PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) terus komited dalam membangunkan bakat tempatan serta menyokong komuniti menerusi penganjuran lawatan industri untuk pelatih di fasilitinya dalam kawasan Automotive High-Tech Valley (AHTV).
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk memberi pendedahan praktikal kepada golongan muda Malaysia serta meningkatkan pemahaman mereka terhadap industri automotif.
Proton berkata, lawatan tersebut melibatkan seramai 35 bakat muda daripada GIATMARA Tanjung Malim yang terdiri daripada pelbagai latar belakang teknikal seperti teknologi automotif dan motosikal, selain pembaikan kenderaan serta kemasan cat.
“Dengan sebahagian peserta memulakan perjalanan kemahiran mereka seawal usia 15 tahun, program ini memberi peluang kepada bakal tenaga mahir melihat sendiri proses serta mutu kerja pembuatan moden di PROTON Tanjung Malim.
“Sepanjang program berlangsung, para pelatih dibawa melawat beberapa kawasan utama , di mana mereka berpeluang menyaksikan proses pemasangan kenderaan, standard kawalan kualiti serta penggunaan teknologi moden dalam operasi pengeluaran,” katanya dalam kenyataan.
Sesi berkenaan turut dikendalikan oleh Ketua Pereka Proton, Azlan Othman yang berkongsi pandangan mengenai kecemerlangan kreativiti dan teknikal yang memacu jenama Proton ke hadapan.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Proton, Dr Kasuma Satria Mat Jadi berkata, Proton melihat pembangunan bakat sebagai satu tanggungjawab jangka panjang.
Katanya, adalah penting untuk menarik minat generasi muda Malaysia serta mengekalkan minat mereka dalam bidang automotif dengan memberi pendedahan bermakna kepada industri.
“Melalui inisiatif seperti , kami bukan sahaja berkongsi pengetahuan industri, malah membantu bakat muda memahami landskap automotif yang sentiasa berkembang termasuk kemajuan dalam bidang elektrifikasi.
“Ini amat penting dalam membina saluran bakat berkemahiran tinggi yang bersedia menghadapi masa depan demi negara,” ujarnya.
Proton terus memperkukuh kerjasama antara industri dan institusi latihan, sekali gus meletakkan AHTV sebagai hab utama pembelajaran, inovasi dan pembangunan bakat.
Inisiatif ini menzahirkan komitmen syarikat dalam melahirkan generasi baharu tenaga mahir serta menyokong aspirasi Malaysia untuk memperkasa ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Seiring dengan usaha ini, Proton mengalu-alukan institusi pendidikan, para pelatih serta bakal jurutera dari seluruh negara untuk mengunjungi fasiliti di Tanjung Malim bagi merasai sendiri ketepatan pembuatan automotif moden, di samping memperoleh pendedahan berharga mengenai amalan industri, perkembangan teknologi serta pelbagai laluan kerjaya yang tersedia. – UTUSAN










