Isteri masih emosi, adakala menangis dalam bilik air teringatkan arwah anak - Azmi Saat - Utusan Malaysia

Isteri masih emosi, adakala menangis dalam bilik air teringatkan arwah anak – Azmi Saat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG : Vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat, 35, mendedahkan, sehingga kini dia dan isteri, Nazira Muhammad,36, masih terkenangkan arwah anak mereka yang sempat dipinjamkan Tuhan seminggu cuma.

Menurut Azmi, walaupun sudah menerima ketentuan takdir dari Yang Maha Esa, namun adakala sebagai manusia biasa, mereka juga tidak mampu menahan perasaan sedih dan emosi yang datang menyinggah.

“Saya paling kasihankan isteri.Ada ketika bila emosi sedih itu datang, tiba-tiba saya dengar dia menangis di bilik air. Tak ada apa yang boleh saya katakan lagi melainkan sabar.

“Sampaikan dia tak boleh dah nak dengar perkataan sabar itu. Tapi saya alan tetap tenangkan dia dan peluk dirinya,” katanya.

Azmi berkata demikian semasa di temui pada sidang media Raikan Ramadan Yayasan Maghfirah yang diadakan di sini, hari ini.

Kehadiran Azmi pada majlis tersebut adalah sebagai duta kempen berkenaan bagi tujuan mengumpul dana sumbangan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

Selain itu, kata Azmi, isterinya juga adakala akan terkenang arwah anak apabila melihat mana-mana bayi atau anak kecil di depan mata atau di media sosial.

“Dengar suara anak orang pun adakala dia akan sebut, alangkah seronoknya kalau ada anak. Ada terbaca kisah anak orang yang meninggal dunia di Facebook atau di media sosial, dia akan rasa termotivasi sekejap.

“Begitulah keadaan dia. Maklum sajalah, sejak 10 tahun berumah tangga ini, kami jarang ada masalah besar. Kehilangan anak ini adalah yang paling besar ujian kami hadapi,” katanya.

Dalam pada itu, kata Azmi, dia dan isteri bagaimanapun tidak pernah berputus asa untuk terus berusaha mendapatkan zuriat sendiri dan meletakkan kepercayaan kepada Allah SWT.

Pun begitu, ditanya mengenai hasrat mereka untuk mendapatkan cahaya mata menggunakan kaedah rawatan persenyawaan Invitro (IVF), Azmi berkata, dia mungkin akan mempertimbangkan perkara tersebut.

“Tetapi bukanlah pada masa sekarang. Pada masa akan datang, ya mungkin. Saya pun pernah juga tanya isteri jika nak ambil anak angkat.

“Tapi dia kata belum bersedia. Dia nak cuba juga dapatkan zuriat sendiri. Kalau ambil anak angkat, kemudian dikurniakan zuriat sendiri, bimbang tak dapat bahagi kasih sayang dengan sempurna,”katanya.

Untuk info, Azmi mendirikan rumahtangga dengan Nazira, seorang penjawat awam yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan pada 2011.

Setelah lama menanti, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Khairul Afnan pada 27 September lalu.

Bagaimanapun, selepas seminggu, permata hati mereka itu kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat kegagalan fungsi otak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya