NATO tiada kuasa singkir ahli susulan ancaman AS terhadap Sepanyol - Utusan Malaysia

NATO tiada kuasa singkir ahli susulan ancaman AS terhadap Sepanyol

IBU pejabat NATO terletak di Brussels, Belgium. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyatakan bahawa tiada sebarang peruntukan dalam undang-undang pakatan tentera itu yang membenarkan mana-mana negara anggota digantung atau disingkirkan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan yang mendakwa Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan mahu menggantung keahlian Sepanyol disebabkan pendirian negara tersebut dalam perang  Iran.

Agensi berita Reuters memetik kenyataan seorang pegawai AS yang mendedahkan bahawa satu e-mel dalaman Jabatan Pertahanan atau Perang yang lebih dikenali sebagai  Pentagon mencadangkan langkah-langkah untuk Washington menghukum sekutu yang dianggap gagal menyokong kempen ketenteraannya.

Malah, e-mel tersebut turut mencadangkan agar AS menyemak semula pendiriannya terhadap tuntutan United Kingdom (UK) ke atas Kepulauan Falkland di Atlantik Selatan, yang turut dituntut oleh Argentina.

Seorang pegawai NATO memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa perjanjian penubuhan pakatan itu tidak memperuntukkan sebarang fasal bagi penggantungan keahlian NATO atau penyingkiran ahli.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Pentagon, Kingsley Wilson menyatakan bahawa di sebalik segala bantuan yang telah diberikan AS kepada sekutu NATO, mereka tidak ada bersama Amerika  ketika diperlukan dalam perang Iran.

“Jabatan Perang akan memastikan presiden mempunyai pilihan yang kukuh bagi memastikan sekutu kita bukan lagi sekadar ‘harimau kertas’ dan sebaliknya memainkan peranan mereka. Kami tidak mempunyai ulasan lanjut mengenai sebarang rundingan dalaman berhubung perkara itu,” katanya kepada BBC.

Presiden AS, Donald Trump berulang kali mengkritik sekutu NATO kerana keberatan memainkan peranan lebih besar selepas AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari lalu, yang kemudian menyebabkan Teheran menyekat laluan utama di Selat Hormuz.

Trump menyifatkannya tindakan NATO itu sebagai satu pengkhianatan. 

Sepanyol sebelum ini enggan membenarkan penggunaan pangkalan udara di wilayahnya untuk melancarkan serangan ke atas Iran. AS mempunyai dua pangkalan tentera di Sepanyol iaitu Stesen Tentera Laut Rota dan Pangkalan Udara Morón.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, bagaimanapun menyelar laporan tersebut.

“Kami tidak bekerja berdasarkan e-mel. Kami bekerja berdasarkan dokumen rasmi dan pendirian rasmi yang diambil oleh kerajaan AS dalam hal ini,” kata beliau. – BBC/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN