Sejujurnya, perasaan ini merasakan ada gementarnya apabila pertama kali bersua empat mata sendiri bersama figura seni tanah air yang cukup disegani dalam industri tempatan.
Tidak perlu diperkenalkan lagi penyanyi dan pelakon terkenal ini. Cukup sinonim dengan gaya kening terangkat dan kehebatan vokalnya.
Mengenali wanita ini, dia seorang yang cukup berjiwa hamba. Sifatnya sangat merendah diri dengan peminatnya. Itulah resmi hidup pemilik sepotong nama, Ziana Zain.
Tiga dekad dalam industri, rasanya ini adalah kali pertama penyanyi lagu terkenal Madah Berhelah ini bersuara, selepas ada si polan ini secara tiba-tiba memetik nama adik kesayangannya yang juga penyanyi hebat, Anuar Zain.
Sudahlah tidak mengenali luar dan dalam adiknya itu, dilontar pula fitnah yang menyatakan adiknya menyukai sesama sejenis sehingga dia terpaksa bersuara di ruangan komen dek terlalu geram.
Melayangkan pertanyaan mengenai perkara itu, jelas dalam renungan matanya ada tersimpannya rasa kecewa serta geram. Dan akhirnya dia lepaskan.
“Jangan sentuh keluarga saya! Itu dia. Maksud komen ‘jangan biadab’ saya itu adalah jangan sentuh keluarga saya. Anda tidak tahu siapa mereka, jangan suka hati menyatakan perkara itu.
“Lihat diri awak sendiri macam mana. Awak tidak tahu apa yang awak buat sekarang ini akan menjadi kifarah kepada anak-anak pula. Jangan main-main,” luahnya kepada Pancaindera.
Tidak terhenti di situ sahaja, penyanyi ini sempat menitipkan pesanan kasih sayang buat si polan itu agar sentiasa menjaga pertuturan ketika berbicara, lebih-lebih lagi jika perkara tersebut tidak benar.
“Kalau ada wang banyak sekali pun jika tingkah laku tidak sama dengan kehidupan dan gelaran yang ada, baik lucut sahaja.
“Disebabkan mulut anda, habis orang lain bercerita dan menambah dosa. Asal tidak kahwin sahaja suka hubungan sejenis. Sudah kenapa? Jika memang jodohnya belum sampai seru, kau nak kata apa?
“Mungkin Allah sudah cakap kehidupan seseorang itu untuk menjaga ibu bapanya. Mana tahu kan. Jangan sedap berkata,” tuturnya lagi.
Saya pilih untuk kuat, reda
Apabila dikenang semula kehidupannya bersama bekas suami, Armin Zaharin, terlalu banyak dugaan terpaksa dihadapi penyanyi ini.
Pahit harus ditelan, penyanyi lagu Putus Terpaksa sebelum ini pernah mendedahkan kehidupannya ketika berumah tangga ibarat hidup dalam neraka.
Seawal empat bulan perkahwinan, dia sudah menanggung penderaan mental. Pejam celik, 20 tahun dirinya bersabar mengharungi pelbagai onak duri perkahwinan.
Bagaimanapun, Ziana kini reda dengan segala ujian Allah terhadap dirinya dan enggan lagi menoleh belakang.
“Saya sudah memaafkan dia, anak-anak pula terima dengan seadanya. Saya selalu menitipkan pesanan buat mereka sehingga kini. Sudah telefon ayah? Sudah ucap ulang tahun ayah? Tanya khabar ayah dan jangan lupakan dia.
“Solat pun jangan lupa sedekahkan al-Fatihah buat ayah. Tiada ayah, tiada awak. Apa yang lepas, biarlah berlalu. Anak-anak pun memahami. Itu lebih membahagiakan.
“Saya tidak mahu mendidik anak-anak menjadi pendendam. Tidak baik untuk jiwa. Jadi, kita sudah tidak fikir perkara itu lagi. Syukur Alhamdulillah, kini kehidupan saya lapang,” tuturnya.
Jauh di sudut hati, saya amat kagum dengan wanita besi ini. Membesarkan anak-anaknya dengan baik tanpa mengajar erti dendam terhadap bapanya.
Bagi wanita di tangga usia 53 tahun ini, segala cabaran yang pernah dihadapi sebelum ini membuatkan dirinya lebih matang dan kuat.
“Saya pernah melihat rumah seperti neraka, tetapi kini tidak lagi. Apabila saya melaluinya macam ini, Allah mencuit saya. Saya dalam radar-Nya. Dia perhati sahaja saya. Dia cuit itu sedikit sahaja, ‘kau tahan ke tidak’.
“Saya ingin hidup dengan bahagia, apa yang baik-baik dari peristiwa lepas saya ambil. Cukup. Kita sudah selama-lamanya seperti itu, kini buka bab baharu. Teruskan, tiada dendam,” katanya lagi.
Bukanlah seorang yang gemar menyimpan dendam, baginya segala apa yang berlaku selama ini biarlah berlalu pergi. Reda dan tenang, itulah punca kebahagiaan penyanyi ini dalam meneruskan hari-harinya.
“Kalau dia berada di depan saya sekali pun, I’m fine. Bagi saya apa yang lepas biarlah berlalu. Perlu ingat, setiap manusia, Allah memberi diari dalam hidupnya.
“Kenangan itu masih ada, otak kita seperti kamera. Ia akan ada sahaja tetapi saya fikir satu sahaja, hidup ini bukan setiap hari Allah beri bahagia, ia akan berombak juga. Jika awak tidak kuat, awak akan tenggelam. Kalau kuat, awak sampai ke hujung.
“Mana satu awak pilih? Saya memilih untuk menjadi kuat. Saya ketua dalam keluarga sekarang. Saya perlu kuat. Saya tidak boleh biarkan anak-anak melihat kelemahan kerana mereka berharap kepada kita. Tiada menguatkan saya selain berzikir. Saya berzikir untuk tenang,” kongsinya.
Saya rasa sangat dihargai
“Saya rasa dihargai dalam industri terutama daripada peminat, media hiburan, media cetak dan stesen televisyen. Saya rasa sangat-sangat dihargai.”
Itulah serangkap ayat yang diluahkan seorang penyanyi legenda ini tatkala ditanya adakah dia merasakan pohon seni yang mula dibenih berdekad lamanya dihargai dan disayangi.
Tidak henti-henti menuturkan perkataan syukur dalam baris ayat, Ziana tahu dirinya masih relevan dalam industri tanah air sehingga hari ini.
“Saya bermula pada tahun 1990. Saya masih di sini. Kadang kala saya terfikir, lamanya saya bekerja dan masih menyanyi lagi.
“Apabila mereka menerima kita dengan seadanya, syukur dengan nikmat. Mak dan abah berkata, ‘Nak, selagi pandai membawa diri, selagi pandai bercakap, Insya-Allah. Jangan iri hati dan sombong’,” katanya.
Tidak mengenali erti penat lelah dan putus asa, tidak terbayang seandainya dia bersara dan hanya tinggal di dalam rumah tanpa melakukan kerja-kerja seni yang sudah lama sebati dengan nalurinya.
“Seni ini bagi saya seperti satu kehidupan. Bila tidak kerja, tidak berlakon mahupun menyanyi dan hanya duduk di rumah, saya tidak boleh. Ia seperti enjin yang tidak berhenti, sentiasa bergerak.
“Bila jiwa kita sentiasa bergerak, kerja lain turut bergerak. Saya tidak boleh bayangkan jika tidak menyanyi lagi dan hanya duduk di dalam rumah 24 jam,” katanya.










