Soalan yang banyak ditimbulkan oleh umat Islam dari dahulu sampai sekarang, dari hujung Timur sehingga hujung Barat; siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)?
Soalan ini sering ditanya berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW: Umatku akan berpecah belah sebanyak 73 golongan, semuanya berada dalam api neraka (sesat), kecuali satu. Lalu para sahabat bertanya kepada baginda: Siapakah mereka Ya Rasulullah? Maka jawab baginda: Siapa yang berpegang dengan aku dan sahabat-sahabatku. (Riwayat al-Tirmidzi).
Daripada hadis ini, dapat difahami bahawa satu golongan yang tidak masuk dalam api neraka itu adalah golongan yang selamat. Mereka juga digelar sebagai Firqah Najiyah. Golongan inilah yang dimaksudkan dengan ASWJ.
Oleh itu, banyak ulama telah menjelaskan siapakah ASWJ. Misalnya, Imam Muhammad al-Ramli (w. 1004H) berkata: “Ahli bidaah adalah orang yang menyalahi apa yang menjadi dasar pegangan ahli sunnah dalam akidah; iaitu apa yang menjadi dasar pegangan Nabi Muhammad saw, para sahabatnya dan generasi setelahnya.
Yang dimaksudkan dengan ASWJ di masa-masa terakhir ini adalah kedua-dua Imam iaitu Abu al-Hasan al-Ash’ari (324H) dan Abu Mansur al-Maturidi (333H) dan para pengikut kedua-dua imam tersebut. (Nihayah al-Muhtaj: 8/305)
Dijelaskan juga oleh Syeikh al-Murtada al-Zabidi (w. 1205H): “Jika disebut lafaz ASWJ maka yang dimaksud adalah Asha’irah dan Maturidiyyah. (Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin: 2/6)
Di Universiti al-Azhar al-Sharif, menara ilmu Islam hari ini, turut menjadikan akidah ASWJ sebagai tiang akidah.
Syeikh al-Azhar, Ahmad al-Tayyib menegaskan perkara ini di dalam risalahnya berjudul Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.
Di Malaysia pula, selain merujuk kepada seluruh kitab-kitab Jawi Melayu lama, Syeikh al-Islam di Malaya; Syeikh Abdullah Fahim (w. 1961M) telah menegaskan di dalam wasiat beliau sebagai berikut:
“Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu Se-Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam al-Shafie ijma‘an, tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Shafie (yahrumu kharqu al-ijma).
“Ambil mereka itu hukum-hukum Fiqh Shafie daripada kitab Tuhfah dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasaratnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyat al-Tullab, Matla‘ al-Badrayn dan lainnya.
“Usul al-Din atas perjalanan Abi al-Hasan al-Ash’ari, diambil daripada shuryh dan hawashi Umm al-Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.
“Ilmu tasauf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambil daripada Minhaj al-‘Abidin, Ihya’ ‘Ulum al-Din dan terjemahannya kepada Melayu seperti Siyar al-Salikin.
“Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemuanya mustanbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh Ulama Ajilla’, diamal dengan dia sudah lebih daripada 1,000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun”. (Majalah Pengasuh no 428, thn. 1977)
Dalam konteks Malaysia hari ini, terdapat beberapa negeri yang mewartakan tafsiran ASWJ sebagai al-Ash’ariyyah dan al-Maturidiyyah seperti Johor, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sabah.
Ada pula negeri yang menetapkan ASWJ sebagai yang bermazhab dengan mazhab al-Shafie dengan maksud mereka masih bermazhab. Negeri-negeri ini ialah Perak, Terengganu, Selangor, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
Negeri Perlis pula menetapkan: “Pengertian ASWJ ialah kumpulan orang Islam yang berpegang kepada al-Quran, al-Sunnah dan pendapat para sahabat yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW”. (Hazman Hassan: 33)
Menariknya, Hazman Hassan dan Mohd Nazim menjelaskan: “manhaj ASWJ dalam Perlembagaan Negeri Perlis tidak mengkhususkan pegangan kepada akidah Asyaʽirah dan Maturidiyah sahaja.” (m/s: 33)
Melihat kepada kenyataan ini, setidak-tidaknya Asha’irah dan Maturidiyyah masih ditetapkan sebagai ASWJ bagi seluruh negeri di Malaysia. Maka segala akidah yang bercanggah dengan Asha’irah dan Maturidiyyah dengan percanggahan yang tidak dapat ditoleransi seperti akidah Syiah yang mengkafirkan para sahabat r.a adalah tertolak.
Kelompok Muktazilah yang mengatakan al-Quran itu makhluk juga tertolak. Puak Mujassimah yang mengatakan Allah SWT beranggota seperti tangan, kaki dan berjisim juga terkeluar daripada tafsiran ASWJ.
Oleh itu, kita dapat melihat dalam sejarah persuratan ulama Melayu, tidak lekang dengan karya-karya ulama Asha’irah dan Maturidiyyah.
Misalnya, Sunan Bonang yang mengarang bukunya yang merujuk kepada kitab Ihya’ Ulum al-Din karya Imam al-Ghazali (al-Ash’ari) dan al-Tamhid karya al-Salimi (al-Maturidi).
Syeikh Nuruddin al-Raniri pula menerjemahkan Sharh al-Aqidah al-Nasafiyyah karya al-Taftazani.
Ulama-ulama yang muncul kemudian pula giat menterjemah dan membuat syarahan karya-karya Imam al-Sanusi dan al-Laqqani di dalam ilmu akidah mengikut neraca al-Ash’ariyyah di dalam akidah.
Semoga kita kekal dengan akidah ASWJ sehingga akhir hayat ini dengan husnu al-khatimah.
- Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felo Kehormat IKIM










