Rojak baharu Spooky Wet Dreams - Utusan Malaysia

Rojak baharu Spooky Wet Dreams

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NOVEMBER 2020, Spooky Wet Dreams mengumumkan untuk berehat bagi memberi fokus kepada album baharu mereka. Mac lalu, pratempah untuk album tersebut akhirnya dibuka. Penghujung bulan lalu, album itu boleh mula didengar di platform digital.

Hiatus mereka selama lebih setahun tidak sia-sia. Sambutan terhadap album Dewa Kotaraya menggalakkan, termasuk dua lagu yang dilancarkan awal iaitu Seru dan Beza.

Spooky Wet Dreams masih dengan identiti mereka – rojak. Mereka kugiran yang tidak takut untuk menggabungkan pelbagai rasa dalam satu album. Album pertama mereka, Koleksi Dendangan Untuk Masa Hadapan (KDUMH) ialah rojak dan album kedua ini juga sepinggan rojak, tetapi lebih kaya dengan bahan.

Sejak trek pembukaan, Stesen Seterusnya, pendengar sudah disediakan dengan kepelbagaian bunyi dan rasa yang ada dalam 12 trek seterusnya. Mereka merakam bunyi-bunyi dalam tren, kemudian bunyi sesi jamming yang sayup-sayup kedengaran.

Sebagai penghuni bandar Kuala Lumpur selama hampir lima tahun, saya dapat menangkap suasana yang mahu disampaikan dalam Stesen Seterusnya. Tren adalah tempat pelbagai manusia berkumpul sejak pagi membawa ke malam. Setiap penumpang yang masuk membawa kisah baharu. Ada yang miskin, ada yang kaya. Ada yang muda dan ada yang tua. Cuma yang sukar dilihat dalam tren ialah mereka yang berkuasa. Jadi tren ialah tempat perkumpulan rakyat dengan cerita-cerita rakyat.

Kisah yang peribadi
Lagu-lagu dalam Dewa Kotaraya ditulis oleh vokalis Spooky Wet Dreams, Ze. Menurut Ze, proses penulisannya bermula dengan mengumpul pengalaman dahulu. Dia keluar dan mengembara ke sana-sini, berjumpa pelbagai orang dan pengalaman itu dikumpulkan dalam fikiran. Kisah-kisah yang dikumpulkan itu diekstrak kemudian dibentuk menjadi lagu.

“Aku suka berjumpa orang, itu cara aku buat kenalan. Kemudian pandemik datang dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sepanjang PKP itu, aku lihat semula diri aku sebagai penulis dan konsep untuk setiap lagu mula keluar.

“Bila aku fikir balik, banyak cerita yang tak dilagukan. Contohnya macam cerita dalam The Grand Corncake Hotel. Setiap lagu itu ada orang di sebaliknya tetapi bukanlah tentang orang itu, ia tentang macam mana aku melihat orang itu. Apa yang aku dapat ambil dari perkenalan dengan dia,” kata Ze.

Jika anda dengar keseluruhan album Kota Dewataraya, ada komuniti tertentu yang menjadi fokus dalam penulisan Ze, iaitu golongan kelas pertengahan bandar. Golongan ini jarang mendapat tempat dalam penulisan lirik. Jika ada pun, mereka dilagukan dalam kerangka hedonistik; tentang parti, pengambilan bahan terlarang dan kisah cinta.

Ze mengambil sisi berbeza. Dia bercerita tentang roadtrip, dilema moral dan maskuliniti toksik. Tema-tema ini diadun dengan melodi yang pelbagai. Secara keseluruhannya, garapan lagu Spooky Wet Dreams dalam album ini lebih ke arah komersial. Akar punk mereka, sekurang-kurangnya dari segi melodi, sudah tumbuh menjadi pokok yang hibrid. Ada dahan pop alternatif, ada ranting klasik dan ada pucuk balada.

Campuran semangat
Penerbitan album sepanjang pandemik memang mencabar. Banyak hal yang tidak terjangka boleh berlaku dan itulah yang dialami Spooky Wet Dreams. Proses rakaman album ini mengambil masa kira-kira 10 bulan. Rakaman juga dilakukan di lima studio berbeza, termasuk satu rumah penginapan yang mereka sewa khas untuk menjalankan rakaman.

Gitaris dan penerbit album, Matt Liew berkata, album kali ini lebih kompleks berbanding KDUMH dengan setiap lagu melibatkan lebih banyak lapisan rakaman, termasuk vokal latar.

“Kalau dahulu untuk persembahan kami perlukan dua mikrofon sahaja, untuk Nani (vokalis/gitaris) dan Ze, kali ini kami perlu untuk semua anggota sebab kami semua sumbangkan vokal latar.

“Lagu-lagu dalam album ini juga dipandu oleh bunyi dram. Kalau dengar album ini dan bandingkan dengan album artis lain, kau dapat dengar bunyi dram kami yang paling kuat,” kata Matt.

Ze menambah, rakaman yang dibuat dalam banyak studio menjadikan lagu-lagu dalam album ini mempunyai imprin bunyi yang pelbagai.

“Setiap studio akan ada imprin bunyi kugiran yang buat rakaman di situ sebelum ini. Di Village Roof Studio, ada imprin Emmet (Butterfingers). Di Studio 21:05 lagi banyak, ada Seven Collar T-Shirt dan lain-lain.

“Apabila kami buat rakaman di sebuah rumah penginapan di Petaling Jaya, kami nak bersihkan semua imprin itu. Kami pun pertama kali ke situ, jadi ia kosong. Bunyi yang keluar ialah bunyi yang kami mahu tanpa pengaruh siapa-siapa,” katanya.

Meraikan sisi gelap
Menurut Ze, Dewa Kotaraya adalah tentang mengakui kewujudan sisi gelap dalam diri kita. Setiap manusia punya sisi gelap sendiri tetapi sering kali, kita nafikan kewujudannya atau kita gunakannya ke arah keburukan.

“Aku nak kita akui ada syaitan dan raksasa dalam diri kita, kemudian manfaatkannya ke arah kebaikan. Itu ialah interpretasi aku sebagai penulis. Jika pendengar ada tafsiran lain, dipersilakan,” katanya.

Dewa Kotaraya adalah pertaruhan baharu Spooky Wet Dreams selepas setahun lebih berehat. Mengikut jumlah penstriman yang dicapai setakat ini, ternyata kugiran ini masih relevan dan karya mereka dinantikan peminat.

Bagi saya, album ini adalah langkah berani Spooky Wet Dreams. Penulisan yang berfokus kepada golongan tertentu berbahaya sebenarnya kerana mereka yang di luar golongan itu sukar untuk menghayati mesej yang ingin disampaikan.

Tetapi kugiran ini tahu sasaran mereka dan tahu tujuan mereka berkarya. Mereka mahu bebas berkarya dan kebebasan itu ditonjolkan dalam kerojakan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya