Tapau Show #KasiViral catat jumlah penonton memberansangkan

Tapau Show #KasiViral catat jumlah penonton memberansangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), iaitu program bicara santai, Tapau Show #KasiViral semakin mencuri perhatian apabila menjadi antara yang dikenali ramai, sejak diperkenalkan pada 3 April lalu.

Dihoskan oleh penyanyi dan pelakon Afieq Shazwan serta penyampai radio RTM Negeri Sembilan, Nen Tebabo, Tapau Show yang bersiaran secara langsung di TV2 itu berjaya memikat hati penonton dengan kupasan topik yang terkini selain padat dengan pelbagai pengisian.

Menurut Penerbit Tapau Show, Nur Azwa Prachuap Puapan Abdullah, pihaknya berasa teruja apabila program Tapau Show mencatatkan jumlah penonton yang memberansangkan setiap kali bersiaran.

“Tapau Show adalah sebuah program bual bicara santai yang akan mengupas pelbagai topik mengenai industri hiburan tanah air yang terkini dan trending.

“Selain membincangkan topik menarik dalam segmen Apa Cerita? program ini juga turut memperkenalkan segmen-segmen menarik untuk tontonon seisi keluarga. Antaranya Dah Trending, Zoom Sikit, Apa Yang Best, Berani Ke Tidak, serta Tahu Ke?.

“Kami berasa bersyukur dan bangga apabila program yang masih baru ini sudah mendapat tempat di hati penonton. Malah program terbitan Unit Hiburan TV ini juga mencatatkan angka penonton yang memberangsangkan setiap episod,” katanya.

Topik

Tambah Nur Azwa, pihaknya juga amat meneliti dalam soal pemilihan topik yang dibawakan setiap minggu bagi memastikan penonton mendapat mesej yang ingin disampaikan selain terhibur dengan teletah tetamu jemputan yang diundang.

“Setiap episod akan ada satu topik menarik yang kami bawakan dalam segmen Apa Cerita. Jadi tetamu yang diundang juga mestilah mempunyai kaitan dengan topik yang dibawakan setiap episod.

“Pihak kami amat menitik beratkan mengenai topik-topik yang dibawakan. Jadi perbincangan rapi dibuat bersama pasukan dalam menentukan setiap topik dan artis undangan.

“Antara topik yang berjaya kami bawakan adalah Artis Kebal Netizen, Pelakon Kelas A?, Trend Lagu Lama, Viral Betul dan banyak lagi,”katanya.

Sementara itu, penerbit bersama, Norsahlawani Wati Mohd Salleh berkata, Tapau Show turut menyediakan platform kepada penyanyi baru dan lama untuk memperkenalkan buah tangan baharu mereka.

Selain itu, Tapau Show juga membawakan segmen Tahu Ke yang dikendalikan oleh Ustaz Rahmat di mana segmen ini dia akan berkongsi kata-kata hikmah yang dekat dengan jiwa penonton serta cabaran atau permainan yang akan dilalui oleh selebriti jemputan bersama Kapten Alam Wakaka dalam segmen Berani Ke Tidak.

Dalam pada itu, Nen Tebabo yang bertindak sebagai pengacara buat julung kalinya berkata, dia berasa bertuah apabila RTM memberi peluang untuk mengacarakan program tersebut.

Bakat

“Bidang pengacaraan adalah satu kerjaya baharu buat saya kerana sepanjang 13 tahun saya berkhidmat sebagai penyampai radio di Negeri FM inilah kali pertama saya diberi peluang mengacara program TV. Terima kasih Negeri FM yang banyak memberi ruang dan mencungkil bakat saya.

“Berpeluang bergandingan dengan Afieq saya berasa sangat seronok kerana dapat mempelajari banyak perkara baru, malah kami juga tidak mengambil masa yang lama untuk mencipta keserasian.

“Walaupun masih baru dalam bidang ini, tapi saya berasa seronok ketika mengacarakan program ini kerana dikelilingi pasukan produksi yang sentiasa positif dan memberi energi untuk saya memperbaiki diri ke arah yang lebih baik,” ujarnya.

Bersempena sambutan Aidiladha tahun ini, Tapau Show tampil membawakan edisi khas Aidiladha yang bakal ditayangkan pada 10 Jun ini.

Kata Norsahlawani, topik yang bakal dibincangkan adalah mengenai Level Up bersama selebriti jemputan terkenal iaitu Johan As’ari, Ustaz Rahmat dan Idris Shamsuddin.

Tapau Show bakal bersiaran selama 26 episod pada setiap hari Ahad, jam 11 pagi di TV2. Penonton juga boleh saksikan secara ulangan di laman web rasmi rtmklik.rtm.gov.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN