PETALING JAYA: Pelakon, Elfira Loy, memaklumkan kini dia mula membuat perancangan keluarga untuk menimang cahaya mata seterusnya.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon drama Qalesya itu menerusi ruangan AskMe di InstaStory selepas ada seorang pengikutnya bertanyakan soalan adakah pelakon itu merancang sebelum ini.
“Kak El masa dulu merancang tak? Kalau merancang guna kaedah apa? Terima kasih,” tanya seorang warganet.
Kongsi Elfira, dia mengambil keputusan sedemikian kerana mengakui agak sukar untuk membesarkan cahaya mata.
“Tidak pernah rancang pun, tetapi selalu doa, dari muda-muda ‘single’ dulu memang nak satu anak lelaki dan satu anak perempuan.
“Lepas itu tidak kisah berapa. Tetapi sebab sudah besarkan sendiri, malah sudah tahu susahnya besarkan anak. Sekarang, baru nak merancang,” katanya.
Mengulas lanjut, Elfira turut memberitahu ia bukan satu hal yang mudah bagi membesarkan sepasang cahaya matanya yang masih kecil tanpa pembantu rumah.
Dalam pada itu, pelakon itu berazam untuk bekerja lebih kuat lagi demi kesenangan anak-anaknya.
“Alhamdulillah, Allah bagi lengkap dah… sekarang, nak fokus besarkan dua cahaya mata yang saya hargai, dan nak kerja kuat-kuat.
“Bagi membesarkan dua orang anak tanpa pembantu semasa bekerja 24 jam bukanlah mudah,” kongsinya lagi.
Sekadar informasi, Elfira mendirikan rumah tangga bersama Khairol Faris Anuar pada tanggal 1 Januari 2019.
Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhamad Rayyan Khalaf, dan Nur Aira Mikayla yang dilahirkan pada 20 Mei lalu.