Sejak berkurun lalu, tumbuhan memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia.
Ia bukan hanya sebahagian daripada sumber makanan, malah jenis tumbuhan herba menjadi asas perubatan tradisional bagi kebanyakan orang dahulu kala.
Budaya sesebuah etnik atau masyarakat serta taburan tumbuhan semula jadi telah mewujudkan perubatan tradisional yang khususnya dipengaruhi oleh teori, pengalaman dan kepercayaan masyarakat setempat.
Namun, biarpun dunia sudah menginjak era kemodenan, tetap saja ada komuniti yang masih mengamalkan perubatan tradisional berasaskan herba sehingga kini.
Di Asia contohnya, terdapat komuniti yang masih bergantung kepada ubat tradisional sebagai sumber rawatan utama.
Menyedari itu, Jabatan Sains Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) menjalankan satu kajian etnobotani bagi tujuan meneroka ilmu perubatan herba yang dipraktikkan oleh etnik-etnik pribumi bumi kenyalang itu.
KAJIAN ETNOBOTANI
Pensyarah kanan, Dr. Keeren Sundara Rajoo berkata, kajian etnobotani penting bagi mengekalkan kaedah perubatan alternatif itu daripada pupus memandangkan masyarakat kini lebih cenderung kepada perubatan moden.
Oleh itu katanya, kajian etnobotani adalah sangat penting, terutamanya di Sarawak yang mempunyai lebih daripada 40 kumpulan etnik yang cukup unik dari segi bahasa, budaya dan cara hidup.
“Etnobotani merupakan bidang saintifik yang mengkaji hubungan diantara tumbuhan di sesuatu rantau dengan kegunaan praktikalnya oleh orang tempatan, terutamanya dari segi perubatan.
“Lagi pun setakat ini tidak ada kajian etnobotani dijalankan mengenai etnik Kenyah. Namun, kajian ini akan diteruskan dengan menumpukan etnik-etnik sarawak yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kajian dijalankan bermula November 2021 itu dijangka memakan masa selama setahun. Hasil kajian seterusnya akan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa dan buku akademik untuk kegunaan umum.
Sebagai permulaan untuk kajian ini, Dr. Keeren bersama dua lagi rakan penyelidik, Dr. Ribka Alarsan dan Philip Lepun melawat dua kampung rumah panjang masyarakat Kenyah di Belaga, iaitu Kampung Uma Badeng dan Kampung Lebu Kulit.
Kajian etnobotani itu bertujuan untuk memahami dan merekod ilmu turun-temurun masyarakat Kenyah dalam perubatan herba.
Lebih daripada 20 pengamal ubatan tradisional telah ditemubual sekali gus, memberikan peluang kepada pasukan penyelidik untuk mendalami dunia perubatan tradisional masyarakat itu secara langsung.
Perlu kajian lebih saintifik
Tambah Dr. Keeren, Sarawak sememangnya diberkati dengan pelbagai biodiversiti tumbuhan yang membolehkan masyarakat setempat, termasuk masyarakat Kenyah menggunakan pelbagai jenis herba hutan dalam perubatan tradisi.
“Contohnya, akar penawar digunakan sebagai penawar segala jenis keracunan seperti keracunan makanan. Penggunaannya sangat mudah iaitu apabila seseorang mengalami keracunan, hanya perlu mengunyah sebahagian kecil akar penawar.
“Terdapat juga pengamal yang menggunakan wap-wap air rebusan akar penawar untuk melegakan selsema,” katanya lagi.
Selain itu, ada juga pengamal yang menggunakan air rebusan Keladi Kemoyang (Homalomena sagittifolia) untuk merawat demam panas, air rebusan daun Lemuni (Vitex trifolia) digunakan sebagai suplemen kesihatan, halia hitam (Kaempferia parviflora) digunakan sebagai rawatan penyakit jantung serta puluhan lagi rawatan tradisi yang menggunakan aneka herba hutan.
Bagaimana pun, tegasnya, penggunaan perubatan herba perlu melalui proses kajian saintifik untuk mengetahui tahap keberkesanan dan juga bahan-bahan aktif dalam herba tersebut.
Hal itu kerana terdapat pakar perubatan Malaysia yang menyatakan untuk berwaspada apabila menggunakan ubat berasaskan herba memandangkan penyalahgunaan ubatan herba boleh mempunyai kesan sampingan yang memudaratkan kesihatan.
“Rakyat Malaysia secara amnya gemar menggunakan ubatan herba komersial. Namun, harus mendapatkan nasihat pakar kerana penyalahgunaan ubatan herba dapat memudaratkan kesihatan.
“Pasukan penyelidik UPMKB akan meneruskan kajian etnobotani ini dengan menjalankan analisis untuk mengetahui kandungan ekstrak tumbuhan herba yang digunakan sebagai rawatan tradisi.
“Ini juga boleh menjadi asas untuk mengkomersialkan rawatan tradisional masyarakat Sarawak kerana penjanaan pendapatan daripada tanaman herba serta perubatan tradisional amat tinggi,” katanya.









