KUALA LUMPUR: Muncul setahun sebelum era pandemik Covid-19, Tertib Publishing pantas mencuri perhatian dan rujukan ramai tidak kira di dalam atau luar negara.
Bercita-cita menjadi peneraju bahan bacaan Islamik, pengetahuan dan inspirasi dalam bahasa Inggeris, syarikat penerbitan buku ini optimis dengan apa dimulakan.
Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutifnya, Khairul Amar Razali, 35, berkata,sehingga kini sudah 51 judul buku diterbitkan merangkumi pecahan bacaan dewasa dan kanak-kanak.
Mempunyai latar belakang bidang pendidikan dalam ijazah sarjana di Universiti Malaya dan kini bergelar pelajar Doktor Falsafah (PhD) juga di dalam bidang yang sama, antara faktor kuat yang menjelaskan kesungguhannya untuk melebarkan empayar syarikat.
“Membaca itu jambatan ilmu. Ia teras yang sudah sebati dalam diri kita dari kecil sampai dewasa. Itu menjadi manifestasi utama apa yang saya usahakan ini.
“Cuma saya cuba melawan arus untuk menerbitkan bacaan dalam bahasa Inggeris. Pendek kata, saya nak jadi penerbit bahan bacaan Islamik berbahasa Inggeris yang dicari ramai.
“Lagipun penerbitan bacaan bahasa Melayu sudah banyak di pasaran,” katanya yang sebelum ini belajar dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat.
Kata Khairul Amar lagi, dia pada mulanya bimbang ketika pandemik menyerang, syarikatnya baru hendak bernafas.
“Ketika itu, ujian musibah ini meniup keresahan. Tapi siapa mampu menebak, permintaan bahan bacaan dikeluarkan mendapat permintaan tinggi. Daripada dua staf kini bertambah menjadi 13.
“Permintaan itu membuka ruang mengeksport buku ke luar negara termasuk Singapura, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan sebagainya.
“Ia membuka pintu ruang untuk meneroka pasaran luar. Tapi saya tak mahu terburu-buru. Biarlah dikukuhkan gelanggang tempatan dulu. Tapi jika ada kesempatan, cubalah sambil menyelam minum air,” katanya.

Bahan bacaan syarikat ini mendekati demografik generasi muda hingga awal 60-an.
“Kami bawakan penulis Islamik antarabangsa termasuklah nukilan penceramah motivasi terkenal seperti Yasmin Mogahed, Imam Dr. Omar Suleiman, Yahya Ibrahim. Bagaimanapun, kandungan lokal juga diutamakan.
“Termasuk kerjasama Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menerusi terbitan buku The 49th Rules, Muslim Astronauts in Space dan The Twins’ Space Mission.
“Malah kami menjalinkan kerjasama dengan jenama Telekung Siti Khadijah menghasilkan buku kanak-kanak seperti The Madrasah of Ramadan (Activity Book). Kami juga terbuka untuk menjalin kerjasama dengan figura terkenal tanah air contohnya Datuk Seri Siti Nurhaliza, untuk menerbitkan buku mengenai kembara seninya sebagai wanita Muslim sekiranya diberikan peluang,” katanya.
Sempena bulan Ramadan ini juga, syarikat itu menerbitkan buku edisi istimewa.
“Ia termasuklah jenama Nuh & Nuha diambil bersempena nama anak kembar saya menerusi penerbitan buku kanak-kanak seperti ‘A Remarkable Ramadan Sound Book’. Ia buku interaktif bersuara yang disokong dengan audio bacaan doa dan amalan di bulan mulia ini.
“Tak ketinggalan, Ramadan Therapy, What I Would Like For Ramadan, My Ramadan Journey Puzzle, dan banyak lagi.Tahun ini disasarkan, dalam empat kelima bacaan baru akan diterbitkan.
“Anggaran jualan produk sebulan kami raih pada Mac lalu contohnya mencecah RM200,000. Tahun ini kami sasarkan jualan sekitar RM3 juta. Insya-Allah. Selain itu, sistem ejen juga mula dilaksanakan,” katanya.
Tambah Khairul Amar, ada permintaan menterjemahkan buku laku keras, ‘A Juz A Day: Summary of the Qur’an’ daripada Yahya Ibrahim ke dalam bahasa Melayu.










