Sihir pemisah buat Syasira ‘berani’ minta cerai setiap hari

Sihir pemisah buat Syasira ‘berani’ minta cerai setiap hari

SYASIRA disihir oleh dua orang yang dikenalinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sedih, kecewa, keliru dan kemurungan.Itu pengalaman Nur Syasira Jamal berdepan titik hitam dalam hidupnya apabila terkena sihir pemisah dan sihir pengasih secara serentak.

Wanita berusia 31 tahun itu tidak menyangka masih ada lagi individu yang gemar menggunakan perkara khurafat untuk tujuan menjatuhkan orang lain.

Malah, dia juga tidak pernah sedikitpun terfikir bahawa dirinya akan disihir lebih-lebih lagi oleh orang yang dikenali.

Bercerita kepada Utusan Malaysia, Syasira atau lebih mesra digelar sebagai Syira berkata, segala-galanya bermula apabila dia mendirikan rumahtangga 10 tahun lalu.

“Memang saya tidak bercinta dengan suami sebelum mengambil keputusan berkahwin. Tetapi sejak kami diperkenalkan melalui adik saya hati saya terpaut suka padanya dan kami mengambil keputusan berkahwin.

“Peliknya, selepas berkahwin perasaan suka itu serta-merta menjadi perasaan benci yang meluap-luap terhadap suami sehingga membuatkan saya sering melontarkan kata-kata kasar kepadanya,” katanya mengimbas kembali kenangan pahit itu.

Tambahnya, hampir setiap hari dia meminta untuk diceraikan kerana rasa benci dan menyesal memilih jejaka berkenaan sedangkan suaminya itu tidak pernah melakukan sebarang perkara yang melukai hatinya.

Pada waktu itu dia sendiri berasa pelik dengan dirinya yang tidak boleh langsung melihat kelibat suaminya di rumah dan pasti dimarahi.

“Sampaikan setiap kali dia balik rumah pasti saya akan marah dan bercakap dengan nada yang kasar. Pernah saya katakan kepada dia ‘suami tidak berguna’ sedangkan dia diam sahaja waktu itu.

“Mujurlah suami saya seorang yang sangat penyabar dan tidak pernah sekalipun membalas kata-kata itu. Saya pula, setiap kali selepas solat saya akan sedar kesalahan yang dilakukan terhadap suami dan akan menangis,” ujarnya.

Biarpun begitu, dia dan suami tidak pernah terfikir kebarangkalian konflik yang berlaku itu disebabkan oleh perbuatan sihir.

“Selain rasa benci terhadap suami, saya juga sering mengalami perkara pelik seperti bermimpi ular dan buaya, ternampak kelibat melintas di dalam rumah dan setiap malam terdengar ada benda jatuh dan menghempap bumbung rumah sedangkan rumah dua tingkat dan tiada pokok setinggi atap rumah.

“Saya ada juga buat carian di internet mengenai perkara-perkara pelik yang dialami dan kebanyakan artikel yang saya jumpa menjurus kepada tanda-tanda terkena sihir pemisah.

“Tetapi saya positifkan diri. Saya dan suami menganggap ia mungkin hanya sebahagian daripada fasa perkenalan kami selepas kahwin,” kongsinya.

MULA SAKIT
Situasi itu berlanjutan sehingga Syira mula merasakan perubahan pelik kepada tubuh badannya.

Hampir setiap hari jantungnya berdegup kencang dan kerap kali ingin pengsan. Malah dia juga mempunyai rasa sakit seperti dicucuk pada bahagian rahim setiap kali menjelang waktu Maghrib.

Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa dimasukkan ke hospital selama tiga hari namun selepas pemeriksaan demi pemeriksaan dijalankan doktor mendapati dia tidak mengalami sebarang penyakit.

“Selepas kejadian itu keluarga meminta saya berubat di kampung menggunakan kaedah perawatan Islam.

“Hasil rawatan dengan ustaz mendapati saya disihir dengan sihir pemisah dan sihir pengasih daripada dua orang berbeza,” katanya yang berasal dari Kota Marudu, Sabah.

Tidak habis disitu, katanya, ketika menjalani rawatan kali pertama, dia diganggu lembaga hitam pada sebelah malamnya.

Jika sebelum ini dia hanya melihat kelibat namun selepas rawatan itu dia melihat sendiri lembaga hitam yang menganggunya selama ini.

“Semasa tidur saya rasa seperti dicekik dan saya terus membuka mata. Ketika itu saya melihat lembaga hitam di atas saya.

“Apabila bertanyakan kepada ustaz yang merawat, katanya ‘benda’ itu marah kerana saya ingin membuangnya,” jelasnya lagi.

Tidak berdendam
Menurut ustaz yang merawat, perkara itu dilakukan oleh kenalan lama yang dikenalinya. Namun Syasira enggan memikir lanjut perkara berkenaan apatah lagi berdendam.

Medium perantaraan yang digunakan untuk menghantar sihir kepadanya adalah dengan menggunakan gambar yang diambil daripada media sosial miliknya.

“Menurut kata perawat, untuk sihir pengasih itu mereka ambil gambar saya di Facebook dan kemudian menitikkan darah individu yang berniat menyihir saya itu di atas gambar dan gambar itu disimpan bawah bantal tidurnya.

“Saya pernah bermimpi lelaki itu, malah wanita yang hantar sihir pemisah kepada saya pun saya pernah mimpi tetapi saya tidak mahu menuduh, biarlah mereka,” ujarnya yang mengambil keputusan untuk memakai purdah selepas kejadian itu.

Harapannya cuma satu, supaya individu terlibat tidak lagi mengulangi perbuatan berkenaan kerana kesannya amat mendalam terhadap orang lain.

Sihir menerusi media sosial
Pengamal perubatan Islam, Abd. Halim Zakaria berkata, individu terkena sihir dikuasai jin dari segi mental dan pemikiran.

Disebabkan itulah individu berkenaan sentiasa berada dalam keadaan bingung, keliru dan suka termenung kerana dirinya sendiri tidak memahami perkara yang berlaku.

“Sihir dihantar sama ada menggunakan gambar, minyak dagu atau kita panggil sebagai minyak pengasih yang dicalit kepada mangsa.

“Bila mangsa menghidu minyak berkenaan, jin akan masuk melalui hidung dan biasanya akan duduk di bahagian otak untuk mengawal pemikiran dan tingkah laku individu itu,” katanya.

Oleh itu katanya, suami isteri yang mengesan perubahan drastik terhadap diri pasangan harus mengambil langkah segera dengan berjumpa dengan pengamal perubatan Islam yang yang diiktiraf.

Hal ini kerana katanya, sihir pemisah tidak mengambil masa yang lama untuk menunjukkan kesan dan disebabkan itu pasangan boleh menjadi benci-sebencinya secara tiba-tiba.

“Pertamanya, kalau pasangan ada sakit di bahagian mana-mana, bawa berjumpa doktor dahulu. Jika doktor sudah sahkan tiada sakit apa-apa tetapi masih juga rasa sakit maka datanglah berubat secara alternatif.

“Jangan tunggu terlalu lama sehingga berlaku perpisahan kerana kebanyakan kes suami datang kepada saya apabila isteri mereka sudah lari meninggalkan rumah dan anak-anak. Apabila itu berlaku, sudah agak susah kerana tidak dapat merawat mangsa secara bersemuka,” ujarnya lagi.

Beliau turut menasihatkan pasangan suami isteri untuk tidak terlalu terbuka berkongsikan kebahagiaan rumahtangga di media sosial kerana dibimbangi bakal menimbulkan hasad dengki orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya