Stadium Tuanku Syed Putra yang menjadi gelanggang keramat pasukan Singa Utara itu.
Sekolah Tengku Budriah (STB) muncul juara kategori bawah sembilan tahun, selepas menewaskan Sekolah Kebangsaan (SK) Oran 1-0.
Bagi kategori bawah 11 tahun pula, SK Utan Aji muncul juara selepas menewaskan SK Titi Tinggi 1-0 dalam perlawanan berlangsung sengit.
Juara membawa pulang piala pusingan, wang tunai berjumlah RM1,800, medal dan sijil penyertaan.
Hadiah disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Penaung Abata, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, penganjuran program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri itu memberi fokus terhadap pembangunan akar umbi bola sepak di negeri ini.
Penganjuran program itu dapat memberi peluang kepada murid merasai pengalaman bermain secara profesional.
“Sebanyak 56 pasukan yang mewakili sekolah rendah seluruh negeri menyertainya yang menampilkan suasana seperti perlawanan profesional. Kita berharap dapat melahirkan pelapis bola sepak masa depan,” katanya.
Katanya, bagi penganjuran kejohanan berkenaan pada tahun depan, pihaknya bercadang menganjurkan Tour Bolakid League melibatkan lapan kawasan zon di Perlis.
Setiap zon menganjurkan perlawanan liga peringkat dalaman terlebih dahulu bagi memilih empat pasukan terbaik kategori bawah sembilan dan 11 tahun.
“Kita sememangnya berhasrat menjadikan kejohanan Bolakid ini sebagai aktiviti tahunan dengan menampilkan Perlis sebagai perintis kepada pelaksanaan program ini untuk dikembangkan ke seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Abata, Mohd. Hafizi Che Yusof berkata, pihaknya menerima sambutan luar biasa membabitkan penyertaan pasukan dari sekolah rendah seluruh negeri ini.
“Sebanyak 24 pasukan membabitkan kategori bawah sembilan tahun dan 32 pasukan membabitkan kategori bawah 11 tahun yang melalui pusingan peringkat kumpulan seterusnya pusingan kalah mati.
“Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sepanjang kejohanan, termasuk cabutan bertuah yang menyajikan hadiah istimewa,” katanya.










