Pelakon ‘satu watak’ : Sebegitu malaskah industri? - Utusan Malaysia

Pelakon ‘satu watak’ : Sebegitu malaskah industri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEUPAYAAN melakonkan pelbagai watak dengan baik, nyata memberi impak pada seseorang pelakon.

Bagaimanapun, jika selalu dilihat hanya melakonkan watak yang lebih kurang sama saja pada setiap kali, usah terkejut jika penonton seusia darjah satu pun boleh bersuara ‘Eh! Dia ini asyik jadi watak begini saja!’

Boleh jadi juga ia dilihat sebagai satu kelemahan sehingga timbul pandangan adakah industri kita ini sudah ketandusan pelakon atau pun terlalu selesa melabel sesetengah pelakon dengan watak yang stereotaip.

Seakan-akan industri perfileman di Malaysia sudah mempunyai templat lazim. Pendek kata, pelakon yang selalu berlakon watak sama akan diberikan tawaran berulang kali.

Merungkai perkara tersebut, Pancaindera mendapatkan beberapa pandangan daripada pemain industri berhubung isu ini.

Itu hanya watak, karakter mesti berbeza – Zaidi Omar
Pelakon veteran, Zaidi Omar, 63, memberi pandangan berbeza. Katanya, sama atau tidak wataknya, lakonan perlu lain daripada yang lain.

Padanya, pelakon bukan mangsa stereotaip. Sebaliknya, seseorang pelakon itu menggalas tugas untuk menyuntik kelainan terhadap watak yang sama.

“Ada pelakon, watak lain, pembawaan tetap sama. Tak ada beza. Pelakon kena cipta rasa. Kalau tak ada (rasa) jangan harap penonton akan rasa.

“Watak harus dicipta. Pelakon kena cari. Sebab kadang, skrip tidak memberi gambaran jelas,” katanya.

Kata Zaidi, dia tidak kisah kalau diberi watak sama berulang kali. Katanya, apa yang penting adalah bagaimana dia menyuntik kelainan terhadap watak berkenaan.

“Contoh, watak seorang Datuk. Adakah semuanya sama?Tak kisahlah watak yang sama berulang kali. Itu hanya watak, Karakter mesti berbeza.

“Itulah cabaran seorang pelakon,” ujarnya.

Pelakon ada hak untuk selektif – Pekin Ibrahim

Pelakon dan pengarah terkenal, Pekin Ibrahim beranggapan, stereotaip watak ini adakalanya membawa rezeki kepada segelintir pelakon.

“Kalau lihat di Malaysia ini ada dua jenis pelakon, iaitu drama dan filem. Dalam arena drama pelakon lebih aktif dalam bekerja.

“Apabila mereka menerima lebih daripada satu naskhah dan kebetulan watak yang diambil itu lebih kurang dengan yang pernah dia lakonkan sebelum ini, itu menyebabkan kenapa penonton melihat watak mereka sama sahaja.

“Disebabkan itu juga pelakon tiada masa untuk menerokai dan mendalami watak dengan lebih. Adakalanya pelakon buat apa sahaja yang mereka selesa,” jelasnya.

Tambah Pekin, andai ada masa lebih contohnya menerusi filem, mungkin pelakon tersebut berpeluang untuk mendalami watak yang diamanahkan.

Dalam pada itu, Pekin turut memberitahu bahawa seorang pengarah perlu memberi teguran kepada si pelakon untuk menampakkan warna watak daripada zon selesanya.

“Pengarah pun memainkan peranan. Kena bentuk pelakon berkenaan untuk menampakkan kelainan daripada kebiasaannya.

“Melainkan pelakon yang selektif bolehlah nampak perbezaan watak yang dipegang. Pendek kata terpulang kepada pelakon itu sendiri, hak pilihan pada mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya