'Scammer'guna nama saya untuk yakinkan pelabur - Aaron Aziz - Utusan Malaysia

‘Scammer’guna nama saya untuk yakinkan pelabur – Aaron Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Aaron Aziz, tidak menolak bahawa golongan artis antara sasaran utama sindiket penipuan yang menggunakan nama dan reputasi selebriti bagi memperdaya individu yang berminat melabur dalam industri perfileman.

Menurut Aaron, dia pernah berhadapan dengan situasi di mana ada pihak mendakwa mempunyai hubungan atau kerjasama dengannya bagi meyakinkan pelabur untuk mengeluarkan dana, sedangkan tiada sebarang persetujuan atau perjanjian rasmi pernah dimeterai.

Katanya, situasi tersebut bukan perkara baharu malah pernah berlaku beberapa kali sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelabur.

“Baru-baru ini pun ada satu kes yang saya tidak mahu sebut siapa. Beberapa kali perkara seperti ini berlaku apabila ada pihak mengajak berjumpa kononnya mahu membincangkan projek besar. 

“Mereka bergambar dan membuat pelbagai perbincangan, tetapi selepas itu terus senyap. Tiba-tiba ada orang datang kepada saya dan berkata dia sudah melabur dalam projek saya. 

“Saya terkejut kerana saya sendiri tidak tahu-menahu mengenai perkara itu. Apabila ditunjukkan bukti, rupa-rupanya ada pihak menggunakan pertemuan dan gambar yang diambil bersama saya untuk meyakinkan pelabur bahawa saya sudah bersetuju dengan projek berkenaan, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya.

Aaron berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran dan Tayangan Perdana drama Bidadari Tanpa Syurga terbitan Viu di ibu negara, semalam.

Mengulas lanjut, pelakon filem KL Gangster itu berkata tindakan segelintir individu menggunakan nama artis untuk mendapatkan dana bukan sahaja merugikan pelabur, malah memberi kesan kepada perkembangan industri kreatif secara keseluruhan.

“Orang itu menggunakan nama saya sebagai alat untuk mendapatkan kepercayaan. Dia kononnya memberitahu pelabur bahawa dia sudah berjumpa artis ini dan artis itu, lalu menggambarkan seolah-olah semuanya sudah dipersetujui.

“Masalahnya, apabila pelabur sering menjadi mangsa penipuan seperti ini, lama-kelamaan mereka akan hilang keyakinan untuk melabur dalam industri filem. 

“Akhirnya pihak yang benar-benar serius dan mempunyai projek yang baik juga akan terkesan kerana kepercayaan itu sudah hilang,” katanya.

Dalam masa sama, Aaron mengakui sukar untuk membendung kegiatan sedemikian memandangkan masih ada individu yang tergamak mengambil kesempatan demi keuntungan peribadi tanpa memikirkan implikasi terhadap orang lain.

“Memang susah untuk membendung perkara ini. Saya rasa sekarang ada manusia yang sudah tidak memikirkan soal dosa dan pahala. Mereka hanya fikir bagaimana hendak mendapatkan keuntungan tanpa mempedulikan kesan kepada orang lain.

“Disebabkan itu, kes seperti ini terus berlaku dan kita sendiri sukar mengawalnya kerana pelbagai cara digunakan untuk memperdayakan mangsa,” ujarnya.

Selain itu, Aaron turut mendedahkan terdapat kes terbaharu melibatkan pihak yang didakwa menjual namanya kepada pelabur walaupun rundingan sebenar masih berada pada peringkat awal.

“Semalam pun ada satu kes apabila staf saya menghubungi dan bertanya kenapa nama saya digunakan. Saya sendiri terkejut kerana tidak pernah membuat sebarang perjanjian. 

“Kami kemudian menghubungi pelabur terbabit dan menjelaskan bahawa tiada sebarang urusan dimeterai.

“Apa yang berlaku hanyalah sesi perundingan dan perkenalan awal. Namun, ada pihak yang menggambarkan kepada pelabur bahawa rundingan itu sudah selesai dan persetujuan telah dicapai. Itu yang menjadi masalah,” katanya.

Mengulas mengenai lambakan syarikat produksi baharu dalam industri, Aaron berkata keadaan itu turut menyukarkan artis untuk membezakan pihak yang benar-benar serius dengan mereka yang mempunyai niat sebaliknya.

“Sekarang ini terlalu banyak syarikat produksi baharu muncul. Ada yang benar-benar profesional dan serius mahu menghasilkan karya, tetapi ada juga yang kita tidak pasti latar belakangnya.

“Kita sebagai artis akan bertemu ramai orang, termasuk pelanggan dan bakal rakan kerjasama. Itu perkara biasa dalam urusan kerja.

“Namun, sama ada seseorang itu benar-benar ikhlas atau mempunyai niat untuk menipu, perkara itu sukar untuk diketahui sejak awal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN