Siapa juara Gegar Vaganza 8? - Utusan Malaysia

Siapa juara Gegar Vaganza 8?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Finalis Gegar Vaganza musim lapan (GV8) kali ini menampilkan Alif Aziz, Aweera, Nikki Palikat, Adibah Noor, Suki Low dan Azzan Scan mara ke pusingan akhir, sekaligus memberi situasi sukar untuk kesemua juri menilai siapa yang layak menjuarai pertandingan itu.

Semua tahu, Alif mencipta rekod dua kali di kedudukan pertama dua minggu berturut-turut selain lima kali di kedudukan kedua, meletakkan penyanyi Amarah ini benar-benar berada di kedudukan selesa tanpa diganggu gugat penyanyi lain.

Sungguh pun penyanyi Sayang-Sayang ini terus konsisten, penulis tidaklah merasakan Alif begitu versatil memandangkan dia hanya menyampaikan lagu-lagu segenerasinya, kecuali lagu Jika Kau Rasa Getarnya (Slam) pada minggu empat, itu pun tuah tidak menyebelahi suami kepada Bella Astilah ini.

Sesuai dengan konsep GV itu sendiri, menuntut penyanyi menyanyikan lagu di luar zon selesa mereka. Jangkaan penulis cukup tinggi jika Alif diuji dengan lagu irama tradisional bukan bersifat hibrid, Melayu klasik atau paling tidak pun irama dangdut, sayangnya ia tidak berlaku.

Ternyata Shidee lebih berani, menyanyikan lagu-lagu merentas generasi, manakala Ani Maiyuni hampir merasa kesemua genre walaupun kedua-duanya terpaksa menerima takdir pentas akhir bukan untuk mereka.

Aweera, jika diperhati bukanlah antara penyanyi melakar kecemerlangan dan tidak pula tercorot, sedang-sedang sahaja. Bersandarkan rekod satu kali di kedudukan tiga, dua kali di tempat keempat dan pertama kali ‘juara’ minggu lalu, menunjukkan Aweera tidak perlu gementar setiap kali tiba proses penyingkiran.

Pun begitu, dia mencatat rekod 81.30 peratus minggu lalu menunjukkan ada sesuatu yang disembunyikan. Aweera dilihat menjadi ‘pembunuh senyap’ dan boleh sahaja menjadi pemenang jika kena percaturannya.

Nikki Palikat, tiada pertikaian lagi terhadap ‘peniup wisel’ ini kerana rekod setiap minggu membuktikan, penyanyi Caramu itu terus istiqamah dalam setiap persembahannya.

Bersandarkan kejayaan menyanyikan lagu Semalam (Aina Abdul, minggu tiga), Gelombang (Salamiah Hassan, minggu lima) dan Rindu (Hetty Koes Endang, minggu tujuh), Nikki antara yang layak menjadi juara. Cuma, benar kata guru vokal Syafinaz Selamat, menyanyi dalam nada tinggi sahaja tidak menjadikan seseorang penyanyi itu baik.

Adibah Noor berawal dengan kecemerlangan Terlalu Istimewa, Istana Menanti (Rahim Maarof), All I Ask (Adele) dan Jika (Melly Goeslaw), namun, grafnya menurun sejak menerima kritikan hebat ketika menyanyikan lagu Berdiri Bulu Romaku nyanyian Hetty yang susunan muziknya diubah 360 darjah.

Untuk menang, strategi Adibah perlu lebih tajam, bukan sekali dia memasuki pertandingan seperti ini. Dia bukan setakat penyanyi rakaman studio dengan dua album, Adibah adalah penyanyi pentas-pentas berprestij.

Seandainya Suki Low membuat kejutan dan mengulangi kejuaraan One In A Million pada 2006, penulis kira trofi juara juga sedang menantinya. Namun ia tidak semudah itu, lebih-lebih lagi apabila dia terpaksa beraksi dengan Nikki di pusingan battle nanti.

Kedudukan Azzan Scan setiap minggu tidaklah membanggakan kecuali dia berada di kedudukan empat pada minggu tujuh dan sembilan. Sekalipun dia dinobatkan sebagai juara, Azzan perlu lebih konsisten dalam industri, bukan setakat menang dan menghilang lagi.

Benar kata juri profesional, Datuk Ramli MS atau Tokram, mencari juara kali ini begitu sukar kerana sesiapa sahaja boleh memegang trofi emas GV itu. Bagaimanapun, jangkaan akan tetap menjadi jangkaan sehingga ia dibuktikan pada malam Ahad ini.

Infografik juara-juara Gegar Vaganza:

GV1: Ayai Ilusi
GV2: Siti Nordiana
GV3: Azharina Azhar
GV4: Aishah
GV5: Noryn Aziz
GV6: Naqiu dan Hady Mirza (juara bersama)
GV7: Cliff Umar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya