Dua radar APMM perkukuh kawalan Selat Melaka - Utusan Malaysia

Dua radar APMM perkukuh kawalan Selat Melaka

HARIS FADZILLAH Abdullah (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah seberat kira-kira 10 kilogram oleh APMM Melaka dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMUM mengetahui Selat Melaka adalah laluan perdagangan yang sibuk sejak kurun ke-15 iaitu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Namun begitu, lokasinya yang strategik kerana terletak berhampiran sempadan perairan antarabangsa telah menarik perhatian penjenayah untuk melakukan aktiviti penyeludupan rentas sempadan seperti pendatang asing tanpa izin (PATI), rokok, dadah dan hidupan liar.

Justeru, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berdepan tugas getir untuk menjaga dan mengawal kawasan perairan seluas 1,834 kilometer (km) persegi itu.

Ia dari sempadan perairan Sepang, Selangor sehingga ke perairan Kuala Kesang, Johor dengan panjang pantai keseluruhan berjumlah 122km.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, antara lokasi yang sering menjadi titik panas aktiviti penyeludupan adalah di Pulau Besar dan Tanjung Tuan, Melaka serta beberapa lokasi di pantai perairan Port Dickson dan Kuala Lukut, Negeri Sembilan.

HARIS FADZILLAH Abdullah menunjukkan rampasan rokok seludup pada awal Januari 2021.

Jelas beliau, kedudukan geografi yang hampir dengan sempadan negara jiran, memiliki pantai paya bakau dan berdekatan dengan akses jalan raya antara faktor pendorong lokasi berkenaan menjadi tumpuan penyeludup.

“Secara kasarnya terdapat 14 titik panas di sepanjang pantai kawasan tanggungjawab Maritim Melaka dan Negeri Sembilan. Tanjung Kling adalah lokasi terdekat dengan sempadan perairan antarabangsa iaitu sekitar 12.5 batu nautika atau hampir 23 km sahaja.

“Jarak ini memerlukan masa yang singkat sekitar 30 minit dengan menggunakan bot laju berkuasa tinggi,” katanya.

Untuk rekod, Maritim Melaka dan Negeri Sembilan berjaya membuat rampasan dan tangkapan sebanyak 40 kes tahun lepas dan jumlah itu meningkat sedikit kepada 50 kes tahun ini.

Kejayaan itu melibatkan beberapa siri operasi seperti Op Murni, Op Belangkas, Op Pagar Laut dan Op Benteng Laut yang melibatkan kes penyeludupan PATI, rokok, dadah dan hidupan liar iaitu burung murai.

Terdapat juga kes yang melibatkan pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Pelantar Benua 1966 dan juga di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Maritim Melaka dan Negeri Sembilan sentiasa memastikan pasukan operasi dalam keadaan bersiap-siaga bagi membanteras penyeludupan.

Kemampuan pengesanan dan pemantauan melalui dua radar iaitu Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) atau Remote Sensor Site (RSS) yang berpangkalan di Pulau Undan dan Tanjung Tuan sangat membantu mengesan aktiviti yang mencurigakan di perairan.

Tambah Haris Fadzillah, sindiket penyeludupan kini sangat licik kerana bergerak menggunakan bot nelayan, bot kecil dan bot berkelajuan tinggi bagi mengaburi mata serta mengelak dikejar pihak berkuasa.

Katanya lagi, penjenayah juga arif mengenai batas sempadan perairan antarabangsa kerana mereka akan berlegar-legar dalam perairan tempatan sebelum memasuki perairan Malaysia apabila berasa selamat daripada dihidu pihak berkuasa.

“Tidak dinafikan wujudnya kerjasama antara warga tempatan dan sindiket di luar negara yang mendalangi kegiatan penyeludupan ini. Semua pergerakan atau aktiviti penyeludupan ini dikawal bermula di darat sehingga ke destinasi.

“Secara keseluruhan, aktiviti penyeludupan bawah kawasan tanggungjawab Maritim Melaka dan Negeri Sembilan adalah terkawal menerusi rondaan harian, pemantauan radar, risikan dan perkongsian maklumat bersama komuniti maritim seperti nelayan tempatan, bot rekreasi dan kapal- kapal dagang,” ujarnya.

RONDAAN berterusan di perairan negara sentiasa dilakukan oleh Maritim Malaysia demi memastikan kegiatan penyeludupan dan jenayah di laut dapat dibanteras.

Bagi memastikan perairan negara bebas jenayah rentas sempadan, Maritim Malaysia menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Marin, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Australia Border Force (ABF), Konsulat Indonesia, Badan Keamanan Laut (BAKAMLA) Indonesia dan beberapa lagi agensi negara jiran.

Sementara itu, pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir memberikan cabaran baharu buat semua agensi penguatkuasa termasuk Maritim Malaysia.

Menurut Haris Fadzillah, antara cabaran yang dihadapi pasukan operasi ialah mereka perlu melakukan prosedur dengan lebih teliti dan berisiko dijangkiti Covid-19 semasa bertugas.

Katanya, aktiviti penyeludupan tetap berlaku semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya melibatkan PATI.

“Penjenayah atau orang yang diperiksa tidak diketahui status vaksinasi dan kemasukan mereka melalui jalan yang tidak sah boleh mendatangkan bahaya jika PATI itu positif Covid-19,” katanya.

Rampasan bubu naga iaitu peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan di perairan negara.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya