IKSnita bantu usahawan wanita Sabah berdaya saing

IKSnita bantu usahawan wanita Sabah berdaya saing

iksnita
IKSnita mengumpulkan usahawan wanita seluruh Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Banyak produk di Sabah berpotensi untuk dikomersilkan termasuk rumpai laut yang mengandungi kolagen berkualiti tinggi, dan sarang burung walit asli dari tujuh buah gua yang mengeluarkan sarang burung asli.

Di Sabah juga ada mutiara terbaik dan rantai manik yang dihasilkan suku kaum Kadazan Dusun sebagai barang perhiasan dan cenderamata.

Menyedari potensi produk Sabah yang kebanyakannya diusahakan wanita, Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Bumiputra Sabah (IKSnita) mengambil inisiatif mengumpulkan usahawan-usahawan wanita seluruh Sabah berdaya saing dalam bidang perniagaan.

Pengasas IKSnita, Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal, 59, berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu ditubuhkan untuk meneruskan agenda pembangunan usahawan wanita transformasi zero to hero dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan, perkilangan dan perkhidmatan.

“Sebagai contoh, saya jumpa orang Australia membeli rantai manik kecil pada harga USD600 di Singapura. Walhal di tempat kami hanya boleh jual RM20 hingga RM30 sahaja. Sebab itu saya selalu bawa usahawan berniaga di luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk menembusi pasaran luar negara katanya, wanita perlu kemahiran penceritaan atau storytelling bagi menjadikan pemasaran lebih menarik.

“Untuk itu kajian perlu dibuat bagi mendapatkan kisah di sebalik produk yang ingin dipersembahkan.

“Sebagai contoh dalam usaha memperkenalkan produk sarang burung Sabah di China, saya mengambil kisah Laksamana Cheng Ho yang pernah datang ke Gua Gomantong di Sandakan mengambil sarang burung untuk mengubati Maharajanya yang sakit.

“Penceritaan pun salah satu kaedah pemasaran juga. Kena belajar pasal itu (produk), bila ingin promosi produk tempatan. Ini yang saya tingkatkan dalam kalangan ahli IKSnita,” katanya yang aktif sejak lebih sepuluh tahun lalu dalam IKSnita.

Luar negara

Kata Dayang Khatijah, pendedahan beliau perolehi semasa dibawa ke Jepun 15 tahun lalu, digunakan untuk membantu usahawan wanita memasarkan produk dengan membawa mereka ke Singapura, Dubai, China dan Filipina sebelum menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di sana.

Mengakui pemasaran fizikal sangat penting, kerana ia lebih baik daripada dalam talian, namun disebabkan Covid-19, pihaknya tiada pilihan melainkan melakukannya secara digital.

Wanita perlu berdaya sayang

TOKOH Wanita Negeri Sabah 2010 ini menekankan mengenai kepentingan melahirkan bukan sahaja wanita berdaya saing malah, dalam terma yang lebih mesra iaitu ‘berdaya sayang’.

Dayang Khatijah menjelaskan, penglibatan wanita ini lambat, kerana ada yang berdaya saing sahaja dan kurang berdaya sayang.

“Ada juga yang berdaya sayang terlampau banyak sampai tidak boleh berdaya saing. Jadi, wanita perlu seimbang,” katanya.

Sebagai aktivis beliau bertanggungjawab menjadi penyampai informasi kerajaan kepada wanita di seluruh pelusuk negeri Sabah, terutama usahawan luar bandar yang jauh dari capaian infomasi.

“Memandu dari Kota Kinabalu ke Sandakan, mengambil masa hingga tujuh, ke Tawau pula ambil masa selama 10 jam,” ujarnya membayangkan luasnya kawasan yang perlu beliau dan IKSnita liputi di negeri kedua terbesar di Malaysia itu.

Ibu kepada enam orang anak ini mengembara sehingga ke Singapura dalam berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan sepanjang penglibatannya dalam perniagaan.

Melalui usahasama dengan Singapore Malay Chamber of Commerce, beliau terlibat dengan wanita di negara republik itu termasuk menyampaikan ucapan sekitar penglibatannya sebagai wanita bekerjaya.
Menceritakan pengalamannya sebagai usahawan, jelasnya beliau bermula agak lewat dalam bidang keusahawanan iaitu pada umur 35 tahun.

Memiliki pengalaman bekerja dalam pelbagai sektor termasuk perhotelan, perbankan dan perhubungan awam sebelum terjun ke bidang keusahawanan.

“Produk keusahawanan pertama saya adalah rumpai laut Sabah yang saya usahakan sejak 15 tahun lalu.

“Waktu itu, saya salah seorang usahawan seluruh negara dibawa Kementerian Pembangunan Usahawan ke Jepun untuk program ‘1 kampung, 1 produk’.

“Saya seorang sahaja dari Sabah pada waktu itu. Masa itu keusahawanan ini orang fikir adalah makcik jual keropok sahaja.

“Namun kini keusahawanan semakin diterima apabila semakin ramai berani ‘terjun’ ke bidang ini sebagai satu pekerjaan yang dihormati, bukan sekadar ‘jual kuih’ sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya