Dia diva? Bagi saya Adibah Noor tak cerewet - Ezuwan Ismail - Utusan Malaysia

Dia diva? Bagi saya Adibah Noor tak cerewet – Ezuwan Ismail

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal yang turut berjinak jinak dalam dunia nyanyian, Ezuwan Ismail berkongsi cerita dan pengalamannya menyediakan busana untuk penyanyi Adibah Noor terjalin sejak lebih 10 tahun lalu.

Ezuwan menyifatkan pemilik suara yang menyertai peringkat separuh akhir pertandingan Gegar Vaganza (GV) musim kelapan Ahad ini sangat menyenangkan dan tidak cerewet.

Malah lucunya, Ezuwan berkata dalam tempoh sedekad itu boleh dibilang dengan jari saja pertemuan fizikal membabitkan mereka.

“Kali pertama jumpa dia masa tengah hoskan sebuah acara fesyen di pusat beli belah KLCC. Masa itu saya teman Allahyarham Kak Pah (Datuk Sharifah Aini) jadi ‘muse’. Dia tengok baju arwah pakai masa itu dan cakap berkenan. Tambah pula dia dan arwah bertubuh comel atau ‘plus size’.

“Selepas itu, dia pernah datang ke rumah saya untuk ukur ukuran bentuk badan. Masa itu saya belum ada butik lagi. Selebihnya aliran komunikasi kami berlangsung selepas itu hanya menerusi telefon bimbit atau bermesej di aplikasi WhatsApp,”katanya.

Selain itu, kata Ezuwan, dia juga cuma berjumpa beberapa kali sahaja dengan Adibah walaupun ketika itu sudah pun memiliki butik sendiri yang terletak di Taman Dagang, Ampang.

“Bayangkan sampai saya sudah ada butik sendiri pun dia tak pernah jejak. Selepas itu, adalah beberapa kali kami berjumpa untuk sesi ‘fitting’.

“Daripada dulu ukuran baju yang saya ambil kali pertama tak berubah ketara. Paling kurang pun dia akan cakap minta besarkan ukuran lebih seinci. Itupun boleh dikira berapa kali saja dia minta dibesarkan ukuran berkenaan,” katanya.

Tambah lelaki ini lagi, bermula daripada sekali menggunakan khidmatnya sebagai pereka fesyen, tempahan kemudian semakin banyak diterimanya daripada penyanyi tersebut.

“Dia hanya akan cakap nak warna baju itu ini dengan sejumlah tertentu. Perihal rekaan, semuanya dia serah bulat bulat dekat saya. Dia tak akan tanya atau nak tengok rekaan bagaimana saya hasilkan untuknya.

“Bab rekaan, material kain atau potongan, apa yang dia utamakan adalah keselesaan dan nampak elegan walapun berukuran plus size. Malah selama ini, memang baju dihantar dan ditempah dipakainya tanpa banyak songeh dan tidak perlu diubahsuai.

“Keserasian dan kepercayaan itu mungkin juga jadi sebab kami terus bekerjasama. Dia tidak takut mencuba warna apa sekalipun. Kalau sudah plus size, buat apa nak sorok lagi. Dia pakai apa yang diingini, janji selesa,”katanya.

Tidak cuma itu, kongsi Ezuwan lagi, penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu juga menolak untuk ditaja olehnya dan sering mengamalkan profesionalisme dengan cara membayar pakaian ditempah.

“Pernah saya nak taja baju untuknya. Tapi dia menolak sebab nak menyokong survival pereka fesyen seperti saya. Dulu terlintas hati nak taja masa dia mengacarakan Anugerah Industri Muzik. Dia tolak juga.

“Malah kalau sempena ulang tahun hari lahirnya, saya nak hadiahkan baju. Dia tetap dengan pendirian nak bayar.

“Atau paling kurang pun, dia hanya akan bersetuju bayar separuh kos baju itu macam komitmennya sepanjang di GV8. Siap tak berkira ‘tag’ nama saya di bawah entri baju dipakainya,” katanya yang turut menjadi pilihan selebriti seperti Rozita Che Wan, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nelydia Senrose, Uqasha Senrose dan ramai lagi.

Mengenang kembali persahabatan dan kerjasama mereka, Ezuwan teringat kata-kata seseorang yang pernah mengatakan bahawa betapa beruntungnya mana-mana pereka fesyen itu jika Adibah mempercayai khidmat dan bakat dimiliki.

“Masin mulut yang cakap itu. ‘Jodoh’ saya dengannya kuat sampai sekarang. Malah bukan nak bodek dia sebab guna khidmat saya. Tapi saya pernah dengar ada cakap dia diva dan cerewet. Namun sepanjang kerjasama kami, dia sangat ‘sempoi’ dan tidak seperti digambarkan.

“Pada akhirnya saya cuba berikan yang terbaik untuknya. Tambah pula, dia barangkali percaya bukan mudah untuk orang bertubuh gebu mendapat pakaian sesuai.

“Ini saya teruja nak siapkan pula baju separuh akhirnya untuk GV8. Kalau dia ada rezeki ke ‘final’, semestinya saya nak siapkan baju paling meletop untuknya,” katanya.

Selain Adibah, pentas separuh akhir GV8 turut menyaksikan Suki Low, Aliff Aziz, Aweera, Nikki Palikat, Azan Scan, Ani Mayuni dan Shidee bakal berentap sesama sendiri menempah tiket ke final.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya