Gara-gara nikah Bangla - Utusan Malaysia

Gara-gara nikah Bangla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kata orang cinta itu buta. Bila cinta sudah bersarang di jiwa, terkadang fikiran pun jadi pendek. Hanya memikirkan keindahan tanpa mengendah masa depan yang panjang.

Demikian apa yang pernah dilalui oleh Suraya (bukan nama sebenar). Lantaran dipukul ombak cinta dengan warga asing, Rafik (bukan nama sebenar) warganegara Bangladesh, Suraya akhirnya menanggung akibat yang tidak pernah terfikir olehnya sebelum ini.

Semuanya bermula ketika Suraya dan Rafik bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang elektronik di Lembah Kelang.

Rafik mempunyai perwatakan yang agak menarik. Wajahnya yang ala-ala hindustan dan pandai mengambil hati telah berjaya memikat perasaan Suraya.

Lantas hubungan rakan sekerja akhirnya bertukar menjadi hubungan sepasang kekasih.

Walaupun ada rakan-rakannya yang cuba menasihati Suraya tentang risiko cinta mereka, tetapi ia tidak diendahkan.

Bagi Suraya hubungan mereka umpama ikan di laut, asam di darat, akhirnya bertemu jua di dalam belanga.

Suraya ketika itu sudah hanyut di lautan cinta tidak bertepi. Seluruh cinta yang ada di hatinya adalah milik Rafik.

Apatah lagi Rafik telah berjanji untuk menyuntingnya sebagai isteri dan sanggup terus bermastautin di negara ini.

Ini meyakinkan lagi Suraya sebab sebelum ini Rafik telah beberapa kali menyambung kontrak bekerja di kilang tersebut dan tidak pernah pulang ke negaranya.

Sepanjang mengenali Rafik, tidak pernah sesekali dia cuba mengambil kesempatan ke atas Suraya.

Bahkan, Rafik cukup mengambil berat tentang dirinya dan sentiasa ada untuk membantu ketika Suraya berdepan masalah.

Setelah hampir tiga tahun memadu cinta mereka sepakat untuk berkahwin. Hasrat tersebut telah Suraya suarakan kepada keluarganya.

Hasrat tersebut dibantah oleh keluarganya, tetapi Suraya berkeras untuk meneruskannya.

Suraya membawa Rafik berjumpa keluarganya bagi meyakinkan mereka tentang kesungguhan dan keikhlasan Rafik. Namun ibu bapa Suraya tetap membantah.

Buntu dengan tentangan keluarga, akhirnya mereka memilih untuk berkahwin di negara jiran tanpa pengetahuan keluarga Suraya.

Mereka dibawa memasuki negara jiran melalui ‘jalan tikus’. Waima sedikit bimbang kerana dia tidak pernah ke negara jiran, namun demi merealisasikan impian cinta mereka, Suraya nekad.

Semua bayaran kepada pihak yang menguruskan perkahwinan mereka ditanggung oleh Rafik. Ketika itu Suraya merasakan betapa besarnya pengorbanan yang Rafik lakukan demi cinta mereka.

Suraya sedikitpun tidak memikirkan risiko di kemudian hari. Suraya juga tidak terfikir apa yang bakal berlaku bila keluarganya mengetahui tentang perkahwinan mereka.

Bagi Suraya dia yakin semua itu kelak akan dapat diselesaikan. Suraya yakin ibu bapanya akan memahami dan menerima Rafik sebagai menantu mereka.

Lebih setahun Suraya merahsiakan perkahwinan mereka daripada keluarganya. Justeru dalam menjalani kehidupan sebagai suami isteri, mereka sentiasa berhati-hati agar Suraya tidak hamil.

Namun sebagai manusia biasa, mereka tidak dapat lari daripada sifat alpa. Setelah lebih setahun, akhirnya ia terbongkar jua apabila Suraya disahkan hamil.

Setelah keluarganya mengetahui perkahwinan mereka Suraya terpaksa berterus-terang. Ketika itulah buat kali pertama Suraya melihat air mata ibunya gugur disebabkan perbuatannya.

Pun begitu, sebagai orang tua mereka reda dan menasihati Suraya agar mendaftarkan perkahwinannya dengan Jabatan Agama Islam. Demi masa depan anak dalam kandungannya, ia harus disegerakan agar tidak timbul masalah di kemudian hari.

GAGAL DAFTAR PERKAHWINAN

Suraya dan Rafik akur. Mereka cuba mendaftarkan perkahwinan yang telah berusia hampir dua tahun tersebut.

Bagaimanapun usaha mereka berdepan masalah kerana ketiadaan bukti perjalanan yang menunjukkan mereka telah ke negara jiran untuk berkahwin.

Waima mereka mempunyai surat nikah daripada negara jiran namun ia tidak mencukupi.

Tindakan masuk ke negara jiran melalui ‘jalan tikus’ menyebabkan mereka gagal menunjukkan bukti telah pergi ke sana.

Ketiadaan dokumen perjalanan yang sah telah menyukarkan urusan mendaftar perkahwinan mereka.

Bulan berganti bulan, perut Suraya semakin membesar. Hinggalah akhirnya Suraya melahirkan anak, urusan mendaftarkan perkahwinan mereka masih tidak selesai.

Kegagalan mendaftarkan perkah­winan telah menyebabkan anak yang dilahirkan terpaksa didaftarkan sebagai anak tidak sah taraf.

Ketika itu baru Suraya terfikir dan hatinya mula disapa kesal. Namun Suraya terpaksa reda kerana semua itu berlaku dise­bab­kan kesilapan mereka sendiri.

Natijah perkahwinan mereka tidak berakhir setakat itu. Selepas setahun melahirkan anak, Rafik telah pulang ke negaranya. Rafik memberitahu Suraya dia terpaksa pulang kerana ibunya sakit tenat.

Rafik memberitahu Suraya, dia menjangkakan paling lama pun dalam tempoh sebulan dia akan kembali semula ke negara ini.

Pun begitu janji tinggal janji. Kini telah hampir empat tahun Rafik kembali ke negaranya. Sepanjang tempoh tersebut, Suraya tidak menerima sebarang khabar berita daripada Rafik.

Tinggallah Suraya bersama anaknya menantikan kepulangan insan yang entah masih hidup atau sebaliknya.

Demikian nasib Suraya. Suami entah ke mana sedangkan pada hakikatnya dia masih isteri orang.

Hendak menuntut fasakh pun tidak boleh kerana perkahwinan mereka tidak pernah didaftarkan. Kini hidup Suraya ibarat digantung tidak bertali.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. (al-Nisa’: 79)

  • Roslah Othman ialah bekas wartawan meja Keluarga, Utusan Malaysia. Kini terlibat aktiviti sosial dan Setiausaha Kelab Pesona Selangor.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya