1992 adalah permulaan bagi sebuah kumpulan legenda, KRU. Dianggotai tiga beradik Datuk Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim, KRU merupakan antara kumpulan paling berjaya sepanjang generasi.
Dari 1992 hingga 2013, KRU telah menghasilkan 13 album, tiga album kompilasi dan lebih 70 single. Kejayaan tiga beradik ini bukan sahaja tertakluk dalam industri muzik, malah penghasilan drama dan filem.
KRU, di bawah KRU Studios menerbit kira-kira 16 filem dan lebih enam buah drama. Jika di selak satu persatu, pencapaian mereka membanggakan. Dari penghasilan muzik sehinggalah ke layar perak. Boleh dikatakan, KRU ‘tapau’ semuanya.
Ketika bertemu Norman baru-baru ini, beliau bercerita tentang pengalaman zaman kanak-kanak. Norman akui, muzik adalah minat yang tertanam dalam diri mereka tiga beradik sejak kecil.
“Kami mula buat lagu ketika remaja lagi. Malah kami mula bermain muzik ketika usia kecil.
“Bapa kami pula seorang yang suka menyanyi lebih-lebih lagi di majlis orang kahwin. Dia suka lagu-lagu lama, dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan The Beatles. Secara tidak langsung, kami terima pendedahan jenis muzik sama.
“Boleh katakan kami tiga beradik selalu bersama, sejak kecil lagi. Rajin main muzik. Inspirasi kami datang dari lagu-lagu 60-an dan 80-an. Dari situ, timbul minat rakam lagu, suka-suka. Bukan untuk tujuan komersial,” ceritanya.
Kongsi Norman, lagu pertama yang dihasilkannya adalah Untukmu, dipopularkan sebuah lagi kumpulan ternama, Feminin. Ketika itu, beliau berusia 15 tahun.
“Itu lagu pertama yang saya buat secara serius. Tetapi kami tidak rakam sendiri.
“Ada satu tempoh itu kami berada di United Kingdom (UK). Bila balik Malaysia, kami rakam banyak lagu.
“Kami buat suka-suka. Zaman itu, rakam pakai kaset sahaja. Yang pelik, tak tahu bagaimana sampai kepada syarikat rakaman EMI. Dari situ bertitik tolaklah kewujudan KRU,” cerita Norman lagi.
Jangan risau, Kamu akan berjaya – Ella
Itu kata ratu rock Malaysia kepada KRU sewaktu awal kemunculan kumpulan itu di persada seni. Mengimbau kembali, Norman menceritakan pengalaman berdepan penolakan masyarakat terhadap imej dan muzik yang mereka bawakan.
“Konsert pertama kami adalah persembahan pembukaan untuk konsert Ella. Kira-kira 10,000 hadir. Saya masih ingat, reaksi penonton yang terkejut dengan kemunculan kami. Mereka sangkakan muzik rock, sebab datang ke konsert Ella. Tiba-tiba, awal lagi sudah disajikan muzik hip hop. Kami dapat rasakan betapa kami tidak diterima waktu itu. Ramai yang hairan dan pelik dengan muzik kami.
“Tetapi kami tak putus asa. Terus membuat persembahan demi persembahan. Dari satu kompleks beli-belah ke kompleks beli-belah lain. Ada yang berbayar, dalam dua tiga ratus. Ada percuma. Kerana minat, kami buat,” kongsinya.
Pelbagai cabaran mereka lalui untuk memecah persepsi agar KRU dapat diterima baik dalam kalangan masyarakat .
“Dalam pasaran Malaysia masa itu, pendengar menerima baik muzik hip hop. Tetapi pada mereka, kena nyanyian. Tak boleh setakat rap sahaja. Jadi kami cari strategi macam mana nak saingi kumpulan 4U2C.
“Kami hasilkan lagu Mengerti. Kami ke depankan Yusri untuk menyanyi, saya pula lebih kepada bahagian rap. Begitu juga Edry. Kami susun strategi untuk hasilkan KRU 2.0. Reaksi kami adalah bersifat kompetitif. Bukan sebab glamor atau wang ringgit. Lebih kepada, apabila kalah, bangkit semula. Dari situ, Karier kami berkembang. Sehingga terbang ke luar negara, seperti Filipina untuk membuat konsert,” jelasnya.
Titik terendah? Konsert diharamkan
Menceritakan tentang titik terendah, Norman mengakui, pengharaman konsert KRUmania pada 1997 adalah detik paling hitam bagi mereka.
Kata Norman, ketika itu mereka tidak bersedia, tiada pengalaman berdepan cabaran sebegitu besar.
“Agak lama, dua tiga bulan diharamkan. Sehingga mengundang campur tangan Kabinet, untuk memutuskan sama ada kami dibenarkan semula membuat konsert atau tidak.
“Ditambah dengan kegawatan ekonomi pada tahun sama. Berat sekali. Kami pula pada waktu itu buat pinjaman bank dan membuat pelaburan yang besar.
“Terus terang, memang patah semangat. Masa itu kecewa dan marah. Apa salah kami? Tapi bila difahamkan semula. Ia adalah satu proses. Bila ‘down’, ambillah masa untuk berehat. Bertenang dan muhasabah diri. Lihat apa silap, kemudian susun semula perancangan,” katanya.
Menjawab persoalan tentang memori indah, kata Norman, terlalu banyak. Baginya, menjadi sebahagian KRU juga adalah satu kenangan indah yang tidak akan dapat dilupakan.
“Banyak memori indah. Buat konsert jelajah, album menang anugerah. Filem-filem yang kami hasilkan. Berlakon juga, walaupun kayu. Alhamdulillah, banyak rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kami. Dan kami laksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
“Tetapi, kalau ditanya tentang memori paling indah, bagi saya, KRU itu sendiri. Kerana ia merangkumi semua tentang hidup saya. Selepas saya tamat belajar dalam bidang perakaunan, berniaga tanpa modal, pengalaman dan kenalan. Semua saya lalui bersama adik beradik saya. KRU itulah yang paling istimewa dalam hidup saya,” katanya lagi.
Kemunculan semula, saya sentiasa bersedia
Bercakap tentang kemunculan semula, Norman mengakui dia bersedia pada bila-bila masa, sama ada dalam konsert ataupun merakamkan lagu.
Namun, dia juga tidak boleh menafikan bukan mudah untuk mendapat kesepakatan dalam kalangan adik beradik memandangkan mereka mempunyai komitmen peribadi yang perlu diutamakan.
“Yang belum sedia, mungkin Yusry dan Edry. Saya bersedia bila-bila masa. Anugerah Meletop Era (AME 2021) pun saya tampil seorang diri,” katanya.
Dalam pada itu, Norman juga memberitahu kini dia lebih selesa untuk fokus pada perniagaan di samping terus berkarya, menghasilkan lagu dan filem.
“Mungkin apa yang saya lihat sekarang saya lebih kepada penulisan lagu dan skrip.
“Nak kata naik pentas, jadi artis, buat promosi sebagainya, banyak lagi artis-artis baharu yang perlu diberi peluang untuk itu.
“Saya sudah lalui semua. Promosi lagu, buat persembahan dan sebagainya. Bagilah generasi muda untuk ke depan. Mereka bersemangat dan mampu membawa pembaharuan. Lebih baik kita bagi peluang kepada mereka untuk ke depan,” jelasnya.
Album:
Canggih (1992)
reKRUed (1993)
Awas! (1994)
Beware: Awas! Da Soundtrack (1995)
Ooh! La! La! (1996)
The Way We Jam (1998)
Formula Luar Biasa (1999)
Tyco (2000)
KRUjaan (2000)
Empayar KRUjaan V 2.0 (2002)
KRUnisme (2005)
10 Di Skala Richter (2006)
KRUnomena (2013)
Filem:
Cicakman (2006)
Duyung (2008)
Cicakman 2 – Planet Hitam (2008)
Jin Notti (2009)
My Spy (2009)
Magika (2010)
Hikayat Merong Mahawangsa (2011)
Karak (2011)
Cinta Kura Kura (2012)
29 Februari (2012)
Vikingdom (2013)
Ribbit (2014)
Dendam Orang Mati (2014)
Cicakman 3 (2015)
Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! (2016)
Wheely (2018)










