MUKADIMAH
SEBELUM ini, terdapat beberapa pemimpin politik pernah meramalkan bahawa tiada parti mampu dominan atau menang majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan andaian itu termasuklah veteran UMNO, TAN SRI SHAHRIR SAMAD sendiri yang juga menyentuh masa depan partinya sendiri.
Shahrir pernah menjadi menteri Persekutuan dan Ahli Parlimen Johor Bahru untuk tempoh agak lama menjelaskan Barisan Nasional (BN) dan UMNO memerlukan masa untuk kembali kuat seperti mana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan perlu merangka strategi untuk kembali utuh selepas ditolak rakyat.
Kepada wartawan Mingguan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, ASLINDA NASIR, HAFIZ SAIDINA bersama jurugambar, M. FIRDAUS M. JOHARI dan juruvideo, KAMARUL KAMARUDIN, Shahrir juga melahirkan kebimbangan bahawa negara sudah ketandusan pemimpin.
MINGGUAN: UMNO kini berada pada landasan yang tepat?
SHAHRIR: Dalam keadaan sekarang, pilihan untuk UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah tepat untuk menambah kekuatan parti. UMNO berada dalam keadaan yang kita boleh menambah jumlah kerusi sama ada di negeri dan Parlimen kerana kita ada kerjasama dengan PKR, DAP dan juga Sarawak serta Sabah.
Kita tidak boleh sentuh kerusi DAP, begitu juga dengan PKR. Yang terbuka untuk kita bagi menambahkan kerusi adalah boleh bertanding di kerusi yang sekarang dipegang oleh Pas dan Bersatu. Kalau kita bersama dengan Pas dan Bersatu, mungkin kita tidak boleh bertanding langsung. Ini menyebabkan kita kekal dengan jumlah kerusi yang kita ada.
Jadi, pilihan yang ada di depan kita sekarang adalah sama ada memilih untuk kekal bersendirian, hanya memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan ataupun bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan dan turut memegang jawatan dalam kerajaan tersebut.
Dari segi praktikal, kita kena pilih jalan yang paling memberi manfaat kepada parti dan paling kurang membawa risiko atau masalah. Jadi, pilihan yang terbaik sekarang, kita bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan walaupun seteru suatu ketika dulu.
Maksudnya kerjasama dengan PH beri kebaikan pada UMNO?
Kita perlu terima kenyataan ini, kerana buat masa sekarang, kerjasama ini membawa lebih banyak manfaat kepada UMNO dan memberi kita ruang untuk menambah kekuatan.
Bagaimanapun, kita kena sedar kedudukan kita sekarang tidak semestinya akan terus menjadi lebih baik dalam masa terdekat. Untuk tambah kekuatan, kita mungkin perlukan lebih masa, mungkin bukan dalam pilihan raya yang akan datang, tetapi dalam pilihan raya seterusnya.
Apa yang UMNO perlu buat sekarang?
UMNO perlu bersabar dan merangka strategi. Buat pilihan raya yang terdekat ini, sasaran kita adalh tambah jumlah kerusi supaya UMNO boleh jadi sama kuat dengan DAP, PKR, dan Pas dari segi bilangan kerusi.
Sekarang ini, UMNO bukan parti dominan atau paling kuat dalam kerajaan. Tetapi yang penting, kita kena kekalkan kekuatan yang ada dulu. Selepas itu, kita ikut strategi langkah demi langkah.
Langkah pertama, kita tambah jumlah kerusi contohnya dari lebih 20 kerusi kepada lebih 40 kerusi supaya kita boleh jadi setara dengan parti lain dalam kerajaan. Selepas itu, barulah kita fikirkan langkah seterusnya.
Jika UMNO bersama dengan Pas dan Bersatu?
Keadaan UMNO tidak akan banyak berubah. Kita susah mahu tambah kekuatan atau dapat manfaat baru. Jadi, pilihan yang lebih munasabah dan lebih menguntungkan buat masa ini kekalkan kerjasama yang kita ada sekarang.
Bagaimana prestasi Menteri-Menteri UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan?
Pada keadaan hari ini, tiada siapa yang boleh menafikan pemimpin UMNO yang menjadi menteri adalah lebih baik dan berkesan berbanding pemimpin dari DAP dan PKR.
Ini kerana pemimpin UMNO ini dilatih dan diasah serta dibangunkan sifat kepimpinan itu melalui proses dari bawah mengikut peringkat, sedangkan pemimpin dari PKR dan DAP tidak mempunyai pengalaman dan sepatutnya DAP lebih pengalaman.
Sebagai contoh Lim Guan Eng yang pernah jadi Menteri Kewangan dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Bagaimanapun, ia tidak cukup dan tidak membawa kepada kematangan dan kebijaksanaan.
Pemimpin PKR tiada pengalaman. Jadi, bila jadi menteri, terus kelam kabut negara sehingga mahu letak jawatan pun perlu ambil cuti. Jadi, ia macam menjadikan jawatan politik ini seperti jawatan dalam syarikat yang perlu tempoh letak jawatan tiga bulan dan notis. Jadi, mereka seperti tidak ada kefahaman sebenarnya. Jika mahu letak jawatan letak sahajalah tidak perlu ambil cuti kerana itu jawatan politik.
Ini merugikan negara dan rakyat. Peluang Perdana Menteri untuk cari pengganti atau buat rombakan untuk membetulkan balik Kabinet tersekat kerana ada lagi menteri itu yang letak jawatan tapi minta cuti. Jadi, negara perlulah tunggu sampai habis cuti.
UMNO sekarang diterima kembali?
Selepas PRU ke-14, kita dapat melihat beberapa kejayaan dicapai satu demi satu. Namun, apabila tiba menjelang PRU ke-15, kita mula berdepan dengan pelbagai cabaran dalaman.
Antara yang paling ketara adalah perpecahan dari segi kefahaman serta pergaduhan antara parti-parti yang sepatutnya saling bekerjasama dalam gabungan seperti Muafakat Nasional.
Pergolakan inilah yang akhirnya memberi kesan besar kepada prestasi UMNO dalam PRU15. Namun begitu, selepas PRU15, dari masa ke masa terutamanya melalui beberapa siri pilihan raya kecil (PRK), kita dapat melihat perubahan yang positif.
Rakyat mula menunjukkan penerimaan semula terhadap UMNO. Kita tidak boleh ulang kesilapan lama. Apa yang penting sekarang, mesej yang kita perlu bawa kepada rakyat bahawa janji-janji untuk melakukan perubahan, menambah baik sistem pentadbiran itu semua perlu dilaksanakan, bukan sekadar kata-kata kosong.
Kita juga perlu kembali kepada prinsip perjuangan sederhana, inklusif, dan tidak ekstrem. Pendekatan kita perlu pragmatik menjangkau seluruh rakyat tanpa mengira kaum Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan seluruhnya.
Apa lagi yang UMNO perlu fokuskan?
Kita mesti bawa pendekatan yang menyatukan bukan memecah-belahkan. Rakyat tidak mahu janji kosong atau retorik yang terlalu ekstrem atas nama bangsa atau agama.
UMNO perlu bergerak solo?
Buat masa ini, belum ada keperluan UMNO bergerak solo. Kita juga perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan. Sekiranya PH atau mana-mana gabungan lain tidak lagi mahu bekerjasama dan jika kita benar-benar tidak dijemput ke meja rundingan, maka kita perlu terima keadaan itu dengan terbuka.
Jika kita perlu bertanding secara solo, kita akan lakukan dengan penuh strategi. Kita tidak perlu panik atau bertindak melulu. Kita susun langkah dengan teliti, kita kerja keras, dan kita manfaatkan segala sumber yang ada. Ini bukan sesuatu yang baharu bagi UMNO.
Kita pernah ada kekuatan, dan kekuatan itu telah terbukti dalam beberapa PRK baru-baru ini. Ia bukan cakap-cakap kosong tetapi fakta yang dapat dilihat dari sokongan rakyat.
Kali ini, kita tidak lagi boleh tampil sebagai parti yang mementingkan diri. Kita perlu buktikan kita parti yang matang, rasional dan munasabah. Bukan seperti dahulu bila rundingan dibuat, ada pihak yang tuntut kerusi lebih banyak daripada sepatutnya.
Kalau hendak bekerjasama, semua pihak kena berunding secara adil. Kalau tidak, lebih baik kita fokus perkuatkan diri sendiri. Jadi, andai kata akhirnya kita perlu bertanding secara solo maka kita akan bersedia untuk itu. Asalkan kita susun strategi dengan baik, kita tidak keterlaluan dalam tindakan, dan kita rancang setiap langkah dengan teliti.
HUBUNGAN UMNO DAN PAS
Komen Tan Sri mengenai Muafakat Nasional (MN)?
Beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) berlaku sewaktu PH memerintah antaranya Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai. Hancur habis sampai terburai Pakatan Harapan sehingga memaksa Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kawan-kawan beliau dalam Pakatan Harapan (PH) bergerak ke arah lebih Melayu. Sehingga wujudnya penganjuran Kongres Maruah Melayu.
Kesan UMNO bergerak bersama Pas dari Cameron Highlands walaupun tiada lagi MN ketika itu, tetapi kesannya memang hebat sehinggakan berlaku PRK Tanjung Piai, ada yang menganggap kerjasama UMNO dan Pas tidak wajar kerana calonnya dari MCA, tetapi sebaliknya berjaya.
Akhirnya, MN tidak terbawa sampai ke PRU-15. Di PRN Melaka, sudah mula nampak tanda-tanda kerjasama UMNO dan Pas tidak berjalan lancar. Bila masuk ke PRN Johor, keadaan menjadi lebih jelas apabila Pas mahukan lebih apa yang patut yang pada asalnya tiada sebarang kerusi di Johor. Pas meminta 14 kerusi. UMNO mahu bagi empat kerusi dan mereka boleh menang semua tapi
Pas tetap berkeras mahu 14 kerusi, walaupun tiada asas kuat bertanding di Johor.
Disebabkan tuntutan Pas itu, nampak macam Pas sengaja mahu menyukarkan atau tidak mahu MN diteruskan dalam bentuk kerjasama yang praktikal.
Jadi, Pas menyebabkan perpecahan?
Kita meletakkan harapan kepada MN untuk menyatukan kita semua. Malangnya, berlaku pergaduhan dalam perhimpunan mereka. Akhirnya, semua itu menjejaskan prestasi dan pencapaian kita dalam PRU ke-15.
KEDUDUKAN ZAHID HAMIDI
Apa pandangan Tan Sri mengenai kedudukan Presiden Parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam UMNO?
Beliau salah kedudukan pada awalnya ketika UMNO menjadi pembangkang. Dia tidak meletakkan dirinya sebagai ketua pembangkang. Dia tidak ambil jawatan yang sepatutnya Presiden parti patut jadi Ketua Pembangkang.
Akhirnya, dia didera dengan tindakan undang-undang, menjadi sasaran tindakan undang-undang. Jika dia jadi ketua pembangkang dan dia jadi sasaran, lagi mudah untuk dia berhujah. Akhirnya yang jadi ketua pembangkang ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tidak hairan kalau dia jadi Perdana Menteri selepas itu. Dari segi logik Ahmad Zahid memang ketua Pembangkang waktu itu.
Kesilapan sekarang ini pun kita nampak yang menjadi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengapa tidak Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai ketua Pas (Presiden Pas) sekiranya layak dan berkemampuan untuk memimpin dan mentadbir negara?
Mungkin Pas pula patut meletakkan Ahmad Samsuri (Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) sekiranya dia ada kemampuan dan kebolehan. Jadi semuanya perlu kembali kepada asas iaitu kedudukan dalam politik.
Prestasi menteri-menteri UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan?
Pada keadaan hari ini, tiada siapa yang boleh menafikan bahawa pemimpin UMNO yang menjadi menteri adalah lebih baik dan berkesan berbanding pemimpin dari DAP dan PKR.
Ini kerana pemimpin UMNO ini dilatih dan diasah serta dibangunkan sifat kepimpinan itu melalui proses dari bawah mengikut peringkat, sedangkan pemimpin dari PKR dan DAP tidak mempunyai pengalaman dan sepatutnya DAP lebih pengalaman.
Sebagai contoh Lim Guan Eng pernah jadi Menteri Kewangan dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Bagaimanapun, ia tidak cukup dan tidak membawa kepada kematangan dan kebijaksanaan.
Pemimpin PKR tidak ada pengalaman. Jadi, bila jadi menteri, terus kelam kabut negara sehingga mahu letak jawatan pun perlu ambil cuti. Jadi, ia macam menjadikan jawatan politik ini seperti jawatan dalam syarikat yang perlu tempoh letak jawatan tiga bulan dan notis. Jadi, mereka seperti tidak ada kefahaman sebenarnya. Jika mahu letak jawatan letak sahajalah tidak perlu ambil cuti kerana itu jawatan politik.
Ini merugikan negara dan rakyat. Peluang Perdana Menteri untuk cari pengganti atau buat rombakan untuk membetulkan balik Kabinet tersekat kerana ada lagi menteri itu yang letak jawatan tapi minta cuti. Jadi, negara perlulah tunggu sampai habis cuti.
Kritikan BN bankrapkan negara?
Selama ini BN sering dikritik, kononnya akan menyebabkan negara bankrap kerana kadar hutang yang tinggi. Dulu masa hutang negara mencecah RM600 bilion, kita dikatakan akan bankrap. Sekarang, hutang negara sudah lebih RM1.1 trilion dan dua kali ganda lebih tinggi daripada dulu.
Jadi, kalau dulu kata hendak bankrap, sekarang patut sudah dua kali bankrap, bukan? Namun, masa UMNO memerintah, negara tidak pun bankrap. Sebaliknya, kementerian-kementerian diurus dengan baik oleh pemimpin berwibawa. Inilah yang orang kata ironi, kamu kutuk UMNO, kata tak guna, tapi hakikatnya orang UMNOlah yang betul-betul bawa manfaat kepada negara.
Apakah cabaran negara sekarang?
Kita sering beranggapan hanya dengan menukar pemimpin, semuanya akan berubah. Kita tukar pemimpin yang dikatakan perompak, kita tukar semua sekali tapi akhirnya, apa yang berubah?
Kita juga rugi, kita juga hilang sesuatu.
Pemimpin yang dituduh perompak itu pun bukannya hidup mewah sangat bukan ada RM170 juta dalam akaun bank, bukan ada rumah besar atau harta merata-rata. Jadi, bila semua dah berlalu, kita tetap kembali kepada keadaan asal. Kita pun kena rasai semula kesannya seperti biasa.
Sebenarnya, setiap generasi sepatutnya membina dan menambah baik hasil daripada usaha generasi sebelumnya bukan meruntuhkan segalanya dan mulakan dari kosong. Kalau asyik rubuh dan bina semula, itu satu kerugian. Bagi saya, itu bukanlah cara yang rasional.
Apa yang perlu diberikan perhatian ketika dalam Kerajaan Perpaduan ini?
Apa yang bahaya ketika ini adalah Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar (URA). Itu nampak sangat macam agenda menteri itu untuk bagi kepada pemaju. Contoh yang mereka pakai seperti di Australia, syarikat-syarikat Malaysia yang menerajui pembangunan pembaharuan bandar tetapi di Malaysia kita malu.
Kita sudah banyak buat pembangunan baharu dan pembangunan semula. Sebagai contoh, Kuala Lumpur Sentral. Benda itu sudah lama ada, tapi menteri baru jadi menteri dia fikir dia sahaja betul.
Apa yang orang lama buat kerja dia hapuskan. Ini semua bukan Majlis Tertinggi UMNO yang duduk fikir pasal pembangunan. Ini profesional-profesional, pemikir. Konsultan yang merancang dan meramal pada masa depan untuk kegunaan 10 tahun akan datang.
Penilaian terhadap Kerajaan Madani?
Kekuatan sesebuah kerajaan ini datangnya daripada perkhidmatan awam, syarikat-syarikat berkenaan dengan kerajaan, maknanya bagi kita, ia harus ada pentadbiran dan perancangan, ada sudut bisnes yang menjadi kekuatan ekonomi negara.
Jadi, sebagai sebuah kerajaan yang kuat, ada pentadbir, ada perancangan, pemikir dari golongan universiti, ada kekuatan dari segi kewangan ekonomi, bank kita bersama Khazanah, Permodalan Nasional Berhad, Maybank, CIMB, jadi kalau melihat dari segi kekuatan menyeluruh, kenapa begitu susah Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak perform? Apa masalahnya?
Kalau kita ada kekuatan yang meluas dan begitu mendalam tetapi pencapaian itu masih sukar, maknanya kelemahan itu ada pada diri yang memimpin iaitu Anwar Ibrahim.
Kenapa cakap begitu?
Sudah beberapa tahun mentadbir tetapi masih tidak mampu selesaikan masalahnya. Menteri Ekonominya, apa jadi dengan PADU? Apa masalahnya dengan GST? Kenapa banyak buat pinjaman? Kenapa duit kita lemah? Ini menimbulkan persoalan sehingga ada yang menyatakan lebih baik zaman Bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak).
Sepatutnya siapa yang menjadi Perdana Menteri, ia mendapat kekuatan meluas dan bukan sahaja melebar, tetapi sahaja mendalam. Sebab itu, negara kita ada kestabilan dari merdeka sehingga 2018, makanya Kerajaan Perpaduan perlu mencari jalan bagaimana ingin menguruskan pentadbiran dengan baik.
Jika tidak?
Bayangkan, kerajaan PH yang pertama telah banyak dirosakkan dan sehingga hari ini kita masih merangkak-rangkak. Kestabilan ini ada asas, sejak merdeka kita masih bertukar-tukar pemerintahan tetapi masih ada kestabilan dan masih boleh bergerak ke hadapan.
Apa pun, kita semua ada kebolehan dan kepimpinan kerana kita perlu menggunakan kekuatan itu dalam negara berdepan dengan tidak tentu arah.
PEMIMPIN MASA DEPAN MALAYSIA
Malaysia ketandusan pemimpin?
Memang nampaknya begitu. Kerana utamanya adalah semua meletakkan fokus kepada siapa pengganti Anwar? Siapa kata Perdana Menteri perlu datang dari PKR? Tak semestinya. Kalau dulu orang mencipta naratif seolah-olah Nurul Izzah pengganti Anwar sebab dia Timbalan Presiden.
Kita kena lihat dari semua. Siapa bakal jadi Perdana Menteri? Kita mesti terbuka luas siapa bakal jadi Perdana Menteri, memanglah semasa UMNO stabil dulu. UMNO yang tentukan. Yang akan mengganti Presiden adalah jawatan nombor dua.
Tetapi pada politik akan datang, semua pemimpin negara boleh datang dari kelompok yang ada dalam negara hari ini, itu terpulang kepada mereka bagaimana hendak susun dan sebagainya. Pas pun boleh jika mereka merasa Pas layak untuk jadi Perdana Menteri, kenapa Pas takut-takut hendak letak Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang?
Perdana Menteri boleh peroleh imuniti?
Dalam Perlembagaan perkara itu tiada. Dalam negara kita pun raja tiada imuniti, tetapi mereka ada mahkamah sendiri. Dari sudut kekebalan, tiada siapa yang kebal daripada apa-apa tindakan dalam waktu dia memegang jawatan. Mungkin dia ada sedikit perlindungan dari segi kelakuan di mana seseorang penjawat awam, dia mungkin ada sedikit perlindungan dari segi tindakan rasmi.
Tetapi dari segi sivil, jika dia minta untuk beroleh imuniti, dan bila hakim beri pandangan, hakim itu diserang kerana menggunakan asas yang lapuk. Begitu juga dengan Presiden AS, ada imuniti dari tindakan rasmi, bukan persendirian atau sivil. Tetapi yang berlaku adalah tindakan persendirian, jadi, kasihanlah hakim kena buat keputusan.
Yang merosakkan sistem itu adalah perkara yang diminta tidak munasabah. Imuniti tidak ada tetapi sudah diminta kepada sistem kehakiman untuk putuskan sesuatu yang tiada, ia akan merosakkan dan mencemarkan sistem kita. – Mingguan Malaysia










