Ali XPDC rindu menyanyi, masih sukar bercakap - Utusan Malaysia

Ali XPDC rindu menyanyi, masih sukar bercakap

ALI XPDC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Vokalis kumpulan XPDC, Ali melahirkan rasa rindu untuk menyanyi semula selepas diuji dengan masalah kesihatan sehingga sukar bernafas pada Mac lalu. 

Ali, 53, berkata, keadaan kesihatannya semakin baik, tetapi dia mengalami kesukaran untuk melontarkan vokal selain percakapannya terbatas. 

“Alhamdulillah, saya sudah boleh bergerak dan menguruskan diri sendiri. Masalah kesihatan sebelum ini telah menganggu suara, saya tidak mahu ambil risiko takut menyanyi ‘flat’ (mendatar). 

“Mungkin ini masa terbaik untuk saya berehat dahulu, jika Allah izinkan saya memang rindu untuk menyanyi semula,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Penerbitan Filem ‘Brother Gun’ di sini semalam.

Ali memberitahu, dia masih meneruskan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur untuk proses pemulihan percakapan dan terapi lain. 

Dalam nada sebak, Ali turut menitiskan air mata apabila bercerita mengenai pengorbanan isteri dan anak-anak yang menjaganya ketika sakit dan menjadi penguat semangat untuknya kembali pulih. 

“Hidup mesti sentiasa tersenyum walaupun orang tak nampak kita sakit, menangis. Saya reda dengan takdir Allah, saya akan berusaha untuk pulihkan diri.

“Sepanjang sakit, isteri banyak memainkan peranan penting kerana dia sentiasa menyokong saya selain anak-anak dan rakan yang mendoakan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, pada 4 Mac lalu, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang apabila secara tiba-tiba lemah ketika mahu makan selepas membuat latihan di studio milik pemain bass XPDC, Eddie dekat Pandan Indah dan terpaksa ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas.

Terdahulu, penyanyi itu telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada 2 September tahun lalu akibat semput serta masalah jantung.

Menurut Ali, dalam keadaan kesihatannya yang belum pulih dia tidak menghalang jika XPDC ingin mencari pengganti dirinya kerana mereka juga perlu meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia seni.

“Saya sendiri tidak pasti berapa lama tempoh untuk berehat dan kembali pulih. Jika ahli XPDC ada pengganti untuk sementara teruskan saya kira itu yang terbaik buat masa ini,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya