Inovasi sayur rangup galak amalan pemakanan sihat - Utusan Malaysia

Inovasi sayur rangup galak amalan pemakanan sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sayur merupakan antara makanan yang tinggi khasiat, malah pengambilannya sangat digalakkan dalam piramid makanan.

Namun, rasa sayur yang pahit dan tawar sering menjadikan ia bukan pilihan utama dalam juadah yang disediakan.

Malah ada yang sanggup mengambil masa mengasingkan sayur dalam makanan semata-mata tidak suka dengan rasa makanan tersebut.

Melihatkan kepada fenomena itu, muncul idea bernas di benak fikiran Tuan Amira Tuan Hanizul untuk melakukan inovasi terhadap sayur-sayuran supaya ia dapat diterima ramai terutamanya kanak-kanak yang sememangnya memerlukan zat daripada sumber makanan itu.

Dari situ, muncul produk sayur rangup di bawah jenama Dapur Puteri yang diusahakan bersama suami, Muhammad Iqbal Muhammad Surardi,32, yang kini mempunyai dua variasi sayur rangup iaitu Pegaga Crispy Crunchy dan Peria Crispy Crunchy.

Selain sayur, bawang putih dan halia turut divariasikan menjadi kerepek iaitu Royale Garlic Crunchy, Halia Crispy Crunchy dan Royale Garlic Crunchy With Serunding Halia.

Katanya, perniagaan tersebut dimulakan sejurus sahaja dia melahirkan anak ketiganya yang juga sepasang kembar pada Mei tahun lalu.

“Selepas sahaja melahirkan anak kembar, saya membuat keputusan untuk berhenti kerja kerana mahu menjaga mereka sendiri.

“Dari situ timbul idea untuk memulakan perniagaan memandangkan saya akan berada di rumah sepanjang hari dan dari situlah bermulanya perniagaan sayur rangup saya dan suami,” katanya yang bekerja sebagai jurujual baju sebelum itu.

Bercerita lanjut, wanita usia 32 tahun itu berkata,peria dan pegaga menjadi pilihan memandangkan ia merupakan antara sayuran yang paling tidak digemari oleh kebanyakan orang terutamanya kanak-kanak kerana rasanya yang pahit.

“Tetapi, bila kami inovasikan sayur-sayur itu menjadi kerepek, ramai yang sudah mula makan pegaga dan peria yang dahulunya sangat tidak digemari.

“Kebanyakan pelanggan kata, rasa kerepek sayur sangat sedap kerana ada yang kita variasikan dengan tepung berperisa pedas, jadi sayur itu rasa rangup dan sedikit pedas macam makan kerepek biasa,” katanya lagi.

Kerepek sihat
Tambah Amira, sayur rangup yang dijadikan seakan-akan kerepek itu juga diperbuat daripada sayur-sayuran yang segar untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

Ia juga tidak ditambah dengan sebarang pengawet atau bahan kimia terlarang yang boleh membahayakan tubuh badan.

Sayuran berkenaan hanya ditambah dengan sedikit tepung sebelum digoreng untuk memberikan tekstur yang rangup.

“Bila dengar kerepek mungkin orang akan takut sebab menggunakan minyak yang banyak. Tapi kebiasaannya saya akan ambil masa selama sehari untuk tos semua minyak pada sayuran yang telah digoreng. Bila minyak betul-betul kering baharu kita akan masukkan ke dalam bekas.

“Memanglah bila dah digoreng, khasiat sayur akan sedikit berkurang dan tidak akan sama dengan sayur yang dimakan secara segar. Namun, khasiat sayur itu tetap ada juga sedikit.

“Ia lebih baik daripada makan kerepek biasa kerana secara tidak langsung kudap-kudapan pun kita tetap makan sayur,” ulasnya.

Tambahnya, bagi variasi halia dan bawang putih pula, ia sangat bagus diamalkan terutamanya untuk wanita selepas bersalin untuk membuang angin.

Bawang putih dan halia yang telah digoreng rangup dan dijadikan serunding lebih mudah dimakan dengan pelbagai lauk-pauk.

“Ini lebih senang kerana ia boleh ditambah terus pada nasi atau bubur menjadikan makanan lebih enak dengan tekstur-tekstur rangup sayur atau bawang putih dan halia.

“Selain sedap, ia juga berfungsi untuk mengeluarkan lebihan angin dalam badan. Bukan sahaja wanita selepas bersalin, orang biasa pun boleh makan, anak-anak juga boleh makan.

“Macam anak saya sendiri, mereka sangat menggemari kerepek bawang putih dan mereka boleh makan begitu sahaja. Pelanggan saya juga kata dengan produk ini mereka sudah mula makan sayur yang selama ini memang mereka tidak makan seperti peria kerana apabila digoreng ia memang tidak lagi pahit,” jelasnya yang mengusahakan perniagaan sepenuhnya secara dalam talian.

Kenaikan harga barang
Kemelut kenaikan harga makanan dan barangan sememangnya memberikan impak yang signifikan terhadap perniagaan keluarganya itu.

Katanya, dia dan suami terpaksa menyerap lebihan kos tanpa menaikkan harga produk untuk menjaga pelanggan sedia ada.

“Agak terkesan juga dengan kenaikan harga barang tetapi kami tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya, kena juga jaga pelanggan.

“Sedikit sebanyak untung berniaga agak terjejas ketika ini dan kami juga dalam sedang dalam perancangan untuk mengatasi permasalahan ini tidak lama lagi,” katanya yang menjual satu bekas dengan harga RM15 ketika ini.

Lebih variasi
Memandangkan perniagaan yang diusahakan semakin menunjukkan perkembangan yang positif, anak kelahiran Bangi, Selangor itu menyimpan cita-cita untuk membuka gerai suatu hari nanti.

Katanya, tempahan diterima hampir setiap hari dari seluruh kawasan Selangor termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Oleh itu, katanya, dia juga dalam perancangan untuk memvariasikan lebih banyak sayur rangup untuk produk keluarannya.

“Selepas ini saya akan mempelbagaikan lagi sayur-sayuran seperti lobak putih dan bayam Brazil.

“Sayur-sayuran ini juga antara yang bukan menjadi pilihan ramai untuk dimakan secara segar, jadi saya akan jadikan ia sayur rangup yang sedap dimakan begitu sahaja,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya