PETALING JAYA: Kumpulan punk rock popular, Bunkface, tidak menyangka tiket konsert mereka iaitu Bunkface: 15 Years of Korang laris terjual tidak sampai 24 jam tempoh jualan tiket dibuka, pada pagi Selasa.
Perkara tersebut dikongsikan Bunkface menerusi satu hantaran terbaharu di akaun rasmi kumpulan tersebut.
Menerusi kapsyen, kumpulan yang terkenal dengan lagu Darah Mudah itu merakamkan penghargaan di atas sokongan yang diberikan peminat setia mereka.
“Alhamdulillah! Tidak sangka konsert kita akan ‘sold out’ secepat ini.
“Kamu semua memang terbaik! Terima kasih Bunkers! Tidak sabar jumpa korang!” tulisnya ringkas.
Bunkface bakal menjayakan konsert Bunkface: 15 Years of Korang di Zepp, Kuala Lumpur pada 30 Julai ini.
Sekadar informasi, kumpulan tersebut ditubuhkan pada tahun 2006.
Bunkface yang dianggotai Sam, Paan, Youk termasuk drummer asal mereka iaitu Biak cukup popular dengan lagu-lagu hit seperti Situasi serta Revolusi, Silly Lily.