fbpx

Pembantu peribadi artis: Mudah percaya, mudah juga dikhianati

MEMPUNYAI pembantu peribadi, mungkin dilihat menjadi perantara dan pemudah cara buat seseorang artis atau selebriti yang tidak cukup tangan dalam mengendalikan urusan seharian masing-masing.

Skop kerja pula, jangan tersalah anggap dengan bidang kerja seorang pengurus pula. Ini kerana kedua-dua tugas mempunyai peranan berbeza. Tidak sama.

Pun begitu, pembantu peribadi kepada artis juga memegang kunci kepercayaan yang sangat kuat. Menyimpan rahsia, menyimpan juga maklumat peribadi penting artis atau selebriti tersebut.

Di sinilah mara bahaya boleh tiba. Sama ada yang dipercayai itu memang orang yang tepat, atau individu itu merupakan petualang. Berikut adalah pandangan beberapa artis tempatan mengenai isu ini.

Perlu catat segala tugasan, jangan lepas tangan – Ain Edruce
PELAKON dan pengacara versatil, Ain Edruce berpendapat, setiap artis harus mempunyai sikap berhati-hati dengan PA masing-masing, terutama melibatkan wang.

Kata pengacara program popular I Can See Your Voice musim kelima itu, selebriti sebagai majikan juga perlu mencatat setiap tugasan agar tidak terlepas pandang terutama apabila melibatkan pembayaran.

“Bila melibatkan wang, memang perlu lebih berhati-hati. Walau orang itu kita percaya macam mana pun sekalipun, berhati-hati. Dan paling penting, walau kita mempunyai PA, kita juga perlu sentiasa catat segala tugasan yang kita lakukan. Jangan lepas tangan.

“Sebab saya memahami, bila banyak kerja dan terlampau sibuk kadang kala kita akan terlepas pandang terutama melibatkan perkara seperti ini. Lebih-lebih lagi jika sudah lama kita lakukan kerja itu namun bayaran pula lambat. Lagilah kita akan lupa.

“Jadi, apabila kita mencatat dan bila terjadinya perkara seperti ini, sekurang-kurangnya kita tahu ‘okey yang ini memang kita tidak dapat lagi’,” katanya.

Pelakon itu bagaimanapun beranggapan bukan semua mempunyai niat yang tidak baik, namun perlu berjaga-jaga juga agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Bagaimanapun, saya tidak kata kita tidak boleh mempercayai sangat PA atau pengurus. Tidak boleh juga macam itu. Tidak semua yang mempunyai niat jahat terhadap kita.

“Bagi saya, perlu berjaga-jaga sahaja. Bukan sahaja mereka, namun kadang kala keluarga atau rakan sendiri pun ada berlaku perkara sebegini,” tambahnya.

Selain itu, Ain turut berkongsi dia lebih selesa menguruskan tugasan harian sendiri berbanding mempunyai PA buat masa ini, kerana dia mendedahkan dirinya agak sukar mewujudkan chemistry’dengan seseorang jika tidak selesa.

“Saya bukan seorang yang jenis cepat percaya tetapi dengan pengurus saya percaya seratus peratus. Jadi saya akan mencari pengurus yang memang boleh dipercayai tambahan pula dia adalah sepupu saya sendiri.

“Sebenarnya senang jika kita ada PA, tetapi itulah jika ada pun terutama apabila dia menjaga hak kita dan sentiasa ‘berkepit’ dengannya. Nak tak nak, secara tidak langsung kita akan bercerita perkara yang bukan privasi tetapi rahsia.

“Untuk saya sendiri nak mencari PA, saya perlu mencari individu yang betul-betul buat diri saya selesa kerana saya ini sukar untuk selesa dengan orang. Jika ada chemistry dengan orang itu, barulah saya boleh bekerjasama dengannya,” ujarnya panjang.

Rambut sama hitam, hati lain-lain – Andi Bernadee
Penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee mengakui pengalaman lalu memberi pengajaran berharga kepada dirinya.

Gara-gara dimanipulasi pembantu peribadi yang juga sahabat sendiri, Andi kini lebih berhati-hati.

Katanya, dia tidak lagi mudah memberi kepercayaan, lebih-lebih kepada individu yang baru dikenalinya.

“Saya seorang yang mudah bersangka baik. Sikap saya akan tetap begitu walaupun pernah lalui pengalaman sebegitu.

“Namun apa yang dilalui sebelum ini mengajar saya satu perkara, jangan mudah percaya sesiapa. Rambut sama hitam, hati lain-lain,” katanya.

Kata Andi lagi, sebelum ini dia melakukan kesilapan apabila dengan mudah memberi kepercayaan kepada seorang ‘kawan’.

“Dia kira sahabat, yang tiba-tiba hadir dan selalu lepak bersama. Kemudian tawarkan diri untuk jadi pembantu tapi tak sangka pula dia akan ambil kesempatan. Memanipulasi. Itulah dia. Jangan mudah percaya, walaupun dengan keluarga sendiri,” terangnya.

Ramai tawar diri jadi PA, tapi saya serik – Fify Azmi

Merupakan antara selebriti dan pelakon yang baru sahaja terpalit dengan isu pengkhianatan oleh orang dipercayai baru-baru ini, pelakon, Fify Azmi, tidak menolak begitu sukar untuk dia melupakan apa yang terjadi.

Mungkin dirinya boleh mencuba untuk menutup sebelah mata meski telah kerugian hampir RM15,000, namun untuk memaafkan bekas pembantu peribadinya yang pernah menjadi orang yang paling dipercayai, ia tidak akan berlaku semudah itu.

“Cukuplah untuk semua orang tahu yang saya sedia mengikhlaskan kes ‘kehilangan’ duit titik peluh saya itu. Mungkin ambil masa untuk melupakan hal yang terjadi memandangkan ia masih baru.

“Tapi untuk memaafkan, tidak. Biarlah dia jawab di akhirat nanti. Macam saya pernah katakan sebelum ini, tak guna nak cakap atau melayan lagi orang yang bercakap pun putar belit. Ini juga pengajaran untuk saya agar tidak mudah percaya pada orang.

“Memang susah untuk saya percaya pada orang lain buat masa ini. Bagaimanapun, ini pilhan saya. Kalau artis atau selebriti lain rasa perlu ada pembantu peribadi, silakan. Cuma jadikanlah pengalaman saya ini sebagai teladan,”katanya.

Tidak menafikan sejak kejadian itu, ramai kalangan teman industri cuba untuk menawarkan khidmat sebagai pembantu peribadinya, namun Fify enggan memaksa diri menerima dengan terburu-buru.

“ Tak dinafikan, ramai tawar diri nak bantu saya, tapi nanti dululah.

“Saya nak fokus pada diri sendiri dulu dan cuba kendalikan semua urusan dengan baik. Memang apa yang berlaku menjadikan saya sangat berhati-hati. Paling susah nak ubati adalah rasa sakit hati ini. Duit boleh dicari, Insya-Allah ada rezeki Tuhan akan beri. Itu saya percaya,”katanya.

Terdahulu, pelakon dengan nama sebenar, Nur Afiqah Mohammad Azmi ini terjebak dengan isu dikhianati pembantu peribadinya, Nora yang didakwa melarikan wang berjumlah RM15,000 miliknya.

Tak pernah ada pengurus tetap – Syanie Hisham

Sementara rakan industri lain menggunakan khidmat pembantu peribadi atau pengurus tetap untuk memudahkan urusan kerja, pelakon dan pelawak Syanie Hisham sebaliknya memilih untuk bergerak solo.

Bagaimanapun, kongsi pelakon filem Senario Lagi ini, di sepanjang karier seninya dia hanya pernah menggunakan pengurus tidak tetap sahaja.

Ini kerana Syanie lebih mudah untuk berurusan dengan produser atau wakil produser sendiri.

“Dulu saya ada pembantu peribadi, tetapi hanya sebagai pemandu dan teman saya kalau ada penggambaran sahaja.

“Ada pun pembantu peribadi sebelum ini, saya lebih selesa ambil kawan rapat sahaja sebab kalau orang yang tidak dikenali, saya bimbang tiada keserasian. Kalau tiada PA, adik saya sendiri yang akan menemani saya.

“Sama juga dengan pengurus, untuk kedua-duanya saya tidak pernah guna khidmat sepenuh masa. Bila saya urus sendiri, saya tahu nilai dan harga bayaran diri sendiri. Lebih mudah begitu,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!