Tiada undang-undang saman pasangan curang - Utusan Malaysia

Tiada undang-undang saman pasangan curang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK ada undang-undang untuk yang beragama Islam dakwa pasangan curang. Malah tiada saman atau tuntutan ganti rugi perkahwinan yang khusus boleh dibuat di Mahkamah Syariah disebabkan pasangan berlaku curang.

Sebaliknya bagi pasangan bukan Islam tuntutan boleh dilakukan melalui Undang-Undang Tort iaitu saman atau ganti rugi perkahwinan disebabkan curang dan sebagainya di Mahkamah Sivil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Syarie, Mohd. Ridhwan Husin berkata, memang tiada undang-undang menjatuhkan hukuman penjara atau denda kepada pasangan suami isteri yang curang di Mahkamah Syariah.

“Tidak ada undang-undang agama Islam dakwa pasangan curang. Memang tiada undang-undang saman atau untuk membuat tuntutan ganti rugi sekiranya pasangan suami atau isteri curang di Mahkamah Syariah.

“Tetapi hanya terdapat ganti rugi putus tunang, mutaah (pemberian atau sagu hati daripada suami kepada isteri diceraikan) dan nafkah tertunggak sahaja boleh dibuat di Mahkamah Syariah. Itu sahaja ganti rugi atau tuntutan yang boleh dibuat.

“Dalam beberapa keadaan, curang selalunya bawa kepada perceraian, ganti rugi perceraian itu tidak disebut sebagai ganti rugi. Isteri berhak dapat mutaah manakala suami boleh memfailkan isteri itu nusyuz. Itu sahaja. Tiada undang-undang saman dan sebagainya walaupun pasangan berlaku curang,” katanya.

Beliau memberi maklum balas berhubung artikel ‘bala video lucah, dorong suami curang’ yang disiarkan akhbar ini baru-baru ini.

ALASAN SUAMI

Jelasnya, isu lelaki selalu menggunakan kuasa untuk berpoligami dengan berlaku curang adalah bagi menggunakan alasan itu memohon poligami di mahkamah dan akan menyatakan hubungan dia sudah terlalu rapat dengan kekasih.

“Suami atau lelaki sedar yang mereka ada kuasa untuk poligami sedangkan dalam Islam tidak pernah menghalalkan curang itu untuk berpoligami.

“Bagaimanapun, sekiranya kecurangan berlaku dan disabitkan melalui kes jenayah syariah seperti khalwat atau persetubuhan haram, hal ini menjadi satu fakta isu yang kukuh untuk digunakan oleh isteri yang dicurangi untuk memohon mutaah ataupun suami yang dicurangi untuk memohon pengisytiharan nusyuz serta hak jagaan anak bagi pihak yang curang boleh digugurkan kerana berperangai keji dan tidak senonoh. Namun untuk mendapat ganti rugi akibat kecurangan, tiada undang-undang diperuntukkan.

“Tetapi, sekiranya berzina atau bersekedudukan, suami atau isteri yang curang boleh didakwa di bawah jenayah syariah. Suami atau isteri yang dicurangi itu boleh buat aduan kepada jabatan agama,” katanya.

KELEMAHAN MAHKAMAH
Akui Mohd. Ridhwan, terdapat kelemahan Institusi Mahkamah Syariah yang mana bidang kuasa mahkamah itu begitu rendah sehingga masyarakat hanya memandang sebelah mata.

“Kecurangan perlu dijadikan satu jenayah matrimoni (rumah tangga) sebab itu antara tuntutan keharmonian kekeluargaan dalam Islam dan masyarakat.

“Mahkamah Syariah hari ini mengambil pendekatan yang lembut. Jika menjatuhkan hukuman penjara sebagai contohnya, hanya dalam tempoh tiga hingga tujuh hari. Tuntutan nafkah juga lambat mahu dikuatkuasakan. Sebab itu lelaki ‘naik tocang’. Yang menjadi mangsa isteri dan anak-anak,” katanya.

Beliau juga bersetuju sekiranya dapat meletakkan Mahkamah Syariah di peringkat yang tinggi setaraf dengan Mahkamah Sivil.

“Perlu menaikkan taraf perjawatan pegawai syarie setaraf sivil dan banyakkan post pegawai undang-undang syariah serta meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad seperti Rang Undang-Undang (RUU) 355,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kecurangan ini perlu dijadikan satu jenayah syariah kerana rata-rata perceraian, secara rationya tujuh daripada 10 kes perceraian pasti mempunyai campur tangan pihak yang ada hubungan sulit dengan pihak lain kerana penyalahgunaan aplikasi teknologi maklumat yang semakin berleluasa.

Beliau tidak menafikan, kebanyakan kes-kes yang tertunggak lama juga disebabkan pegawai undang-undang syariah terhad dan tiada hakim gantian selepas setahun ditukarkan sehingga menyebabkan banyak kes tertangguh.

‘Tiada undang-undang atau peruntukan ganti rugi’

Sementara itu, Peguam, Nurul Hafidzah Hassan berkata, undang-undang hanya menyebelahi pasangan bukan Islam di bawah Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 iaitu orang yang menjadi pihak ketiga boleh disaman sekiranya menyebabkan keretakan rumah tangga untuk mendapatkan ganti rugi.

“Namun tiada peruntukan serupa untuk pasangan beragama Islam. Ini yang memberi masalah kepada pasangan yang beragama Islam. Apabila tiada undang-undang atau peruntukan ganti rugi ini maka akan menimbulkan lambakan kes-kes seperti ini dan menyebabkan tiada sesiapa yang takut untuk berlaku curang.

“Malah tiada undang-undang khusus terutama kepada pasangan beragama Islam untuk saman atau menuntut ganti rugi terhadap suami atau isteri akibat perbuatan curang di bawah Mahkamah Syariah,” katanya.

Tambahnya, terdapat akta bagi pasangan yang curang boleh didakwa mengikut Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Pahang kerana mengganggu rumah tangga orang lain namun akta tersebut hanya terpakai di Pahang yang tidak menyeluruh kepada seluruh negara.

“Jika disabitkan kesalahan mengganggu rumah tangga orang lain dan mengabaikan tanggungjawab, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya dan mahkamah boleh memerintahkan lelaki atau perempuan itu supaya kembali kepada isteri atau suaminya,” katanya.

Di negeri lain, ujar Nurul Hafidzah, suami atau isteri boleh saman orang atau pihak ketiga iaitu mana-mana mentua, adik-beradik, ipar duai atau rakan yang mengganggu keharmonian atau mencetuskan keretakan rumah tangga berdepan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya.

“Perkara itu diperuntukkan di bawah Seksyen 37 (menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri) dan Seksyen 38 (menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dengan menetapkan kesalahan kehadiran orang ketiga yang merangkumi kaum keluarga.

“Manakala Seksyen 34 (menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 dan Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah. Bagaimanapun tiada undang-undang memperuntukan bagi wanita yang membuat lari suami orang lain,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kes-kes yang boleh didakwa di Mahkamah Syariah namun jika laporan dibuat tidak mempunyai bukti kukuh dan sebagainya maka pasangan berlaku curang tidak akan didakwa dan terlepas daripada hukuman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×