Perjuangan 25 tahun Saujana - Utusan Malaysia

Perjuangan 25 tahun Saujana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

25 tahun lalu, tertubuhnya sebuah kumpulan yang mencipta fenomena. Ketika itu, kegemilangan muzik nasyid memuncak-muncak dengan kehadiran nama-nama besar seperti Raihan, Rabbani, Brothers dan Hijjaz.

Saujana, tampil membawa perjuangan yang sama, menyebar dakwah dan kebaikan kepada masyarakat menerusi lagu nasyid dan kerohanian.

Kumpulan ini pada awal dianggotai lima anak muda yang masih bersekolah. Namun disebabkan keinginan yang mendalam, mereka berkorban, menghabiskan usia muda untuk pelajaran dan nasyid yang terlalu mereka diminati.

Ternyata percaturan bukan sia-sia, kehadiran Saujana mewarnai industri seni mencetus gelombang, bukan sahaja dalam dunia nasyid malah pentas hiburan tempatan dan negara jiran secara keseluruhannya.

Nama Saujana mengharum. Populariti mereka meledak dengan lagu seperti Sepohon Kayu, Keluarga Bahagia, Suci Sekeping Hati dan banyak lagi.

Jualan album laris di pasaran dan pelbagai penganugerahan dirangkul. Hasil kejayaan itu meletakkan Saujana berdiri sama tinggi dengan kumpulan-kumpulan nasyid yang lebih senior dan lebih awal menempa nama.

Pada 16 April lalu menjadi tanggal bersejarah sementelah buat kesekian kalinya kesemua anggota kumpulan ini, yang baru dan lama, bergabung menjayakan persembahan istimewa bersempena bulan Ramadan di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA, Sepang.

Bagai mengubat rindu peminat, Saujana tampil mempersembahkan beberapa lagu, tidak ketinggalan Sepohon Kayu dan Sekeping Hati menghiburkan penonton yang pada ketika itu sedang menikmati juadah berbuka.

Dalam pertemuan pada malam yang sama, saya berpeluang untuk duduk semeja dengan kesemua anggota kumpulan ini, mengenali mereka secara lebih dekat.

Pelbagai cerita menarik yang dikongsikan, kebanyakannya berkisar kenangan silam sewaktu zaman kegemilangan mereka sekitar 90-an dan awal tahun 2000 dahulu.

Menurut salah seorang anggota, Mohd. Suffian Amrin, ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan lima ahli asal Saujana sudah terjalin lebih lama, sewaktu mereka menuntut di sekolah sama.

“Kami berlima adalah penuntut sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang. Sudah lama bersahabat dan saling kenal hati budi masing-masing.

“Sejak bersekolah lagi, kami menerima banyak undangan membuat persembahan. Bayangkan pada ketika itu, ada juga bayaran persembahan yang kami lepaskan,” katanya.

Bercerita mengenai asal nama Saujana, Azalinor Abdul Rahman memberitahu pada awal, mereka tercari-cari sebuah nama yang memiliki ciri kemelayuan.

Katanya, pada ketika itu, mereka ingin tampil berbeza dengan kebanyakan kumpulan nasyid yang pada saat itu, yang mana hadir dengan nama dalam bahasa Arab dan Inggeris.

“Kami ingin dikenali dengan nama yang menggunakan perkataan Melayu. Pada waktu itu, tidak banyak kumpulan nasyid yang tampil dengan nama Melayu.

“Kita ada Raihan, Rabbani dan Hijjaz yang memiliki nama kumpulan daripada perkataan Arab. Juga Brothers yang menggunakan perkataan daripada bahasa Inggeris.

“Kebetulan pula, bandar Saujana Impian, Kajang pada ketika itu baru dibangunkan. Kami rujuk kepada guru, kaji perkataan Saujana dan membuat penelitian menggunakan kamus. Kami tertarik pada maksudnya yang diertikan sebagai luas terbentang, seindah pandangan mata. Yang penting, belum ada kumpulan yang menggunakan nama tersebut,” jelasnya.

 

Tuah Sepohon Kayu

Tidak dinafikan, Sepohon Kayu menjadi antara lagu paling popular yang sehingga ke hari ini masih dinyanyikan dan dijadikan bahan ‘mengusik’ rakan yang mengabaikan solat.

Penangan lagu ‘berhantu’ itu terlalu kuat sehinggakan ia menjadi siulan bukan sahaja peminat di Malaysia, malah negara luar termasuk Singapura, Indonesia dan Brunei.

Disoal tentang kekuataan lagu tersebut, vokalis utama, Dr. Khairul Idzu Baharin berpandangan lirik dan melodi yang sederhana mungkin sekali menjadi penarik kepada lagu berkenaan.

“Melodi yang berulang serta lirik yang tidak berkias. Dan lagu berkenaan tidaklah terlalu berbunga-bunga.

“Pada masa sama, dahulu, video muziknya sering ditayang berulang-ulang di televisyen. Itu pada saya melonjakkan lagi populariti lagu berkenaan,” jawabnya ringkas.

Dalam pada itu Azalinor memberitahu mereka sehingga hari ini, tidak menemui jawapan siapa gerangan pemilik asal lagu tersebut.

“Sepohon Kayu merupakan lagu lama yang pada awalnya berasal dari Indonesia dan dinyanyikan semula oleh Saujana.

“Kami tak tahu siapa yang pencipta dan pemilik asal lagu tersebut. Sehingga kini masih menjadi misteri.

“Belum ada seorang pun yang tampil mengaku lagu tersebut adalah kepunyaan mereka,” kongsinya.

 

Sambutan luar biasa jualan album

Saujana boleh dikategorikan antara kumpulan nasyid yang berjaya dengan rekod jualan album mencecah sehingga ratusan ribu.

Menurut Suffian, album Saujana bukan sahaja laris terjual dalam negara, malah turut menerima sambutan menggalakkan di Indonesia.

“Jualan album pada ketika itu tidak menghampakan. Kami, satu ketika dahulu pernah menerima anugerah emas dan platinum untuk rekod jualan di Malaysia.

“Namun, lebih membanggakan lagi apabila album kami, Lima Bintang berjaya menembusi pasaran Indonesia dan mencatat jualan album yang sangat tinggi di sana. Album tersebut menjadi album pertama kami di sana,” jelasnya.

Kata Azalinor pula, peminat di Indonesia cukup menyukai lagu Suci Sekeping Hati yang diterbitkan menerusi album ketiga mereka, Kembara Cinta.

“Suci Sekeping Hati menjadi lagu kami paling popular di Indonesia berbanding Keluarga Bahagia dan Sepohon Kayu.

“Lagu tersebut dianggap sebagai identiti nasyid di Indonesia yang menjadi siulan ramai. Kalau di Malaysia, lagu Sepohon Kayu menjadi fenomena. Di Indonesia, Suci Sekeping Hati menerima sambutan cukup luar biasa,” terangnya.

Kegilaan peminat Indonesia

Bercerita mengenai pengalaman berhadapan peminat fanatik, ada kisah menarik yang dikongsikan ahli Saujana yang mungkin tidak pernah diceritakan sebelum ini.

Antaranya, pengalaman membuat persembahan di hadapan ratusan ribu peminat di Indonesia yang amat menggemari lagu-lagu Saujana.

“Kami pernah diundang untuk menjayakan persembahan di Bandung bersama pendakwah dan penyanyi terkenal, Aa Gym atau Abdullah Gymnastiar yang berlangsung selama tujuh jam.

“Jumlah penonton yang datang ketika itu tidak disangka-sangka. Kira-kira sekitar 200,000 penonton.

“Sambutan di Jakarta juga tidak kurang hebatnya. Ketika diundang membuat persembahan di Senayan, van yang kami naiki bergegar-gegar merempuh orang. Sambutan di sana memang luar biasa,” jelasnya.

Kata Suffian lagi, mereka juga pernah menyaksikan peminat tiba-tiba jatuh pengsan dan histeria gara-gara terlalu taksub dengan kehadiran mereka.

“Waktu itu pelbagai telatah peminat dapat kami saksikan termasuklah yang jatuh pengsan pun ada,” ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN