Watak kelakar bukan sekadar hiburan - Utusan Malaysia

Watak kelakar bukan sekadar hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Watak kelakar yang diberi nama Kak Leha Bunting dibawakan di media sosial berlainan sekali dengan personaliti dalam kehidupan sebenar. Namun watak rekaan tersebut jugalah yang telah memperkenalkan Mohd. Nasrul Faiz Abu Azal atau Faizdickie kepada pengikutnya di media sosial dan alam maya.

Sehingga kini, lelaki yang lebih mesra dengan sapaan Faiz ini sudah 10 tahun aktif di platform media sosial.

“Saya bermula sekadar suka-suka sahaja. Pada mulanya saya banyak berkongsi tentang percutian, tempat makan yang best dan suka mengupas isu semasa dan mengekspresikannya dengan cara tersendiri. Dari situlah timbul pelbagai watak-watak yang kelakar di media sosial saya,” kata Faiz kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Nasrul menjelaskan, watak Mak Leha Bunting diinspirasikan daripada perwatakan seorang ibu dan isteri yang kuat berceloteh mengenai ragam anak-anaknya.

“Watak itu inspirasi daripada arwah ibu saya. Tetapi watak itu saya jadikan sebagai kelihatan agak ‘bingit’ dengan keletah dibawakan. Sungguhpun bingit, ia membawa mesej tersendiri ingin disampaikan,” katanya.

Membawakan watak berlainan jantina, tidak semudah yang disangka. Ada suka dan tidak kurang juga ada yang memberikan komen negatif.

Mengakui menerima kecaman dengan watak Kak Leha Bunting, namun dia selalu mengingatkan diri bahawa tidak semua perkongsian itu akan menerima kata-kata positif.

“Saya terima komen dengan hati terbuka sebab secara tidak langsung ia membantu saya memperbaiki kelemahan diri dari masa ke semasa. Daripada suka-suka, konten saya hasilkan itu bertambah baik. Tidak sekadar hiburan, saya turut menyelitkan unsur pendidikan dan pengajaran,” katanya.

Selain membawakan watak Kak Leha Bunting, Mohd. Nasrul turut membawakan watak kelakar lain yang diberi nama Nurse Puaka dan Sarabanon.

“Banyak isu semasa ingin saya kupaskan. Sebab itulah ada pelbagai watak saya cipta, bagi menghidupkan suasana humor atau estetika sesuatu konten,” katanya mengulas mengenai pelbagai watak ditampilkan.

Mohd. Nasrul kini sedang perlahan-lahan mahu menukar imej ke arah yang lebih matang iaitu ingin membawa imej ‘Faiz’ pula.

Jejaka ini turut gemar berkarya melalui lukisan.

“Daripada lukisan itu saya dapat menilai seni di sebalik kehidupan. Secara peribadi, saya sebenarnya seorang yang pendiam. Lain sangat daripada watak yang saya bawa di media sosial,” katanya.

SUMBER REZEKI
Bujang berusia 34 tahun ini turut mengakui bergelar influencer media sosial sedikit sebanyak telah mengubah kehidupannya.

“Alam maya sumber rezeki buat saya. Bermula sekadar hobi semata-mata hinggalah sebagai punca rezekinya,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai wartawan dan pensyarah di institut pengajian tempatan swasta.

Mengulas mengenai kenangan terindah sebagai influencer media sosial, ada beberapa pengalaman tidak boleh dilupakan.

Antaranya adalah apabila dapat duduk semeja dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berbincang mengenai masa depan media sosial.

Dia turut berpeluang membawa seramai 20 orang ahli keluarga ke Krabi, Thailand dan Bali, Indonesia hasil daripada titik peluh sebagai influencer.

“Sebenarnya saya tidak mahu dikenali sebagai seorang pempengaruh semata-mata. Saya mahu ekspresikan karya seni saya dalam bidang lakonan pula. Sebelum ini saya kurang yakin sedikit kerana berbadan besar, sekarang selepas berjaya mengurangkan berat badan saya ingin mencuba ceburi bidang dan peluang lain seperti pengacaraan dan lakonan,” katanya penuh yakin.

SYUKUR RAMAI FOLLOW
Perkara paling penting dan menjadi keutamaan seorang pempengaruh adalah menambah jumlah pengikut di akaun media sosial mereka.

Mohd. Nasrul sendiri memiliki jumlah pengikut yang ramai di media sosial iaitu Instagram (553,000), Facebook (3,300), Youtube (11,000) dan Tiktok seramai 48,000.

Yakin diikuti follower asli, kata Mohd Nasrul dia tidak percaya kepada membeli pengikut.

“Apa yang saya tahu, saya seronok dan gembira berkongsi tentang apa yang ingin saya sampaikan. Mungkin pengikut saya berminat dengan perkongsian tersebut hingga mereka mengikuti saya dari zaman saya bermula dulu hinggalah sekarang.

“Saya bersyukur dengan sokongan tanpa henti diberikan. Mereka saya gelarkan sebagai Village People iaitu komuniti yang sering memberi saya inspirasi. Mereka juga kekuatan untuk saya terus berkarya.

“Rapat hubungan kami hingga saya turut melakukan aktiviti bersama seperti main badminton, disc gold dan macam-macam lagi,” katanya.

Justeru Mohd. Nasrul mengingatkan orang ramai untuk tidak mengambil keputusan bergelar influencer semata-mata mahu meraih sumber pendapatan.

“Jika anda melihat kerjaya pempengaruh hanya sebagai sumber kewangan semata-mata, anda mungkin tidak dapat memberikan faedah kepada pengikut atau orang lain.

“Tapi jika anda melakukannya untuk berkongsi maklumat, pesanan dan sebagainya yang dapat memberikan faedah kepada orang yang melihat atau membacanya, ia adalah suatu rezekilumayan.

“Ini kerana anda melakukan sesuatu perkara yang dapat membantu orang lain dan menerima faedah dari konten yang dihasilkan,” katanya yang turut optimis pempengaruh boleh membantu dalam pembangunan masyarakat.

Mereka insan yang dapat mempengaruhi dan mendidik pengikut melalui karya yang dibuat melalui gambar dan video yang dikongsi.

“Penulisan kapsyen pun sebenarnya turut memainkan peranan dalam sosial media agar ia dapat memberikan impak positif kepala masyarakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya