Kemudaratan yang berlaku akibat ketagihan arak atau alkohol bukan sesuatu yang baharu untuk diperkatakan.
Namun, ia semakin menjadi-jadi ketika ini dengan kemalangan melibatkan pemandu mabuk paling banyak berlaku.
Prihatin dengan isu itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) tampil dengan program Soal Jawab Tentang Islam bagi membincangkan mengenai hikmah hidup sihat tanpa arak.
Ahli Jawatankuasa Unit Dakwah dan Program Bukan Islam (PEACE), Ahmad Fadhlullah Hilmi Mohd. Fazilah berkata, kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal.
“Semua jenis minuman yang memabukkan akan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah seperti mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan dalam kalangan manusia, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.
“Lebih dahsyat lagi, kesan meminum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya,” katanya.
Program yang dijalankan secara dalam talian itu turut mengulas mengenai kesan alkohol terhadap tubuh badan manusia.
Tambah Ahmad Fadhlullah, minuman beralkohol mengandungi etanol iaitu sebatian yang tergolong dalam kumpulan dadah yang boleh menindas fungsi sistem saraf pusat serta boleh melambatkan tindak balas fizikal dan mental.
Etanol juga dadah yang boleh mendatangkan kebergantungan atau ketagihan jika diambil setiap hari.
“Apabila mabuk, seseorang itu akan hilang koordinasi gerak tubuh dan gangguan kepada pertimbangan dan kewarasan fikiran, akhirnya mereka boleh terjatuh, mengalami kemalangan, bergaduh, tercedera dan hilang ingatan. Ia merupakan komplikasi atau kesan kemudaratan jangka pendek berkaitan pengambilan minuman beralkohol.
Kemudaratan alkohol kepada sistem saraf dan otak (neuropsychiatry) merupakan kesan jangka panjang alkohol yang paling kerap dilaporkan di kalangan orang dewasa.
“Antara kesan alkohol kepada kesihatan mental ialah kecelaruan tingkahlaku dan fikiran, keresahan dan kebingungan, kekeliruan, hilang ingatan sementara atau kekal, kemurungan, kecenderungan untuk membunuh diri dan psikosis. Lantaran itulah Islam mengharamkan arak,” jelasnya.










