Penyelia kilang didakwa rasuah polis - Utusan Malaysia

Penyelia kilang didakwa rasuah polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penyelia kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah wang tunai RM18,500 kepada anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, awal tahun lalu.

Tertuduh, M. Dhivan, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memberi suatu suapan iaitu wang tunai RM18,500 kepada anggota polis Unit Rondaan dan Bermotosikal (URB) IPD Segamat.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas dirinya dan rakannya yang memiliki rekod lampau jenayah dan kesalahan memiliki dadah di Kilometer 1.89, Jalan Buloh Kasap-Segamat, Segamat pada pukul 4 pagi, 24 Januari tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Faizal Lisam Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, K. Nahtan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan serta menetapkan tarikh 5 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN