PETALING JAYA: Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menganggap setiap kecaman yang diterima sebagai lumrah kehidupannya.
Katanya, dari dulu lagi, mentalnya bersedia untuk berdepan kata-kata nista yang dilayangkan netizen.
“Mata telinga saya dah bersedia. Kata-kata sinis buat saya tergelak. Ada kelakar, dahsyat dan tak masuk akal. Kecaman adalah kekuatan untuk saya. Ini bukan jawapan klise. Jiwa saya memang begitu.
“Saya sejenis yang nak tahu pandangan orang. Saya akan baca apa mereka tulis di media sosial. Sebab itu saya rakam diri sendiri baca kritikan orang.
“Ini adalah cara terbaik berdepan kecaman. Ambil tahu tak apa. Tapi jangan ambil hati. Jangan jadikan ia sebagai racun yang membunuh,” katanya.
Tentang persembahan di konsert Gegar Vaganza (GV8) malam esok, Fazley berjanji akan memberi yang terbaik dalam menyampaikan lagu Mahligai Syahdu yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Kata Fazley, itu kerana lagu tersebut membawa makna yang cukup mendalam buat penyanyi asal, Datuk Hattan.
“Saya sempat berbual dan meminta nasihat daripada Hattan. Dia menegur dan memberi kritikan membina.
“Hattan juga memberitahu Mahligai Syahdu mengingatkan kepada arwah ayahnya. Jadi dia jarang bawakan lagu itu. Saya terkesan bila tahu tentang perkara tersebut.
“Minggu ini kita juga menerima khabar duka tentang pemergian ibunya. Jadi, saya tahu kena usaha untuk memberi yang terbaik dalam menyampaikan lagu ini nanti,” ujarnya.
Kata Fazley lagi, dia tidak mempunyai masalah besar untuk membawa lagu bernada tinggi itu. Ujarnya, dengan persediaan vokal dan nasihat penyanyi asal, dia mampu melakukannya.
“Minggu ini saya fokus untuk vokal dan nyanyian sahaja. Tapi akan ada sedikit gimik.
“Lagu ini menuntut vokal yang tinggi. Saya boleh sampai.
“Lagu Asmara Ini pun asal memang tinggi. Jadi tak ada masalah besar. Saya boleh bawakannya,” tambahnya.










